Kenaikan tarif Elektrik

31 05 2011

Saya pernah menulis tentang bayangan kenaikan tarif elektrik dalam entri Naik 20 Sen, Bang. Dalam entri itu saya ada menegaskan bahawa sistem subsidi sememangnya akan membebankan kerajaan dengan trend kenaikan harga bahan mentah dan juga bencana alam yang berlaku di serata dunia ketika ini. Apabila kesemua penyebab ini berlaku bermakna, tidak dapat tidak bahan bahan mentah yang mempunyai kebergantungan terhadap perkara tertentu akan melambung naik. Ditambah pula krisis politik di negara-negara yang kaya dengan hasil alam, ia sememangnya amat menambah parah lagi keadaan.

Justeru, pengurangan subsidi sememangnya salah satu jalan. Saya ulangi SALAH SATU JALAN DAN IA SEHARUSNYA MENJADI JALAN TERAKHIR. Saya yakin, andai dilaksanakan lebih banyak langkah berkaitan terlebih dahulu, pandangan awam terhadap kerajaan akan berubah. Seharusnya perjanjian berat sebelah antara kerajaan/agensi dan pihak swasta dikaji semula. Subsidi kepada IPP harus ditarik balik dahulu. Penjimatan perbelanjaan harus dilaksanakan. Pembaziran, penyelewengan/rasuah harus dikekang terlebih dahulu. Mekanisme untuk meningkatkan pendapatan rakyat harus dilaksanakan secara konsisten dan bersepadu. Jika semua ini dapat dilakukan, nescaya pengurangan/penghapusan subsidi akan diterima dengan hati terbuka oleh semua pihak.

Dalam hal ini, seharusnya keutamaan kepada rakyat diutamakan. Ternyata ada impak yang besar apabila diumumkan kenaikan tarif elektrik. Walaupun didakwa 75% pengguna tidak terjejas dari segi bil elektrik, tetapi kesan kenaikan harga barang semestinya ada kerana, kenaikan ini sudah pasti akan diserap oleh pihak pengeluar dalam bentuk kenaikan harga barangan yang akhirnya tetap membebankan pengguna. Bagi yang tinggal di kediaman yang perlu membayar yuran penyelenggaraan, sudah pasti perlu menerima hakikat kemungkinan yuran penyelenggaraan akan dinaikkan. Satu lagi beban yang harus ditanggung tatkala tahap pendapatan masih di takuk lama.

Alasan masih rendah berbanding negara negara tertentu sudah pasti menjadi bahan tawa ramai kerana ia bukanlah perbandingan yang adil. Harus dilihat dengan lebih menyeluruh dari aspek lain sama seperti kadar pendapatan rakyat, sumber hasil bumi, kestabilan ekonomi dan politik serta faktor faktor lain.

Sudah pasti apabila berdepan dengan tekanan inflasi, rungutan ramai akan terus bertambah.

Apa pun, nak tak nak, kena juga ikhtiar penyelesaian. Bagi rakan rakan yang rumah bawah, ramai dah berkira-kira nak pasang panel solar sebagai tenaga alternatif. Kalau macam saya di rumah bertingkat ni, macam mana ya selain langkah penggunaan elektrik berhemah?





Aktiviti Syasya di kampung

30 05 2011

Bila dah balik kampung, Syasya pun ada aktiviti tersendiri. Kalau kat KL, asyik main game ja. Kat kampung barulah Syasya dapat rasa sikit sebanyak permainan kampung. La ni semua pakat hantu game dah…

Dalam gambaq tu, dia main jual beli nyoq guna duit batu.

Lepas tu tuju kasut. Baru Syasya belajaq main. Pak dia dulu main tuju tin, tuju lemak guna bola tenis. Sekali kena tuju pecah habis lemak. Kalau yang tuju tu jenih kuat tangannya, jenuh la menahan perit apatah lagi dalam jarak dekat. Hehehe… Depa tak rasa lagi…

 

Tak pa lah Syasya, belajaq la sikit sikit main permainan tradisional ni. Nanti boleh cerita kat kawan-kawan yang memang asai dari pekan yang tak pernah main mainan macam ni. Depa tengok kot muzium ja.

Banyak lagi permainan kampung yang Walid Syasya main, Syasya tak tau. Nanti ada peluang, Syasya belajaq main…





Anak Menakan Baru

26 05 2011

Alhamdulillah, Abang Ipar saya baru sahaja menimang cahayamata ketiga sebentar tadi. Kira-kira dua minggu lepas baru menerima seorang lagi anak menakan apabila kakak ipar saya menimang anak lelaki. Adik saya pula tempohari dapat anak perempuan. Dijangkakan nanti saya akan menerima satu lagi anak menakan, InsyaAllah…

Alhamdulillah… Tahniah !





Sumbangan Untuk Anak Yatim Madrasah At-Taqwa

25 05 2011

Bagi sesiapa yang ingin menghulurkan sumbangan ikhlas buat mangsa-mangsa kejadian tanah runtuh di rumah Anak Yatim At-Taqwa, boleh terus transfer/bank in ke akaun berikut:-

Maybank

564137300901

Persatuan Anak-Anak Yatim At-Taqwa

Semoga dengan sumbangan ikhlas anda dapat meringankan beban yang mereka tangung, InsyaAllah… Dan semoga Allah merahmati dan melipatgandakan rezeki kalian, Amin…





Syafi Hana: Kisah Syafi Hana

24 05 2011

Kisah Syafi Hana pulak. Anak kedua saya. Biasanya saya dok tulis tentang Syasya Hana, anak sulung saya. Kali ni Syafi Hana pulak… Ni kisah bergambar.

Ketika Syasya sibuk bermain dengan sepupunya, isteri saya perasan keliabat Syafi tidak kelihatan. Bila isteri saya perasan, terus ambil kamera dan tangkap aksi Syafi.

Berada dalam bilik mandi dan sedang memandikan patung Barbie. Pili air rumah saya jenis yang tolak ja, jadi mudah untuk Syafi bukak.

Selepas dimandikan, Syafi lapkan patung Barbie dengan tuala adiknya.

Lap rambut.

Kemudian pakaikan baju. Agak lama sikit aksi ni.

Hah… Dah siap sambil tunjuk kepada Ummi

Yang ni teddy bear yang dah lencun dikerjakannya.

Hmmm… Macam-maam ragam. Seronok tengok…





Sama-Sama Doakan Kesihatan Azizi Haji Abdullah

23 05 2011

Saya pernah menulis tentang Sasterawan Sejati.

Kini Azizi Haji Abdullah terlantar di Hospital Pulau Pinang di Unit Rawatan Rapi (ICU). Keadaan beliau diberitakan agak membimbangkan. Baru baru ini beliau baru sahaja menjalani pembedahan jantung dan dirawat bersama Pak Tam saya di Hospital Pulau Pinang dan keadaan beliau ketika itu stabil.

Namun kemudian beliau dikatakan tidak sedar diri akibat jangkitan kuman dan kini untuk memudahkan beliau bernafas, tengkok beliau terpaksa ditebuk. Ngerinya apabila mendengar situasi sedemikian. Keadaan terkini, masih belum saya ketahui dan dalam keadaan sebegini, saya rasa begitu berat untuk menghantar SMS kepada beliau kerana keadaan beliau yang agak membimbangkan.

Sama-samalah kita doakan agar kesihatan beliau bertambah baik dan pulih seperti biasa, InsyaALLAH…





Istiwa Matahari Atas Kaabah Pada 28 Mei 2010

23 05 2011

Sekali lagi matahari dan bumi berada pada kedudukan yang cukup unik, dan sudut yang cukup tepat dan sesuai bagi umat Islam untuk menyemak kembali arah kiblat kita.Pada jam 5.16 PM , 28 Mei 2010 nanti (Jumaat ini), Matahari berada tegak di atas Kabaah di Masjidilharam Mekah.

Fenomena yang dikenali sebagai istiwa matahari ini merupakan satu anugerah Allah SWT yang diberikan kepada manusia di Bumi untuk kembali mengingati kebesaran dan kekuasaanNya mentadbir pergerakan apa yang ada di langi dan bumi untuk kegunaan manusia umumnya.

Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan penggantian siang dan malam terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi orang-orang yang berakal””(iaitu) orang yang mengingati Allah sambil berdiri, duduk dan dalam keadaan berbaring, dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata), “Wahai Tuhan Kami, tidaklah Engkau menciptakan semua ini sia-sia; Mahasuci Engkau, lindungilah kami dari azab neraka”

(Surah Al-Imran: Ayat 190-191). RujukanTafsir Qur’an Per Kata: Dr.Ahmad Hatta, MA.

Ada yang bertanya,  mengapa bersusah-payah berjemur tengah panas mencari kedudukan kiblat, lebih baik guna kompas.

Jawapan agak mudah. Kompas berfungsi berdasarkan medan magnet bumi. Namun, jika ada sumber medan magnet yang berdekatan (seperti besi, tv dll) , penunjuknya akan terpesong dan menunjuk ke arah lain. Jika kita tidak berhati-hati ia akan memberi kesan kepada arah yang hendak dicari.Objek-objek di angkasa merupakan sebaik-baik petunjuk arah kerana ia tidak terpesong walau sedikit pun.

Ini semua kerana jaminan Allah SWT yang telah diberikan dalam ayat Quran di bawah:

“Dan Dialah yang telah menciptakan malam dan siang, matahari dan bulan. Masing-masing dari kedua-duanya itu beredar (yasbahun) dalam falaknya.” (Surah al-Anbiya: 33)

Dan bukan matahari mendahului bulan dan bukan juga malam mendahului siang. Mereka beredar (yasbahun) dalam falak sendiri.” (Surah Yaasin: 40)

Maka itu, buanglah perasaan ragu-ragu anda. Teknologi yang sedia ada ini semuanya berasal daripada keadah ukuran yang dibuat oleh ilmuwan terdahulu.

Dr.Baharuddin Zainal (UDM) menjelaskan di dalam artikel “Arah Kiblat: Isu Istiwa Adzam” di laman web UDM, bahawa kaedah falak tradisional ini lebih ‘mesra pengguna’, dan mudah untuk dipraktikkan. Malah kaedah istiwa matahari ini telah diketahui lebih 3000 tahun dahulu!

Kembali kepada fenomena yang akan berlaku Jumaat ini, tepat pada jam 5.16 PM, matahari akan bergerak dan berada pada kedudukan tepat di atas Kaabah. Jika kita berpeluang berada di Masjidilharam ketika itu, kita akan lihat Kaabah (serta apa yang berdiri tegak di persekitarannya, seolah-olah tidak ada bayang-bayang.Ketika itu, waktu di Mekah ialah 12.16 tengahari.

Oleh itu, pada saat itu, jika kita di Malaysia pandang ke arah matahari, bermakna kita sedang menghadap tepat ke arah kiblat.

Cara untuk menentukan kedudukan ini ialah dengan menggunakan bayang-bayang tiang atau dinding bangunan atau apa-apa yang tegak 90 darjah sebagai panduan. Garisan bayang-bayang yang terhasil akan terarah tepat ke Mekah.

Pada tahun 2007, saya telah menghantar sebuah powerpoint menunjukkan kaedah mudah menentukan arah kiblat tersebut. Alhamdulillah, saya dapati selepas itu, ia telah ditukar format di PDF oleh hamba Allah yang tidak diketahui dan tersebar luas dari tahun ke tahun. Semoga Allah SWT merahmati usaha sesiapa sahaja yang menyebarkan maklumat itu untuk kebaikan semua.

Jika berminat, boleh juga muat turun di SINI.

Oleh itu, jangan berlengah lagi. Jom kita periksa sekali lagi arah kiblat pada 28 Mei ini.

NOTA: Fenomena yang sama akan berulang pada 16 Julai 2010, jam 5.28 PM. Wallahualam

sumber: http://www.falak-online.net/portalfalak/content/26/5/2010/istiwa-matahari-atas-kaabah-pada-28-mei-2010-516-pm (23/05/2011)