Celaka Israel! 2 syahid & 30 cedera

31 05 2010

Mungkin ramai yang tidak menyedari bahawa kini ada sebuah kapal yang sarat dengan makanan dan ubat-ubatan untuk membantu saudara kita di Gaza, Palestine. Dengan tanpa membawa apa-apa senjata cuma untuk misi kemanusiaan, ia dihalang dengan penuh biadap oleh tentera Israel Laknatullah!

Segala perancangan oleh pihak pengendali misi kemanusiaan untuk mengalih tumpuan dunia kepada misi mereka semakin berjaya dan dunia kini memerhatikan mereka namun, Israel terus bongkak dan biadap. Terkini saya petik dari laman palestinekini ialah:

Maklumat terkini; 2 syahid & 30 cedera atas kapal penumpang utama Mavi Marmara. Tentera Israel sudah mula menaiki kapal. ayuh kita doakan mereka antara 2 kemenangan; SYAHID atau MENANG DAN SAMPAI KE TEMPAT TUJUAN!

Lanjut boleh layari: http://www.palestinkini.info.





Puisi Pilihan: Maknawi sebuah Kehidupan

29 05 2010

Memoir Sebuah Maknawi
(Buat Seorang Kawan)

Lima Belas Oktober yang hening,
Ku dengar kau dinobatkan di puncak cita,
Sedang aku masih bagai air,
Mengalir ke muara buih jadinya,
Kugenggam sebaris catatan,
Semerah Padi dan penghuninya,
Pengertian rakan dan taulan,
Namun dedaun hari berguguran,
Bersama gugurnya nostalgia budi,
Kini Semerah Padi tiada lagi,
Namun aku terus menetap di sini,
Di persimpangan tak menentu,
Dan memoir bersama doa,
Mengiringimu,
Bertakhta di singgahsana berdaulat.

Di senja yang sama,
Aku terus berkelana,
Di perantauan menyusur takdir,
Maknawi sebuah kehidupan,

Benarlah katamu:
Amat pahit mengenang segalanya,
seindahnya jangan diingat. Dikenang pun jangan,
Kerana siapalah aku,
Sekadar setitis embun. Pastinya,
Kering bersama sinar mentari.

ISMAS SARING
BALI-LOMBOK
OKTOBER 1995

Inilah adalah koleksi puisi yang cukup membekas di hati saya. InsyaAllah, saya akan publish lagi puisi-puisi yang saya minati…





Syafi Meragam

28 05 2010

Sejak kebelakangan ini, anak kedua saya, Syafi cukup kuat meragam. Tak mahu berenggang dengan isteri saya. Ke mana isteri saya pergi, hendak diikutnya. Hmmm…

Mungkin disebabkan oleh dia dapat rasakan kehadiran bakal adiknya dalam perut isteri saya. Jadi masa untuk dia bermanja dengan isteri saya mungkin sekejap sahaja kerana tumpuan yang lebih kepada adiknya nanti.

Tak apa lah Syafi, Walid dan Ummi tak akan beza-bezakan anak-anak Walid dan Ummi. Jangan risau sayang!





Mengejar Waktu

27 05 2010

Lama juga saya tak menulis.

Sebenarnya saya kini bekerja keras untuk mengejar waktu. Maksudnya? Alhamdulillah rumah yang saya beli sudah pun diberi VP dan menerima CF. Memandangkan saya terpaksa mengeluarkan hampir RM2K sebulan sejak November lepas hanya untuk kos rumah, saya rasa ia cukup berat dan cukup membebankan. Jadi hendak atau tidak, saya terpaksa kejan.

Lalu saya janji dengan pemilik rumah yang saya sewa sekarang, untuk mengosongkan rumah pada akhir Jun dan masuk ke rumah baru pada akhir Jun. Justeru saya terpaksa bekerja keras mengatur temujanji dengan kontraktor-kontraktor untuk proses renovasi rumah. Bukannya renovasi major, cuma minor tetapi memandangkan ia di ibu kota, saya tidak dapat lari daripada menanggung kos yang tinggi. Aduh!

Saya terpaksa keluar sekejap pada waktu kerja untuk mengadakan sedikit perbincangan dengan kontraktor yang saya lantik. Saya memang dah tak sabar nak masuk rumah tetapi dengan pelbagai halangan, ia memang sedikit sukar. Untuk melakukan renovasi, saya perlu membayar RM3K kepada pihak pengurusan. Cukup tinggi! Saya kena hantar pelan renovasi dan menanti kelulusan oleh konsultan. Saya amat berharap agar ia dapat dilakukan dalam masa tiga minggu. Nak atau tak, akhir Jun, saya kena kosongkan rumah sewa sekarang.

Alhamdulillah saya dah ada rumah sendiri dan nilai rumah saya melonjak RM100K daripada harga saya beli pada 2007. Mungkin juga akan naik lagi disebabkan banyak permintaan. Banyak ejen hartanah yang bertanya sama ada saya nak jual rumah saya atau tidak tetapi bagi saya, saya memang beli untuk saya duduk. Ada banyak sebab saya beli rumah saya ini. InsyaAllah saya akan coret nanti.

Buat masa sekarang, saya memang nak masuk rumah baru cepat-cepat…

Harapnya semua berjalan lancar, InsyaAllah…





Istiwa Matahari Atas Kaabah Pada 28 Mei 2010

23 05 2010

Sekali lagi matahari dan bumi berada pada kedudukan yang cukup unik, dan sudut yang cukup tepat dan sesuai bagi umat Islam untuk menyemak kembali arah kiblat kita.Pada jam 5.16 PM , 28 Mei 2010 nanti (Jumaat ini), Matahari berada tegak di atas Kabaah di Masjidilharam Mekah.

Fenomena yang dikenali sebagai istiwa matahari ini merupakan satu anugerah Allah SWT yang diberikan kepada manusia di Bumi untuk kembali mengingati kebesaran dan kekuasaanNya mentadbir pergerakan apa yang ada di langi dan bumi untuk kegunaan manusia umumnya.

Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan penggantian siang dan malam terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi orang-orang yang berakal””(iaitu) orang yang mengingati Allah sambil berdiri, duduk dan dalam keadaan berbaring, dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata), “Wahai Tuhan Kami, tidaklah Engkau menciptakan semua ini sia-sia; Mahasuci Engkau, lindungilah kami dari azab neraka”

(Surah Al-Imran: Ayat 190-191). RujukanTafsir Qur’an Per Kata: Dr.Ahmad Hatta, MA.

Ada yang bertanya,  mengapa bersusah-payah berjemur tengah panas mencari kedudukan kiblat, lebih baik guna kompas.

Jawapan agak mudah. Kompas berfungsi berdasarkan medan magnet bumi. Namun, jika ada sumber medan magnet yang berdekatan (seperti besi, tv dll) , penunjuknya akan terpesong dan menunjuk ke arah lain. Jika kita tidak berhati-hati ia akan memberi kesan kepada arah yang hendak dicari.Objek-objek di angkasa merupakan sebaik-baik petunjuk arah kerana ia tidak terpesong walau sedikit pun.

Ini semua kerana jaminan Allah SWT yang telah diberikan dalam ayat Quran di bawah:

“Dan Dialah yang telah menciptakan malam dan siang, matahari dan bulan. Masing-masing dari kedua-duanya itu beredar (yasbahun) dalam falaknya.” (Surah al-Anbiya: 33)

Dan bukan matahari mendahului bulan dan bukan juga malam mendahului siang. Mereka beredar (yasbahun) dalam falak sendiri.” (Surah Yaasin: 40)

Maka itu, buanglah perasaan ragu-ragu anda. Teknologi yang sedia ada ini semuanya berasal daripada keadah ukuran yang dibuat oleh ilmuwan terdahulu.

Dr.Baharuddin Zainal (UDM) menjelaskan di dalam artikel “Arah Kiblat: Isu Istiwa Adzam” di laman web UDM, bahawa kaedah falak tradisional ini lebih ‘mesra pengguna’, dan mudah untuk dipraktikkan. Malah kaedah istiwa matahari ini telah diketahui lebih 3000 tahun dahulu!

Kembali kepada fenomena yang akan berlaku Jumaat ini, tepat pada jam 5.16 PM, matahari akan bergerak dan berada pada kedudukan tepat di atas Kaabah. Jika kita berpeluang berada di Masjidilharam ketika itu, kita akan lihat Kaabah (serta apa yang berdiri tegak di persekitarannya, seolah-olah tidak ada bayang-bayang.Ketika itu, waktu di Mekah ialah 12.16 tengahari.

Oleh itu, pada saat itu, jika kita di Malaysia pandang ke arah matahari, bermakna kita sedang menghadap tepat ke arah kiblat.

Cara untuk menentukan kedudukan ini ialah dengan menggunakan bayang-bayang tiang atau dinding bangunan atau apa-apa yang tegak 90 darjah sebagai panduan. Garisan bayang-bayang yang terhasil akan terarah tepat ke Mekah.

Pada tahun 2007, saya telah menghantar sebuah powerpoint menunjukkan kaedah mudah menentukan arah kiblat tersebut. Alhamdulillah, saya dapati selepas itu, ia telah ditukar format di PDF oleh hamba Allah yang tidak diketahui dan tersebar luas dari tahun ke tahun. Semoga Allah SWT merahmati usaha sesiapa sahaja yang menyebarkan maklumat itu untuk kebaikan semua.

Jika berminat, boleh juga muat turun di SINI.

Oleh itu, jangan berlengah lagi. Jom kita periksa sekali lagi arah kiblat pada 28 Mei ini.

NOTA: Fenomena yang sama akan berulang pada 16 Julai 2010, jam 5.28 PM. Wallahualam

sumber: http://www.falak-online.net/portalfalak/content/26/5/2010/istiwa-matahari-atas-kaabah-pada-28-mei-2010-516-pm (23/05/2011)





Panas

6 05 2010

Dulu saya pernah menulis tentang pemanasan global.

Kini saya nak tulis lagi kesannya yang berlaku kepada diri saya. Saya benar-benar terganggu dengan pemanasan global ni. Kalau dahulu waktu malam, cukup mudah untuk saya tidur tetapi kini ia berubah sama sekali. Saya amat sukar untuk melelapkan mata kerana cuaca yang cukup panas.

Saya akan terjaga beberapa kali dan akan basahkan badan untuk menyejukkan suhu. Memang benar-benar terganggu hingga saya bercadang nak pasang pendingin hawa tetapi bila difikirkan, dah dekat nak pindah rasa macam rugi pulak. Lagi pun la ni rumah sewa, nak tebuk sana sini, payah pulak.

Kesannya dalam jam4 atau 5 pagi barulah saya dapat tidur. Selalunya waktu tu dah rasa sejuk balik dah suhu. Akhirnya memang rasa macam tak cukup tidur dan keletihan. Hmmm… Kalau malam-malam hujan, Alhamdulillah… Kalau tak hujan memang kepanasanlah jawabnya.

Apa pun, tunggu rumah baru ni, memang dah tahap wajib pakai pendingin hawa dah…





Alhamdulillah

5 05 2010

Alhamdulillah…

Tengok gambar bawah ni…

Agak-agak apa ya?