Penangan Gunung Kinabalu

27 04 2015
Kenangan Kemuncak Kinabalu

kinabaluAlhamdulillah… akhirnya berjaya juga tiba di kemuncak Kinabalu. Walaupun awalnya kejang otot paha kanan dari km2.5 kemudian kedua dua belah paha pada km3.5. Hampir tak boleh berjalan dan terpaksa berehat sambil tertinggal di belakang sekali.

Melangkah selangkah demi selangkah dengan penuh keperitan hingga km4.0 (simpang turun ke Timpohon Gate) dan terasa macam nak balik dah tetapi bila difikirkan sudah berada di Kinabalu tetap berusaha teruskan perjalanan dalam situasi hujan lebat dan angin kencang serta suhu yang rendah.

Dengan bantuan sahabat seekspedisi, terus juga mendaki sampai Laban Rata dan tiba kira kira jam 7 malam setelah mula dari Mersilou jam 8.30 pagi.

Sewaktu rehat, dah rasa macam tak nak teruskan sebab kedua dua belah kaki dah terlalu perit. Dengan pain killer, ubat, minyak panas pun masih terasa sakitnya tetapi alang alang seluk perkasam, biar sampai ke pangkal lengan.

Jam 2.30 pagi meneruskan perjalanan tetapi baru 15 minit dah rasa macam terlalu perit. Terpaksa berhenti dan hampor nak patah balik tetapi hati paksa untuk teruskan. Akhirnya strategi 5 langkah berhenti dan kembali 5 langkah.

Berjaya sampai di check point sebelum masa tamat dan petugas di kaunter bertanya sama ada masih mampu naik atau tidak dalam keadaan begitu kerana jarak masih ada 1.6km ke puncak. Saya kata akan tetap cuba.

Semakin di atas semakin kurang oksigen, semakin perlahan pergerakan dan kesakitan pun semakin terasa. Suhu yang mencecah sehingga -4 celcius menjadikan cabaran semakin getir. Alhamdulillah dengan sokongan pendaki pendaki lain yang dah mula turun, saya tiba di puncak pada jam 07.10 pagi.

Waktu tu kepuasaan yang tak terhingga. Alhamdulillah… Syukur padamu Ya Allah dapat menikmati keindahan alam yang sungguh memukau. Terasa hilang sebentar kecederaan kaki.

Sewaktu turun, cabaran baru dihadapi. Dengan kedua dua otot paha kekejangan, terpaksa pula bergerak perlahan dan sedikit tergelincir dan mengakibatkan lutut kiri pula kesakitan.

Sampai di Laban Rata kira kira jam 10 pagi dan selepas sarapan (tak lalu nak makan tapi terpaksa juga makan) saya terpaksa bergerak awal dari kumpulan kerana kecederaan. Jam 11 pagi bergerak turun untuk 6km terakhir dengan penuh keperitan dan akhirnya tiba di timpohon dalam suasana hujan lebat dan kesejukan kira kira jam 3.05 petang.

Terima kasih kepada semua sahabat yang membantu dari segenap aspek. Penangan Gunung Kinabalu memang akan kekal di ingatan.

Jumpa lagi suatu hari nanti, InsyaAllah…