Kenaikan tarif Elektrik

31 05 2011

Saya pernah menulis tentang bayangan kenaikan tarif elektrik dalam entri Naik 20 Sen, Bang. Dalam entri itu saya ada menegaskan bahawa sistem subsidi sememangnya akan membebankan kerajaan dengan trend kenaikan harga bahan mentah dan juga bencana alam yang berlaku di serata dunia ketika ini. Apabila kesemua penyebab ini berlaku bermakna, tidak dapat tidak bahan bahan mentah yang mempunyai kebergantungan terhadap perkara tertentu akan melambung naik. Ditambah pula krisis politik di negara-negara yang kaya dengan hasil alam, ia sememangnya amat menambah parah lagi keadaan.

Justeru, pengurangan subsidi sememangnya salah satu jalan. Saya ulangi SALAH SATU JALAN DAN IA SEHARUSNYA MENJADI JALAN TERAKHIR. Saya yakin, andai dilaksanakan lebih banyak langkah berkaitan terlebih dahulu, pandangan awam terhadap kerajaan akan berubah. Seharusnya perjanjian berat sebelah antara kerajaan/agensi dan pihak swasta dikaji semula. Subsidi kepada IPP harus ditarik balik dahulu. Penjimatan perbelanjaan harus dilaksanakan. Pembaziran, penyelewengan/rasuah harus dikekang terlebih dahulu. Mekanisme untuk meningkatkan pendapatan rakyat harus dilaksanakan secara konsisten dan bersepadu. Jika semua ini dapat dilakukan, nescaya pengurangan/penghapusan subsidi akan diterima dengan hati terbuka oleh semua pihak.

Dalam hal ini, seharusnya keutamaan kepada rakyat diutamakan. Ternyata ada impak yang besar apabila diumumkan kenaikan tarif elektrik. Walaupun didakwa 75% pengguna tidak terjejas dari segi bil elektrik, tetapi kesan kenaikan harga barang semestinya ada kerana, kenaikan ini sudah pasti akan diserap oleh pihak pengeluar dalam bentuk kenaikan harga barangan yang akhirnya tetap membebankan pengguna. Bagi yang tinggal di kediaman yang perlu membayar yuran penyelenggaraan, sudah pasti perlu menerima hakikat kemungkinan yuran penyelenggaraan akan dinaikkan. Satu lagi beban yang harus ditanggung tatkala tahap pendapatan masih di takuk lama.

Alasan masih rendah berbanding negara negara tertentu sudah pasti menjadi bahan tawa ramai kerana ia bukanlah perbandingan yang adil. Harus dilihat dengan lebih menyeluruh dari aspek lain sama seperti kadar pendapatan rakyat, sumber hasil bumi, kestabilan ekonomi dan politik serta faktor faktor lain.

Sudah pasti apabila berdepan dengan tekanan inflasi, rungutan ramai akan terus bertambah.

Apa pun, nak tak nak, kena juga ikhtiar penyelesaian. Bagi rakan rakan yang rumah bawah, ramai dah berkira-kira nak pasang panel solar sebagai tenaga alternatif. Kalau macam saya di rumah bertingkat ni, macam mana ya selain langkah penggunaan elektrik berhemah?

Advertisements




Harga Barang Naik

1 01 2010

Hmmm… Berita yang tidak gembira di Tahun baru ini.

Tadi ketika saya membeli gula dan roti, penjual tu habaq, “Bang, tengah malam sat lagi bukan harga gula ja naik, harga roti pun naik!”

“Berapa naik?” Tanya saya
“Tak pastilah berapa tetapi memang naik”
“ok,” kata saya sambil melihat harga roti tu.

Lepas ni kena banyak berjimat. Yang bagusnya ni lah masa terbaik untuk kurangkan penggunaan gula. Saya pun dah dapat info yang harga gula akan dinaikkan dan saya pun dah beli untuk simpanan terlebih awal sebelum ni.

Kenaikan ini juga akan menjadi satu alasan peniaga makanan untuk menaikkan harga makanan dan minuman. Cuma anehnya ada minuman yang kurang gula tetapi harganya lebih mahal. Secara logiknya patut lebih murah sebab ramuannya berkurang. Hmmm…

Apa pun kenalah pandai menyesuaikan diri dan mencari jalan terbaik menjimatkan kos…

SELAMAT TAHUN BARU 2010





Harga Tol Naik

26 02 2009

Alamak… Satu berita yang tak sedap saya dengar. Kebetulan bulan depan saya kena balik kampung memandangkan abang ipar nak kahwin, jadi saya akan lalui tol PLUS.  Bila ada kenaikan macam ni memang membebankan.

Yes, memang ia ada harga untuk dibayar tetapi dalam situasi ekonomi sebegini, ia dilihat terlalu mahal. Saya balik Kedah sebelum ni lebih kurang RM108 pergi balik kalau naik 5% dah RM5 kenaikan. Hmmm… Jadi lepas ni, pengusaha bas akan tuntut kenaikan harga bas lah pulak.

Dulu saya balik Kedah kena dalam RM20 ja lepas tu naik RM25 lepas tu naik jadi RM30 dan la ni RM39. Lepas ni lagi lah… Adoi… Nasib baik waktu la ni harga minyak pada paras RM1.80 (Patutnya lebih rendah lagi kalau ikut harga pasaran minyak semasa). Hmmm…