Selamat Hari Lahir Syasya

30 08 2009

Alhamdulillah…

Hari ini genap tiga tahun usia Syasya. Dalam masa tiga tahun, dah banyak yang Syasya dapat pelajari. Alhamdulillah… Dan mungkin juga dalam bila-bila masa ini Syasya akan dapat adik.

Jangkaan isteri saya bersalin adalah 03 September 2009 tetapi saya merasakan hujung Ogos adik Syasya dah dilahirkan. Hmmm… Sedang menanti dengan penuh debaran… Bila-bila masa sahaja ini.

Untuk pak-pak menakan… Sila siap duit raya satu sampul lagi tau 😉

Selamat Hari Lahir Syasya Hana…

p/s: Maaf, saya agak sibuk kebelakangan ini dan usaha memulihkan dan set up hosting sedang dilaksanakan. InsyaAllah nanti saya akan kembali aktif seperti biasa.





Telefon Rosak

25 08 2009

Agak menyedihkan… Telefon Phillips 392 yang saya pakai telah retak skrinnya hinggakan tidak dapat dibaca mesej yang terpapar. Hmmm… Kalau anda SMS saya, dan saya tanya nombor siapakah ini, jangan berkecil hati kerana nombor anda ada dalam telefon tersebut.

Ada 300 nombor yang masih berada di dalam telefon tersebut manakala 250 lagi sememangnya berada dalam kad sim saya. Kelam kabut jugaklah sehari dua ini sementara saya nak perbaiki telefon tersebut.

Bagaimana boleh retak?

Ada sangkut paut dengan cermin juga. Ketika itu kereta saya menghadapi masalah apabila cermin belakang sebelah penumpang jatuh ke bawah. Penyangga di dalamnya didapati pecah. Jadi saya perlu menyendal cermin tersebut untuk memastikan ia tidak terbuka bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini.

Ketika itu, saya memakai baju melayu dan telefon bimbit saya berada dalam poket baju melayu sebelah bawah. Ketika hendak menutup pintu belakang dengan pantas, saya terperasan, baju melayu saya tersangkut dan terkena telefon bimbit saya. Bila tengok telefon bimbit dah retak, memang rasa macam nak menangis ja. Bukan apa… banyak contact number ada dalam tu.

Hmmm… Kena pi kedai perbaiki. Melayang lagi duit…





Selamat Menyambut Ramadhan

22 08 2009

Alhamdulillah setelah masuk waktu Maghrib tadi, maka bermulalah saat kemuliaan bulan Ramadhan yang awalnya penuh dengan kerahmatan Allah, di tengahnya keampunan Allah dan pada pengakhirannya pelepasan dari api neraka.

Secara peribadi, saya mahu Ramadhan kali ini lebih baik dari tahun lepas. Tahun lepas bukanlah Ramadhan yang terbaik bagi saya dan Alhamdulillah sekali lagi Allah memberi peluang untuk mengecapi kenikmatan dan keberkatan Ramadhan al-Mubarak.

Sebelum itu, saya dengan rendah diri memohon ampun maaf dari semua atas segala kesilapan dan juga tingkalaku. pertuturan dan penulisan saya yang menyinggung perasaan.

Sama-sama lah kita harungi Ramadhan kali ini dengan penuh keinsafan, ketaatan dan keikhlasan. Moga maghfirah Allah akan terkurnia.

Hikmah Ramadan
Alhamdulillah… Alhamdulillah
Ramadan kini tiba lagi
Alhamdulillah… Alhamdulillah
Syukur pada Yang Esa
Bulan Ramadan tiba lagi
Membawa hikmah dan pengajaran
MEndidik jiwa orang bertakwa
Menginsafkan diri siapa kita
Jagalah adab di bulan ini
Berbukalah dengan sezeki yang halal
Sediakan juadah yang berpatutan
Elakkan diri dari pemmbaziran
Berbagai hikmah dan baraqah
Terkandung di dalam bulan Ramadan
Dikurniakan juga Lailatulqadar
Malam terpilih sepuluh malam terakhir
Puasa bukan hanya berlapar
Tapi ia jalan menuju ketakwaan
Ibadat dibina dari hati maknawi
Redha lagi pasrah penuh kehambaan
Alhamdulillah… Alhamdulillah
Syukur pada Yang Esa
Rabbani (Asri Ibrahim / Sharifah Maisarah Syed Jamaluddin)

Hikmah Ramadan

Alhamdulillah… Alhamdulillah
Ramadan kini tiba lagi
Alhamdulillah… Alhamdulillah
Syukur pada Yang Esa

Bulan Ramadan tiba lagi
Membawa hikmah dan pengajaran
Mendidik jiwa orang bertakwa
Menginsafkan diri siapa kita

Jagalah adab di bulan ini
Berbukalah dengan sezeki yang halal
Sediakan juadah yang berpatutan
Elakkan diri dari pembaziran

Berbagai hikmah dan baraqah
Terkandung di dalam bulan Ramadan
Dikurniakan juga Lailatulqadar
Malam terpilih sepuluh malam terakhir

Puasa bukan hanya berlapar
Tapi ia jalan menuju ketakwaan
Ibadat dibina dari hati maknawi
Redha lagi pasrah penuh kehambaan

Alhamdulillah… Alhamdulillah
Syukur pada Yang Esa

Rabbani
(Asri Ibrahim / Sharifah Maisarah Syed Jamaluddin)





Sambutan Hari Lahir Syasya

21 08 2009

Syasya Lahir pada 30 Ogos 2006

30 Ogos 2009 jatuh pada hari Ahad dan dalam bualan Puasa. Jadi, saya dan isteri mengatur perancangan untuk mengadakan sambutan hari lahir Syasya 10 hari lebih awal iaitu pada hari ini.

Pagi nanti, kami akan bawa kek yang telah dibeli ke tadika Syasya. Semalam kami dah pun bawa 36 bungkus goodies untuk rakan-rakan di tadika Syasya. Biasanya bila ada kawan-kawan Syasya sambut hari lahir, depa akan berikan satu party pack kepada setiap rakan tadika di situ yang berjumlah 36 orang.

Hmmm… Saya dan isteri ingat kot murah nak buat macam tu tapi rupanya agak mahal. Beli party pack untuk 10 orang harganya RM16.99. Untuk 36 kena beli empat set. Dah berapa dah…

Itu tak termasuk makanan dan minuman lagi serta kek. Banyak jugak kos sampai hampir RM200 kami belanjakan. Adoi, nasib baik isteri yang tercinta ada bajet. Hehehe… (Ayat bodek)

Lepas beli semua barang tersebut, saya agak pening kepala tengok kos namun pagi semalam ia terubat bila tengok Syasya tersenyum lebar dan amat ceria bila tengok semua goodies tu.

“Happy birthday Syasya kan?” Tanya Syasya
“Ya” jawab saya.

Sepanjang perjalanan ke tadika semalam, Syasya asyik nyanyikan lagu, “Happy Birthday to Syasya, happy birthday to Syasya,” berulang kali.

Memang kepuasan terjelma bila tengok Syasya gembira.





Terpaksa Pindah Hosting

20 08 2009

Setelah sekian lama berusaha, akhirnya saya terpaksa akur apabila syarikat yang mengendalikan hosting saya terpaksa gulung tikar. Memang sedikit sebanyak ia memalukan UTM kerana ia dikendalikan oleh salah seorang pensyarah UTM.

Terpaksalah saya bertukar ke hosting lain dan InsyaAllah hujung bulan ini domain http://www.saifulazrul.net dan hosting saya akan kembali aktif. Yang sedihnya ialah banyak data saya yang hilang dan tak dapat dikembalikan…

Blog saya pun kehilangan entri sejak Mei 2009 hingga Julai 2009. Memang kecewa.

Berikut adalah kenyataan pihak syarikat dalam web mereka baithost.

Latest Announcement:

Kepada Pelangan diserver : Myne, Dammya, Gamma

Duka cita dimaklumkan bahawa atas masalah kerosakkan servis dan seterusnya menyebabkan kehilangan data kepada sebahagian dari pelanggan Baithost.com.my, kini reputasi syarikat telah jatuh teruk. Sehingga kini tiada satu pelanggan yang melanggan bersama syarikat. Akibatnya Baithost.com.my kini tidak lagi mampu untuk meneruskan operasi dengan bebanan kredit yang tinggi. Pihak pekerja yang selama ini menjadi nadi syarikat juga terpaksa diberhentikan. Oleh kerana tiada sebarang sumber pendapatan, pihak syarikat tidak lagi mampu untuk membayar sewa kepada data centre, Telekom Malaysia,dan telah menerima notis untuk ditamatkan operasi. Oleh itu pihak kami memohon supaya semua pelanggan yang masih bersama Baithost.com.my agar dapat memindahkan website mereka kepada web hosting yang lain sebelum pihak Telekom Malaysia menamatkan operasi tersebut dan data tuan/puan tidak dapat diperolehi. Pihak kami memohon ribuan ampun dan maaf atas segala kesulitan yang berlaku.

Untuk proses Domain Name Code, Sila email ke support@baithost.com.my. Kami akan lepaskan kesemua domain name dibawah jagaan kami.

Sekian

Pengurusan Baithost Hosting Services

———————————————————————————————————————————————————————-

Makluman kepada Semua Pelanggan Baithost.com.my yang terlibat dengan kehilangan data.

Terutama sekali pihak kami memohon ribuan ampun dan maaf di atas kerosakan server sehingga mengakibatkan kehilangan data Semua Pelanggan yang terlibat.

Sungguhpun pihak kami hanya merupakan syarikat yang hanya menyediakan ruang untuk Pelanggan menempatkan web mereka dan bukan sebagai data storage centre sepertimana yang jelas tercatat di dalam terma dan syarat, namun pihak kami meneruskan tanggungjawab untuk mendapatkan semula data-data yang telah hilang itu.

Pelbagai usaha dan cara telah dilakukan termasuklah mencari pakar di dalam Negara dan juga di luar Negara (Indonesia) bagi mendapatkan semula data-data yang hilang itu dalam bentuk yang boleh di proses semula.

Namun sehingga hari ini, data-data yang mampu diperolehi  hanyalah data-data yang tidak tersusun dan juga hilang strukturnya. Semua kepakaran yang ada hanya mampu hingga ke takat itu sahaja.

Telah banyak ikhtiar yang telah di lakukan bagi membantu mendapatkan semula data-data yang boleh di proses kembali. Oleh itu, pihak kami telah menghentikan operasi tersebut.

Untuk makluman Semua, oleh kerana masalah yang berlaku ini, reputasi kami jatuh begitu teruk kini. Pihak kami tidak menerima sebarang Pelanggan baru yang menjadi sumber pendapatan bulanan. Akibatnya pihak kami tidak lagi mampu meneruskan operasi dengan bebanan kredit yang tinggi.

Sekian

Pengurusan Baithost Hosting Services

———————————————————————————————————————————————————————-

Kerjasama Anda amatlah kami hargai. Terima kasih.





Shopping Raya

19 08 2009

Hmmm… Isnin lepas, isteri saya meminta saya mengambil cuti untuk menemaninya membeli belah di Jalan Tuanku Abdul Rahman (Jalan TAR). Saya pun menurut sahaja disebabkan bila-bila masa selepas ini, isteri saya akan bersalin.

Selepas hantar Syasya ke tadika, kami pun bergerak ke Jalan TAR dan mula membeli belah. Saya tak tahu dari mana isteri saya yang sarat mengandung dapat kekuatan untuk terus membeli belah sedangkan saya dah letih tambahan pula ada sedikit kecederaan pada lutut akibat lawna bola Ahad malam Isnin yang lepas. Memang betullah orang perempuan kalau bab shopping, cukup bersemangat dan hilang rasa letih.

Saya asyik ajak balik ja. Selalu saya dok kejan isteri saya. Hehehe… Memang hairan, saya jalan baru selangkah, dia dah beberapa langkah. Takjub betul. Itu ketika kandungan dah nak cecah 38 minggu! Kalau lepas bersalin nanti, jenuh la saya. Hehehe…

Apa pun, segala bajet adalah dari isteri saya. Hehehe… Tu yang ada semangat sikit. Kalau bajet saya dah tersungkur dah kot saya kat Jalan TAR tu. Hehehe…

Untuk raya nanti, maknanya dah selesailah keperluan raya kami dan keluarga. Kalau ikutkan saya, bila tiba raya, saya tak biasa sangat buat baju baru dan lain-lain tapi isteri saya memang ada temanya tersendiri setiap tahun. Ikut ja lah. Kalau ikut saya tak perlu pun tak apa. Hehehe…

Apa pun thanks to my beloved wife yang menaja segala persiapan raya 🙂





Peritnya Disengat Tebuan

18 08 2009

Tengahari tadi, sewaktu saya pulang ke rumah untuk rehat tengahari tiba-tiba saya terasa pedih di leher dan dada ketika sedang menunggang motorsikal. Aduh, sakitnya sehingga motorsikal saya melelong . Hanya sebelah tangan sahaja yang pegang handle motor dan sebelah lagi meraba bahagian yang sakit.

Sekali bila saya pegang, saya ternampak dua ekor tebuan. Terus saya ambil dan buang ke tepi jalan sambil menunggang motor. Rasa berdenyut-denyut dada saya. Sambil tu saya memicit bahagian disengat untuk keluarkan bisa setakat mana yang boleh.

Elok tiba di rumah terus saya rasa lemah dan terlelap. Memang cukup perit. Saya memang menunggang motor tidak memakai jaket. Ini kali kedua saya disengat. Kalau baca diari lama saya, pernah saya cerita peristiwa saya disengat ketika dalam perjalanan ke Merbok. Juga dua ekor tebuah dan juga di bahagian dada.

Memang bisa sungguh. Alhamdulillah selepas saya bangun, kesan bengkak tersebut, sudah pun mengecut. Alhamdulillah keperitannya tak lama, mungkin sebab saya sempat picit dan cuba keluarkan bisanya secepat mungkin.