Selamat Hari Raya Aidilfitri 1430H

20 09 2009

Selamat Hari Raya

Selamat Hari Raya... Maaf Zahir Batin dari kami sekeluarga...

Advertisements




Balik Kampung

18 09 2009

Hingga saat ini, saya masih lagi di pejabat dan masih bekerja. Banyak sungguh yang perlu diselesaikan. Memang masih belum dalam mood raya lagi. Apa pun malam tadi misi untuk servis kereta (tukar minyak hitam, penapis minyak, penjajaran dan pengimbangan (allignment & Balancing) dan lain-lain) berjaya dilaksanakan.

Menurut seorang sahabat, kedai-kedai servis kereta memang sesak dan saya cuba pilih waktu selepas berbuka dan hasilnya agak lengang apatah lagi waktu tu hujan renyai-renyai. Agak lama selepas itu baru kembali sesak. Alhamdulillah dapat  servis kereta dengan mudah. Cuma masih tak sempat nak basuh kereta.

InsyaAllah, selepas berbuka malam ni, saya akan bertolak ke kampung. Hantar sepupu dan adik ipar ke Penang dahulu, kemudian akan ambil barang dari adik di Penang untuk dibawa ke Kedah. Esok pagi, saya kan bertolak dari Kedah ke Penang kembali sebab tahun ni giliran raya kat Penang. Alah, Penang dan Kedah dekat ja, boleh ja pi Kedah kalau ada hal. Hehehe…

Sama-samalah kita berdoa agar perjalanan kita selamat pergi dan pulang. Sama-samalah memandu secara berhemah. Biarlah gaya pemanduan defensif tetapi akhirnya orang yang kita sayang tidak meratapi kehilangan kita. Risau tengok statistik kemalangan jalanraya. Mudah-mudahan semuanya selamat, InsyaAllah…

Malam ni balik Kampung!





Keseorangan

17 09 2009

Ketika ini, isteri dan anak-anak saya berada di Kedah. Tinggallah saya keseorangan di KL. Apakan daya, demi tugas, saya perlu kembali dan laksanakan. Bila balik rumah memang terasa sungguh sunyi. Kalau tidak ada gelak hilai dan keletah Syasya, tapi kini hanya komputer jadi peneman. TV saya tak tengok sangat melainkan berita dan sukan.

Bila telefon rumah di Kedah, dan bila terdengar suara Syasya menangis nak mai kat saya, terasa cukup indah pulak walaupun bercampur sayu. Nanti Walid balik tau Syasya. Lepas tu dengar suara Syafi yang nak susu, rasa rugi pulak tak dapat tatap wajahnya sebab waktu kecik ni cepat berubah perkembangan bayi.

Bila tengok rumah yang berserabut, teringat betapa tekunnya isteri saya kemaskan. La ni kalau dia balik rumah, mesti habis saya kena bebel. Hehehe… Memang berselerak. Tak tahulah macam mana nak kemas. Saya rasa dah kemas dah tapi kalau isteri saya buat, sekejap ja dah nampak kemas. Hmmm…

Alhamdulillah dalam tempoh seminggu saya dah sempat buat Akikah untuk Syafi. Seperti Syasya, saya laksanakan Akikah di Kemboja melalui Al-Ameen. Alhamdulilah kerana ia dilaksanakan dalam Bulan Ramadhan dan akikah itu dilaksanakan untuk saudara kita di Kemboja berbuka puasa.

Kalau di Malaysia, kita buat Akikah, kadang kala bila saya tengok rasa macam membazir sebab banyak yang terbuang dan satu lagi sikap orang kita kalau ambik tu banyak-banyak tetapi makannya seciput ja. Last sekali banyak sisa yang dibuang begitu sahaja. Berbeza dengan saudara kita di Kemboja yang begitu daif. Saya difahamkan, apabila ada Akikah dilakukan di sana, ia pasti habis licin. Bagi mereka, nak daging itu adalah makanan yang cukup mewah. Apa pun, yang paling penting sebenarnya niat di hati kita.

Alhamdulillah juga kerana sejak awal lagi balik Kedah tempoh hari, saya terus tunaikan Zakat Fitrah bersama tambahan tanggunggan saya yang baru iaitu Syafi Hana. Terasa lega bila semua kewajiban itu dilaksanakan.

Kini Syafi sudah pun botak. Botak setelah dicukur kepalanya. Memang disunatkan bercukur kerana salah satu faedahnya ialah ia dapat membersihkan kekotoran yang mungkin terlekat pada rambut bayi yang mungkin sukar untuk ditanggalkan. Ada yang salah faham dengan hanya menggunting dua tiga helai rambut ketika bercukur bayi. Apa pun Alhamdulillah ia telah dilaksanakan.

Syafi Hana Selepas Bercukur

Syafi Hana Selepas Bercukur

Dan bila mengingatkan semua itu, saya terasa cukup sunyi bila di rumah berseorangan. Mujurlah begitu banyak tugas (macam nak kerja banyak ja. Hehehe) yang perlu diselesaikan. Banyak dateline yang perlu dipatuhi membuatkan masa berlalu begitu pantas dan berjaya mengisi kekosongan itu.

InsyaAllah esok malam, saya akan bergerak ke kampung untuk kembali bersama insan-insan yang amat bermakna dalam hidup saya. Moga kesunyian ini akan berakhir, InsyaAllah…

p/s: Bila dah ada dua anak, terbayang macam nak lagi tetapi bila terfikir tentang amanah yang harus dipertanggungjawabkan, terasa gerun dan amat mencabar…





Masih Mengemaskini

15 09 2009

Terima kasih atas sokongan semua.

Special thanks to Qfirdaus yang bertungkus lumus berurusan dengan domain dan hosting provider untuk kembali diaktifkan www.saifulazrul.net.

Saya kini masih lagi dalam usaha melakukan setting back end of this website untuk memastikan kelancaran dan beberapa kelemahan yang dikenalpasti dapat diatasi.

Memang sedih, sebab banyak data yang hilang namun saya perlu meneruskan usaha untuk kembali mengaktifkan Diari saya ini. Sepanjang tempoh itu, saya tetap menulis di saifulazrul.wordpress.com yang merupakan Laman Back Up.

Antara yang masih tertunggak ialah kemasukan pautan yang masih belum sempat dilakukan apatah lagi kini amat sibuk dengan tuntutan kerja yang memerlukan saya melakukannya sebelum cuti Hari raya.

Memang la ni tak dapat nak pikiaq bab raya secara serius lagi disebabkan tugas-tugas yang masih menimbun dan mengejar dateline.

Apa pun, saya akan berusaha memastikan Laman ini dikemaskini sentiasa, InsyaAllah…





www.saifulazrul.net

12 09 2009

Alhamdulillah, operasi www.saifulazrul.net sudah pun berjaya dipulihkan… justeru, saya memohon agar pelayar yang budiman dapat kembali mengemaskini bookmark anda.

Jadi bermula dari sekarang, laman ini hanya akan menjadi Laman Back Up sekiranya apa-apa terjadi pada www.saifulazrul.net. Walaubagaimanapun saya masih lagi dalam proses mengemaskini pautan di Laman tersebut.

Terima kasih atas sokongan anda…





Kembali

10 09 2009

Alhamdulillah…

http://www.saifulazrul.net sudah kembali… Namun masih banyak lagi yang perlu saya perkemaskan semula…





Cahaya Mata Kedua

4 09 2009

Alhamdulillah…

Pagi yang cukup bersemangat bagi saya. Pada bulan Yang Mulia dan di pagi Jumaat yang berkat ini, saya telah dikurniakan satu lagi cahaya mata perempuan.

Alhamdulillah setelah isteri saya merasa sakit-sakit pada petang semalam, selepas berbuka, saya hantar Syasya ke rumah rakan sekerja saya Gan dan Jue. Mulanya Syasya tak mahu tetapi terpaksa tinggalkan juga. Alhamdulillah Syasya ok selepas itu.

Selepas dimasukkan ke wad Gynae 2 (Wad Berlian) kira-kira jam 10 malam, saya terus menanti di pejabat saya (Pejabat di Hospital. Tak pa. Hehehe…) sambil melayari internet dan berdoa.

Selang beberapa ketika, saya akan telefon atau SMS isteri. Cuma bila sampai jam 2 pagi, isteri saya dah tak tertahan-tahan dah tetapi doktor pelatih tu maklumkan baru buka 3cm walaupun isteri saya rasa macam dah buka banyak. Waktu ke PAC pun dah 2cm. Selepas seorang jururawat tengok setelah isteri saya dah tak tahan sangat, rupanya dah terbuka 7cm. Apa lagi terus dikejarkan ke Bilik Kelahiran (Labour Room).

Sebaik menerima panggilan isteri, terus saya bergegas ke Bilik Kelahiran. Tak sampai lima minit, Alhamdulillah bayi perempuan berjaya dilahirkan. Cuma pada saat-saat ini, saya bayangkan kalau saya di tempat isteri saya, tak tahulah saya dapat tahan atau tak. Betapa besarnya jasa seorang ibu yang bertarung hidup mati untuk melahirkan zuriatnya. Bergenang air mata saya melihat betapa sukarnya saat saat itu walaupun ia berlaku agak pantas.

Sambil memberi kata-kata perangsang saya sentiasa mencium isteri saya untuk memberi sedikit kekuatan agar saat-saat sukar itu dapat diharungi dengan penuh ketabahan dan semangat.

Terima kasih kepada semua tenaga kerja di Bilik Bersalin yang menjadikan saat-saat itu sungguh bermakna. Sempat saya beri salam kepada bayi saya itu dan kemudiannya bila saya bacakan iqamat. Anak saya menangis kerana kesejukan lalu saya letak semula dalam katil bayi yang dilengkapi dengan pemanas agar bayi tidak kesejukan.

Alhamdulillah… Terima Kasih Ya Allah atas kurniaan-MU

InsyaAllah amanah yang cukup berat ini akan cuba dipikul agar Keredhaan-MU terjelma.

Terima kasih semua yang memberikan dorongan dan semangat.

Alhamdulillah…

Ni Syasya tak tau lagi dia dapat adik. Saya nak pi ambik Syasya pulak lepas ni. Ngantuknya tak tidur lagi…