Sesekali Teringat: Tok Wan

25 06 2014

Saya dalam perjalanan menghantar adik kelima ke LRT Bandar Tasik Selatan. Hari itu Sabtu 02 November 2013. Jam lebih kurang 08.30 pagi. Sambil memandu saya terdengar deringan telefon tetapi tidak dapat menyambutnya disebabkan sedang memandu. Kemudian berdering pula telefon adik saya dan berita duka yang saya dengar, Tok Wan sudah pergi buat selama-lamanya…

Sukar untuk saya kata apa apa. Terdiam dan terasa begitu sedih lalu saya katakan pada Adik saya, “Awie, jom kita balik kampung”. Adik saya menjawab,”ya” lalu dia terus hubungi rakannya memaklumkan tidak jadi berjumpa.

Sesampainya di rumah, terus saya maklumkan kepada isteri. Tanpa berlengah terus mengemas beg dan lebih kurang jam 10 pagi saya terus bertolak ke Pendang dari Kuala Lumpur.

Perjalanan tidak begitu lancar. Kereta begitu banyak berduyun duyun bergerak ke arah utara. Hari itu cuti umum sempena Deepavali. Saya ingatkan ramai yang dah bertolak awal malam tadi untuk balik ke kampung. Sepanjang perjalanan, saya teringat suka duka bersama Tok Wan. Seorang lelaki yang cukup saya kagumi. Kesabaran dan ketenangan beliau cukup memberi inspirasi kepada saya. Boleh dikatakan sayalah cucu yang paling rapat dengan arwah. Ketika membesar, setiap kali cuti, saya akan balik sendiri ke kampung dan menemani Tok Wan. Saya belajar banyak perkara tentang kehidupan menerusi Tok Wan. Saya menulis sebuah Novel ketika di sekolah menengah berdasarkan penglaman saya dengan Tok Wan. Apa yang saya pelajari untuk mendalami sebuah makna kehidupan. Ia tidak akan dapat dicari dalam kelas, bilik darjah atau dewan kuliah. Ia hanya dapat diperolehi dengan mengalami sendiri denyut nadi kehidupan.

TokWan2Tok Wan bercerita tentang kisah pada zaman Jepun, pada zaman dahulu dan juga pengalaman lalu. Saya selalu menemankan Tok Wan ke kenduri kendara di sekitar Pendang menaiki motor (Saya tak ada lesen lagi waktu awal sekolah menengah tetapi saya menggunakan short cut jalan kampung yang polis trafik memang tak ganggu). Setiap kali cuti sekolah, memang saya akan bersama Tok Wan.

Bahagian yang paling saya suka ialah bila saya nak balik, Tok Wan akan bagi duit kepada saya. Ini membuatkan yang lain cemburu dengan saya dan perli “cucu emas”. Hehehe… Tetapi bagi saya Tok Wan perlukan peneman. Tok Wan kesunyian. Dan cukup sedih apabila, saya memenuhi hasrat Tok Wan untuk berjumpa rakan-rakan lamanya yang uzur, tak berapa lama kemudian rakan rakan lamanya meninggal. Terpancar wajah sedih pada raut wajah Tok Wan.

Kemudian, Tok Wan hadiahkan saya basikal Mountain Bike ketika saya di Tingkatan 4 untuk memudahkan saya ke sekolah dan saya jugaTokWan3 mengayuh basikal dari Alor Setar ke Pendang. Dan apabila saya cukup umur untuk ambil lesen motor, Tok Wan beri sedikit wang untuk tujuan itu dan apabila saya dah ada lesen motor, memang Tok Wan cukup gembira. Lebih jauh dapat saya bawa Tok Wan. Dan apabila cuti sekolah, lebih jauh lokasi kenduri dapat saya temankan Tok Wan. Tok Wan begitu gembira dapat bertemu rakan rakan lama. Tok Wan memang tak tahu menunggang motorsikal. Ke mana pun Tok Wan pergi hanya dengan basikal tua yang berpuluh puluh tahun usianya. Maybe dari zaman Jepun lagi.

Apabila saya terpaksa berhijrah ke Kota metropolitan ini, saya semakin jarang bertemu Tok Wan. Tok Wan keseorangan di kampung. Di dalam kota besar ini, memang saya sering teringatkan Tok Wan. Saya pernah berjanji nak bawa Tok Wan ke Kuala Lumpur. Saya masih ingat lagi reaksi Tok Wan apabila saya menceritakan tentang betapa banyaknya lorong jalan di Kuala Lumpur berbanding Pendang. Begitu juga bagaimana kehidupan warga kota. Tok Wan teruja tetapi lembu dan kerbau Tok Wan menjadi penghalang. Tok Wan cukup risaukan lembu dan kerbaunya.

Ketika saya bawa Tok Wan ke Langkawi pun, selepas sehari Tok Wan dah resah. Tok Wan teringat lembu dan kerbaunya. Apatah lagi apabila saya katakan pada Tok Wan yang rumah saya bertingkat tingkat. Terus Tok Wan kata gayat dan susah kalau tak dapat pijak tanah. Apabila balik Kedah sahaja, saya memang akan ada acara wajib iaitu menziarahi Tok Wan. Bawa cicit cicit berjumpa Tok Wan. Sebab itu bila saya ada, Tok Wan akan bertambah selera makannya.

Untuk hilangkan kerinduan kepada Tok Wan, saya setkan Wallpaper pada PC saya di pejabat. Sekurang kurangnya saya akan sentiasa dapat menatap wajah yang saya sayangi ini.

Bila Tok Wan sakit, saya lah yang selalu memujuknya ke klinik. Memang jenis Tok Wan tak suka ke klinik dan hospital. Tetapi apabila saya bercerita tentang penyakit dan ubat, Tok Wan akan ikut saya ke klinik ambil ubat. Tok Wan akan ikut cakap saya tentang ubat. Namun apabila Tok Wan sakit teruk, saya rasa cukup sedih. Tok Wan dah tak dapat bangun.

TokWan4

Akhirnya pada aidilfitri 2012, saya balik kampung dan Tok Wan boleh berjalan sedikit sedikit. Terus saya ajak Tok Wan ke seberang kampung untuk menziarahi adik beradiknya yang terlantar sakit. Tok Wan cukup gembira. Saya rasa cukup puas hati. Kemudian selepas habis raya, saya kembali ke Kota. Saya terima berita Tok Wan kembali sakit dan tak dapat bangun. Sukar saya nak gambarkan perasaan saya. Hanya doa yang mampu diutuskan.

TokWan

Kemudian kesihatan Tok Wan turun naik hinggalah saya diberitahu pemergian Tok Wan pada usia 94 tahun.

Akhirnya saya tiba di Kampung Tanjung Radin, Pendang jam 5 petang ketika Tok Wan hendak dimasukkan ke dalam keranda. Sempat saya kucup wajah Tok Wan yang kelihatan cukup tenang dan berseri. Alhamdulillah. Memang wajah Tok Wan nampak cukup tenang setenang tenangnya.

Al Fatihah buat Haji Ahmad bin Taib (1919-2013)

Advertisements




Al-Fatihah… Ustaz Azizan Razak Meninggal Dunia

26 09 2013

Berita yang baru saya terima daripada sahabat sahabat di Kedah memaklumkan pemergian Ustaz Azizan Razak, jam 11.10 pagi tadi.

Kelu lidah jadinya… Pemergian yang amat dirasai.

Al-Fatihah…

 

Sumber gambar Malaysiakini.com

 

 





Chot… Engkau Pergi Dahulu

16 02 2013

Sebak untuk saya kenangkan…

Chot

Perginya seorang rakan pada 13 Februari 2013 cukup memberi kesan kepada hati ini. Seorang sahabat yang cukup disenangi ramai dan sentiasa menceriakan keadaan iaitu Mahadzir Haji Azmi yang saya lebih mesra dengan gelaran Chot.

Sejak awal perkenalan saya dengannya menerusi Kelab Penyokong Hijaukuning (HKC), Chot cukup mesra dengan saya apatah lagi saiz badan kami lebih kurang sama sehingga kami membentuk satu pasukan futsal American Football.

Chot12

Sebagai salah seorang penyokong tegar Kedah, Chot banyak membantu saya menggerakkan HKC. Dari segi sokongan, konvoi, pasukan drum, futsal, bolasepak padang dan sebagainya sudah cukup menceritakan betapa komitednya beliau.

Pemergian beliau agak mengejutkan kerana tiada apa-apa amaran penyakit yang dihadapi. Setelah demam lebih kurang seminggu, beliau lebih awal dijemput meninggalkan dunia yang fana ini.

[nggallery id=6]

Apabila ada sebarang aktiviti HKC, saya biasanya akan bawa anak sulung saya Syasya Hana. Syasya memang selalu Chot dukung dan layan dengan cukup mesra. Apabila saya habaq kepada Syasya yang Uncle Chot dah meninggal, Syasya terus menangis hinggakan dia berkeras untuk mengikut saya menatap Arwah Chot buat kali terakhir di rumah mertuanya di Kampung Jiboi, Negeri Sembilan walaupun sehingga tengah malam. Syasya menangis dalam kereta dan bertanya saya mengapa Uncle Chot meninggal dunia awal? Sukar saya nak jawab dalam keadaan beremosi ketika itu apatah lagi dalam kepala sarat dengan kenangan manis pahit bersama arwah. Sukar nak digambarkan perasaan sebenar dalam diri ini ketika itu.

withchot

Salah satu kenangan bersama Chot

Chot… Damailah engkau di sana. Doaku akan sentiasa mengiringimu. Yang pasti semua tetap akan ke sana cuma masanya berbeza. Allah lebih menyayangimu. Engkau pergi dengan memori indah dan amal baik dengan semua sahabat. Pemergian yang cukup mengejutkan semua, namun semuanya adalah ketentuan Allah. Redha dengan segalanya…

Al-Fatihah…





Al-Fatihah Buat Zahari Hasib

28 02 2012

Jujur saya katakan, saya tidak begitu mengenali beliau dan tidak pernah mencari dan mengkaji latar belakang beliau. Namun saya cukup mengkagumi karya-karyanya yang begitu dekat dengan hati saya. Paling saya minati adalah puisi “Perbandingan Bahasa”

Perbandingan Bahasa

Amat sukar memahami bahasa ombak,
Sesekali menampar dengan ramah dan manis,
Melontarkan sepasang kekasih ke alam mimpi,
Kadangkala bengis dan gemuruh,
Memecahkan batu serta terumbu karang,
Atau membanting serta menenggelamkan,
Ribuan kapal dan perahu,
Sehingga ini mungkin hanya si burung camar saja,
Yang tahu dan mengerti apa yang tersembunyi,
Di balik alun riaknya

Namun lebih sukar lagi hendak memahami
Bahasa manusia kerana mereka amat bijak
Berselindung di sebalik seribu pepatah dan
Perumpamaan, penuh kias ibarat serta puisi,
Kadangkala meski pada lahir kedengaran
Lembut dan lunak beralun tapi dalam hati
Tak siapa yang tahu kesumat yang terpendam,
Daripada pertuturan bahasa tidak terkawal
Entah berapa banyak hati yang berdarah terluka,
Ikatan muhibah menjadi roboh binasa,
Akibat tajam dan pedihnya kata-kata,
Kerana itu sabda nabi:
“Adapun orang terbaik antara kamu ialah Muslim yang dapat menyelamatkan Muslim yang lain daripada angkara jahat oleh perbuatan tangan dan lidahnya”.

Marilah kita berbahasa sebaik mungkin,
Kerana bahasa jiwa bangsa,
Marilah kita bertutur seindah mungkin,
kerana jika mata pedang itu tajam,
Tapi tajam lagi kata-kata

ZAHARI HASIB
KUALA LUMPUR

 

Akan tetapi ketika menyelak halaman akhbar Berita Harian hari ini saya terbaca satu tajuk berita “Zahari Meninggal Ketika Azan”. Memang cukup mengejutkan diri saya apatah lagi seperti yang saya katakan, saya tidak pernah cuba mencari siapa sebenarnya Zahari Hasib. Cuma meminati karyanya sahaja. Kini ia sedikit menjadikan diri saya terkilan.

Apa pun terima kasih Zahari Hasib. Al-Fatihah dan doa kukirimkan dari depan komputer ini.

Al-Fatihah…

Terima kasih
kepada pagi
yang menantang angin lembut
segar serta nyaman

Terima kasih
kepada mentari
yang membawa sinar terang
hingga boleh membaca
serta mencatat ilham
untuk menulis beberapa rangkap puisi

Terima kasih
dan selaut kesyukuran
kepada tuhan
yang telah membenarkan aku
hidup sehari lagi
pada hari ini!

ZAHARI HASIB
Teluk Intan, Perak

Pautan tambahan… http://karyawanpk.blogspot.com/2012/02/zahari-hasib-meninggal-dunia.html / http://www.angelfire.com/on4/saifulazrul/PPuisi3.htm





Al-Fatihah: Ustaz Asri Rabbani

14 08 2009

pergitakkembaliasrirabbani“Apabila telah datang ajal mereka, tidak akan dapat mengundurkannya barang sesaat pun dan tidak (pula) mendahulukannya. ” (Q.S. Yunus:49)

Apabila habis mesyuarat jam 12.45 tengahari semalam, saya terbaca dalam utusan Online yang memaklumkan bahawa Ustaz Asri Rabbani telah kembali ke Rahmatullah. Tergamam saya membacanya dan kemudian saya cuba cari dari sumber berita yang lain, memang Sah!

Begitulah lumrah kehidupan. Apabila ada pertemuan, pasti akan ada perpisahan. Apabila ada yang muda pasti ada yang tua. Begitu juga kehidupan suatu detik nanti, pasti kita akan pergi menghadap Allah. Hakikat yang perlu sentiasa kita ingati.

Saya sememangnya cukup meminati Ustaz Asri Rabbani sejak zaman Nadamurni lagi. Paling saya suka ialah Nasyid Zikir Munajat yang begitu memberi kesan. Memang banyak nasyid beliau yang terkesan di jiwa. Medium hiburan dijadikan sebagai satu wahana untuk berdakwah dan Ustaz Asri berjaya menmberi suatu alternatif kepada penggemar hiburan.

Ketika musim perayaan Hari Raya, pasti akan berkumandang alunan takbir Ustaz Asri yang begitu menyentuh perasaan. Ustaz Asri memang cukup istimewa dengan suaranya yang cukup unik dan bacaan ayat Al-Quraan beliau memang cukup merdu didengar. Kalau tidak silap saya beliau mempunyai kelulusan dalam bidang tarannum dari sebuah Universiti di Madinah. Dan sememangnya dalam bidang Tarannum, beliau cukup pakar.

Akhirnya Ustaz Asri dipanggil awal menghadap Allah. Semoga jasamu terus mekar dan menyinari. Tenang dan damailah dikau di sana. Dari ruang hati yang paling dalam kukirimkan Al-Fatihah.

Al-Fatihah (Ustaz Asri Rabbani 03.08.1969-13.08.2009)





Al-Fatihah – Pelakon Nasir Ali meninggal dunia kerana kencing manis

31 10 2008

31/10/2008 4:07pm

Oleh ABD. AZIZ ITAR

KUALA LUMPUR 31 Okt. – Pelakon teater, drama dan filem yang terkenal dengan watak jahat, Nasir Ali meninggal dunia kerana penyakit kencing manis di kediamannya di Bandar Sri Permaisuri di sini pada pukul 3.45 pagi tadi.

Menurut isteri Allahyarham, Kadariyah Yup, 55, suaminya menghembuskan nafas terakhir selepas mengalami demam pada awal pagi tadi ekoran penyakit yang dideritainya itu sejak empat tahun lalu.

Allahyarham yang berusia 55 tahun dan berasal dari Taiping dan dibesarkan di Butterworth itu menghidap kencing manis yang serius.

Nasir juga pernah dinasihati oleh doktor agar memotong ibu jari kaki kirinya bagi mengelakkan ia merebak.

“Pada 13 Oktober lalu, arwah telah dibawa ke HUKM (Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia) di Cheras kerana penyakit yang dihidapinya itu. Doktor mencadangkan agar ibu jari kaki kirinya dipotong supaya penyakitnya tidak merebak.

“Tetapi Allahyarham enggan dan keesokan harinya dibenarkan keluar dari hospital tersebut. Sejak saat itu, beliau lebih banyak berehat dan berpantang di rumah,’’ katanya ketika ditemui di kediamannya di Apartmen Cemara di sini.

Jelas Kadariyah, awal pagi tadi, kesihatan Allahyarham yang mempunyai empat orang anak dan dua orang cucu itu semakin tenat apabila keadaan suhu badannya panas menyebabkan beliau menghubungi ambulans.

Kata isteri pelakon yang mempunyai ijazah seni lakonan dari National University of Dramatic Arts, Sydney, Australia pada tahun 1994 itu, beliau sempat membacakan surah Yassin sebelum Allahyarham meninggal dunia.

“Selepas saya habis membacakan surah Yassin di sisinya, suami saya kelihatan diam tanpa berkata apa-apa, tetapi saya melihat air matanya mengalir. Tidak lama selepas itu barulah beliau meninggal dunia,’’ ujarnya.

Allahyarham yang dilahirkan pada 17 Januari 1953 sewaktu hayatnya terkenal sebagai aktivis teater dan merupakan Presiden Grup Teater Arts Kreatif yang ditubuhkannya pada 1989 dengan aktif berlakon serta mengarahkan teater.

Antara teater lakonan dan arahan beliau berjudul Jebat, Orliana, The Three Sister, Mac Back, Konvensyen Gila, Pran, Bus Stop dan Orang-Orang Kecil, selain turut berlakon filem seperti Mekanik, Hingga Hujung Nyawa dan Senario The Movie.

Tambah Kadariyah lagi, sepanjang karier sebagai pelakon, antara kejayaan Allahyarham ialah beliau pernah diangkat sebagai Pelakon Lelaki Terbaik pada Anugerah Seri Angkasa menerusi drama Kurnia pada tahun 1995 dan Esah Swinger (1996).

Malah, Allahyarham juga pernah mengungguli anugerah Pengarah dan Pelakon Teater Terbaik pada 1987 menerusi teater berjudul Pran.

Nasir Ali atau nama sebenarnya Mohamad Nasir Ali memulakan kerjayanya sebagai pelakon teater pada tahun 1974 dan Liku-Liku Hidup merupakan teater pertama lakonannya yang dipentaskan di Kompleks Budaya Negara (sekarang dikenali sebagai Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan) di Padang Merbok, Kuala Lumpur.

Drama terbaru lakonan Allahyarham berjudul Alahai Anak Omak dan Kepadamu Kekasih telah menjalani penggambarannya sebelum bulan Ramadan lalu dan ia akan ditayangkan di televisyen tidak lama lagi.

source: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1031&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_14.htm (31/10/2008)

 

Arwah adalah seapartment dengan saya. Saya di tingkat 12, Arwah di tingkat 2. Mula dulu saya ingatkan beliau adalah Z Lokman rupanya Nasir Ali. Saya taklah kenal rapat dengan Arwah, cuma tegur macam tu ja la. Pagi tadi saya bersiap awal untuk ke Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang di DECTAR, UKM dan saya perasan macam ada something berlaku di apartmen saya. Oleh kerana saya pun tak berapa sihat saya just ignore.

Lepas Majlis kira-kira jam 12 tengahari saya terus kembali ke Apartmen dan nampak di surau ramai dengan orang dan ada van jenazah. Saya tak menjenguk pulak sebab dok pening kepala lagi. Last sekali bila balik ke ofis selepas Solat Jumaat, saya terbaca online news memaklumkan berita sedih tersebut.

Teringat last kenangan saya dengan Arwah ialah ketika beliau hampir terlanggar saya. Ketika itu saya tak perasan ada kereta, saya terus nak belok nasib baik saya sempat brek. Arwah pun macam kaget jugak waktu tu. Tu last sekali kira-kira dua bulan lepas kot.

Lepas tu dah lama tak bertembung dengan beliau dah hinggalah dapat news tadi.

Al-Fatihah…