Ciri Baru Keselamatan Maybank2u

30 03 2011

Buat anda yang masih belum log in maybank2u.com sejak 27 Mac lepas, pasti anda akan terkejut jika diminta untuk meningkatkan ciri-ciri keselamatan akaun perbankan internet anda. Sebenarnya tiada apa yang perlu anda takutkan kerana ia adalah untuk keselamatan anda.

Anda cuma perlu klik Register dan lakukan pilihan imej yang anda berkenan. Contohnya seperti di bawah.

Katalah anda pilih penyapu dan tulislah dalam ruang kosong itu “Penyapu” atau apa sahaja yang anda ingin tulis.

Kemudian selepas anda submit, anda perlu menetapkan TIGA soalan keselamatan dan jawapannya sekali untuk keselamatan. Pilihlah dengan teliti dan ingat jawapan anda kerana ia akan ditanya sekiranya berlaku perkara-perkara yang mungkin menjejaskan keselamatan akaun anda.

Jadi selepas selesai anda boleh gunakan seperti biasa akaun perbankan internet anda.

Apa kelebihannya?

Pertama sekali, ia dapat membantu anda mengenali sama ada ia Phishing site atau tidak. Jika anda log in, pastikan imej yang anda pilih terpapar. Jika tidak, bermakna anda bukan berada pada Laman Web Maybank yang sebenar. Ini kerana terlalu ramai pengguna yang cuma klik pautan yang diberikan dan terus log in. Sebenarnya ini suatu perangkap! Jangan klik mana-mana pautan dari email atau link yang diberikan oleh orang lain melainkan anda taip sendiri http://www.maybank2u.com.my untuk lebih selamat. Jika tidak, mungkin sahaja dalam masa sekelip mata akaun anda akan berkurang!

Advertisements




Naik Harga

29 03 2011

Tempoh hari saya terima satu panggilan. Tapi saya tak sempat angkat. Lalu bila saya telefon semula tertera pada skrin telefon saya, “Number not in use”. Pelik jugak. Lalu saya cari dalam internet nombor berkenaan dan akhirnya saya jumpa. Dalam internet memaklumkan bahawa itu adalah nombor ASTRO yang akan call kalau kita ada baki tertunggak. Rupanya bila saya tengok bil sebelum ni memang RM71.95 tetapi sekarang dah kena bayar RM76.25. Lalu saya pun bayarlah…

Kemudian, saya ke sebuah klinik. Untuk tempoh sejam biasanya saya kena caj RM1.50 tetapi kali ni saya standby RM1.50 tiba-tiba kena caj RM1.60. Tergamam saya dibuatnya. Saya bayar sahaja lah. Kemudian, saya ke klinik tersebut sekali lagi. Kali ni, saya bertekad nak tahu sebab apa kena bayar lebih RM0.10. Bila sampai kat tempat bayaran, barulah saya ternampak notis service charge 6% dikenakan berkuatkuasa 2011. Hmmm terlupa pulak bab service charge 6% ni mula diperkenalkan. Cuma sebelum ni yang saya tahu di tempat tempat tertentu sahaja yang kadarnya hanya 5% seperti di KFC.

Febuari lepas Saya pergi tukar tayar kereta, saya dimaklumkan harga baru dah naik 15% sebab kenaikan harga getah. Nak tak nak kena tukar jugak sebab keselamatan. Tengok alat-alat gantian pun makin naik harga.

Lepas tu REHDA pula keluarkan kenyataan diunjurkan bulan Jun ini harga rumah akan naik sekitar 20%. Naik lagi!

Saya tengok susu anak saya pun dah naik harganya. Hmmm…

Kemudian saya ke pasaraya, nak beli dua tin sardin. Sebelum ni cuma RM4.70. Sekarang dah RM5.20. Hmmm naik harganya…

Teringat pulak dekat makcik yang jual nasi lemak mengadu yang sotong yang dia selalu beli cuma RM13 sekilo tapi sekarang dah jadi RM25. Lepas tu dia kata ayam pula dah naik dekat RM10 sekilo! Sambil menunjukkan Pasar Besar Cheras.

Bila saya beli Nasi goreng ayam, saya perasan yang nasinya dan ayamnya bertambah sedikit.

Tertekan juga bila semakin naik harga barang. Hampir semuanya naik, tekanan kewangan semakin tinggi. Saya dan isteri masih lagi boleh bertahan. Alhamdulillah tetapi memikirkan rakan-rakan yang gaji mereka jauh lebih rendah, bagaimana ya mereka menghadapi semua ini? Apakah sebab itu hutang isi rumah di negara kita melonjak pada tahap yang menggerunkan kalau lihat angkanya? Bagimana kalau trend ini berterusan tatkala peningkatan pendapatan tidak bergerak? Apa akan jadi?





Terhenti Degup Jantung

20 03 2011

Jumaat lepas, sewaktu makan tengah hari di Sungai Besi, saya dan keluarga beserta keluarga kakak ipar saya menjamu selera di sebuah warung di tepi jalan di sana. Keadaan agak tenang dan keadaan trafik tidaklah begitu sibuk. Selepas makan, saya bergegas nak ke Masjid untuk Solat Jumaat manakala kakak ipar saya yang tidak biasa jalan di situ bertanyakan saya tempat untuk anak-anak beliau ke tandas. Kalau nak ke Masjid memang sesak dengan kaum muslimin nak Solat Jumaat.

Ketika itu, seorang adik ipar saya dan sepupu Syasya sudah melintas ke seberang jalan. Syasya nak ikut mereka tetapi tertinggal di belakang. Lalu saya sempat lihat Syasya yang cuma tengok sebelah jalan sahaja. Bila tiada kereta dari arah kanan dia terus berlari untuk melintas jalan, malangnya Syasya tidak memerhatikan kereta dari arah kiri jalan. Apa lagi ! Terus saya menjerit, “Syaaaassssssyyyyyyyaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaa!” Sekuat hati.

Ketika itu terasa jantung saya terhenti. Terkejut semuanya ada…

Kereta itu meluncur laju tetapi Alhamdulillah Syasya dengan sepantas kilat berpusing dan kembali berlari ke arah saya. Tak pasti sama ada refleks spontan Syasya atau seperti ada benda lain yang menarik Syasya berpusing begitu pantas memalingkan diri dan terus meluru ke arah saya. Semuanya begitu pantas. Sekelip mata sahaja. Bila Syasya dah sampai kepada saya, apa lagi, terus kena marahlah Syasya dengan saya. Sebelum ni, kalau nak lintas dia tak pernah pun terus macam tu, memang pegang tangan saya atau isteri.

Bila masuk dalam kereta, memang habislah Syasya kena ‘basuh’. Sampaikan Syasya tersedu-sedu menangis. Memang pengajaran yang amat berguna buat Syasya. Salah saya pun ada sebab tak betul betul mengawal atau pegang tangan Syasya. Saya lebih tumpukan kepada hal lain.

Syasya jangan buat macam tu lagi…

Malam tadi bila lalu di jalanraya, Syasya cakap kepada saya, “Syasya kena tengok kiri kanan dulu, kalau tak ada kereta baru lintas. Kan Walid?”. Saya mengangguk setuju dan berkata,”ya”.

Syasya… Mahalnya pengalaman tu ! Jadikan pengajaran bersama !





Selamatkan Alam Kita

18 03 2011

Pada satu hari Sabtu, saya ke sebuah supermarket untuk membeli barangan keperluan keluarga. Adalah beberapa bungkus makanan mentah dan barnag keperluan lain. Saya letakkan dalam raga sebelum saya letak di kaunter. Sesampainya di kaunter, saya disapa oleh jurujual supermarket tersebut, “Bang, hari ni plastik tak dibekalkan. Kalau nak juga plastik, kena bayar 20 sen dan akan didermakan untuk usaha memelihara bumi”.

Terlupa pulak saya dan saya menjawab, “OK. Tak mengapa”. Walaupun meneyedari agak sukar untuk bawak barang ke kereta, saya harus menerimanya dengan hati terbuka. Sebenarnya situasi ini saya sudah hadapi di Pulau Pinang apabila Kerajaan Negeri Pulau Pinang memperkenalkan hari tanpa plastik. Kemudian diperluaskan di Selangor dan kini di seluruh Malaysia. Cumanya Penang kini dah mulakan hari tanpa plastik setiap hari.

Dari apa yang saya perhatikan, ada yang merungut dan marah. Ada yang menyambut baik dan telah bersedia dengan lebih awal. Bagi yang berduit, depa tak kisah keluarkan 20 sen untuk plastik. Ada juga pasaraya yang sediakan kotak terpakai untuk pengguna yang sukar nak bawa banyak barang. Dan ramai juga yang sudah sediakan raga khas / troli  apabila membeli belah. Ada juga yang gunakan beg kitar semula.

Mungkin ada yang membantah kerana melihatnya amat menyukarkan tetapi jika kita melihat fakta-fakta yang dikemukakan, kita harus berkorban untuk memastikan bumi kita terus hijau dan terpelihara demi untuk kesejahteraan kita juga. Plastik, umpamanya memerlukan masa lebih kurang 500 tahun untuk terurai. Kalau kita meneruskan penggunaan beg plastik dengan begitu berleluasa, nescaya bumi kita akan menanggung beban yang semakin hari semakin bertambah. Sebab itu apabila memilih plastik sampah, saya memilih plastik yang terbiodegradasi untuk memastikan kesan minimum terhadap alam sekitar.

Di tempat kerja saya, PPUKM misalnya, telah diperkenalkan peraturan agar bekas polistirena diharamkan di semua gerai dan kedai makan. Malah staf juga dibekalkan dengan bekas makanan. Bekas makanan ini boleh digunakan untuk menggantikan bekas polistirena sewaktu membeli makanan. Tetapi mungkin budaya ini masih baru dan tiada yang melakukannya. Berbanding plastik, bekas polistirena lebih parah kesannya terhadap alam sekitar kerana ia tidak terurai langsung menerusi proses semulajadi. Justeru, penggunaannya amat perlu dihindari.

Kita seharusnya memikirkan tentang bumi kita. Tatkala ini, semakin banyak kejadian-kejadian bencana alam berlaku. Ia sebenarnya adalah hasil bahana yang kita sendiri cipta. Penebangan begitu banyak pokok menjadikan dunia semakin panas dan akibatnya ais di kutub mula mencair dan menenggelamkan beberapa kawasan dan sekiranya berterusan beberapa kawasan rendah akan terus tenggelam termasuk Klang! Ia juga menjadikan beberapa negara mengalami kesejukan luar biasa manakala di sesetengah negara kepanasan yang melampau. Iklim dunia sudah semakin bercelaru akibat tangan-tangan manusia.

Sebab itu sebolehnya saya cuba menerapkan kitar semula dari rumah. Dari rumah lagi, saya sudah cuba mengasingkan tin, botol plastik, kertas dan sampah lain agar mudah dikitar semula. Biasanya saya kumpul tin dan beri kepada Mak Cik Cleaner untuk mereka jual dan dapat sedikit wang. Begitu juga dengan akhbar. Semuanya perlu bermula dari rumah tetapi berapa ramai yang masih leka. Kita perlu serius dalam hal ini. Saya juga difahamkan bahawa ada satu rang undang-undang yang sedang digubal untuk memastikan isi rumah di negara kita melakukan pengasingan bahan buangan untuk memudahkan proses kitar semula. Sekiranya tidak dilakukan, denda akan dikenakan. Jika benar ada cadangan sebegitu, saya menyokong penuh cadangan tersebut.

Kehijauan bumi kita sudah semakin pudar. Kesegaran alam juga sudah semakin hilang. Apakah kita mahu hidup dalam dunia yang serba tercemar dan akhirnya memberi kesan kepada kesihatan kita? Kita harus memulakan kesedaran untuk menyelamatkan alam sekitar kita dengan segera. Mulakan di rumah walaupun pada kuantiti yang sedikit. Kita mampu mengubahnya !





Dilema Seorang Guru

13 03 2011

Saya masih ingat zaman saya belajar dahulu. Abah dah pesan kepada Cikgu, kalau saya lakukan kesalahan, jangan segan hukum dan rotan saya. Teringat juga kisah seorang guru Bahasa Inggeris di sekolah saya yang cukup dikenali ramai, Miss Siaw. Kegarangannya menjadikan ramai yang berjaya. Saya sendiri pernah dirotan di tapak tangan kerana tulisan cakar ayam. Tu baru bab tulisan cakar ayam, yang tak bawak buku, tak buat kerja lagi teruk kena tetapi mak bapak tetap memberi sokongan kepada guru.

Sekarang, zaman dah berubah…

Kelmarin, saya dapat SMS dari isteri saya tertekan apabila ada ibu bapa yang telefon memarahi beliau kerana isteri saya marah anaknya. Ada juga nota pesanan ditinggalkan ibu bapa suruh telefon semula ke kompleks mahkamah (mungkin kerja kat mahkamah dan nak takutkan isteri saya). Hmmm… Isteri saya terangkan, yang dia cuma rotan dengan pembaris tanpa tinggalkan kesan kerana tak bawak buku ke sekolah. Itu sahaja. Setakat yang marah tak buat apa-apa pun kena ‘serang’ dengan mak bapak murid jugak.

Siap kata kepada isteri saya, “apa perasaan ustazah kalau anak Ustazah kena macam anak saya?”. Nak sahaja isteri saya jawab, “Tak kisah kalau betul-betul buat salah”.

Kalau zaman saya dulu, kalau kita mengadu kena hukuman dengan cikgu, mak bapak akan mai sekolah suruh cikgu tambah lagi hukuman!

Kalau amaran kecul macam tu pun tak dapat diterima, macam mana nak displinkan anak bangsa? Bukannya sampai tinggalkan kesan fizikal. Cuma sekadar untuk mendidik. Kadangkala sikap terlalu memanjakan anak sebegini menjadikan anak mengambil kesempatan. Di depan mak bapak cukup baik tetapi di belakang, bukan main lagi. Sebab itu la ni, sikit-sikit nak saman. Bila guru tak dihormati, macam mana nak dapat keberkatan ilmu?

Memang tertekan isteri saya, sampaikan dia kata, “lepas ni biarlah jadi anakku sazali lah…”

Itulah salah satu dilema seorang guru dengan sikap ibu bapa zaman kini.





Menyesal

11 03 2011

Entah mengapa… Bila tekanan memuncak, saya telah meletuskan letusan gunung berapi.

Saya memang jenis yang sukar nak marah tetapi dengan pelbagai tekanan kerja, kewangan dan lain-lain, saya telah jerkah anak saya Syasya Hana hanya kerana Syasya lambat datang kepada saya. Syasya jadi terkejut dan terus menangis. Waktu tu saya memang tengah dalam api kemarahan. Rasa macam nak hempuk pintu kuat-kuat, nak pecahkan cermin dan buat macam-macam. Rasanya kalau ada peragut datang, saya rasa mati saya belasah. Hmmm… Entahlah…

Terus saya keluar dari rumah dan ke gimnasium dan berlari sepuas-puasnya di atas threadmill. Memang saat saya melepaskan tekanan adalah saat saya bersukan. Kepuasan bersukan memang banyak melupuskan tekanan saya. Namun dalam suasana kerjaya hari ini, ramai yang pergi kerja pagi dan balik dah malam, bila lagi waktu nak bersukan? Dengan masa bersama anak-anak lagi, bersosial lagi dan lain-lain. Kalau tak bersukan pulak saya akan rasa badan lemah tak bermaya dan cepat letih.

Teringat saya pada tulisan sahabat saya MELIHAT TAPI BUTA. Setelah berlari sepuas-puasnya, timbul rasa bersalah kepada anak saya. Ya Allah! Aku dah tersilap. Betul betul tersilap. Saya tak mahu dia trauma. Bila balik sewaktu Syasya sedang sibuk melakukan kerja rumah yang diberi cikgunya. Syasya cakap, “Walid tak boleh marah anak-anak, kena cakap elok-elok”. Hmmm… Terkedu juga saya. Memang silap saya. Rasa nak menangis pun ada kerana apalah dosa anak yang baru berumur empat tahun setengah tu.

Saya kena perbaiki diri. Kena tangani stress dengan lebih baik. Walau sebanyak mana pun perkara yang ada dalam kepala, saya kena lebih bijak menguruskannya dan juga corak hidup di kotaraya yang cukup menghimpit. Masih banyak yang perlu saya belajar dalam hidup ini…

Memang saya menyesal. Maafkan Walid Syasya. Maafkan abang, sayang…