Daulat Tuanku… Dirgahayu Tuanku…

17 01 2010
Hari Keputeraan KDYMM Tuanku Sultan Kedah yang ke-82

Daulat Tuanku

Patik Merafak Sembah Setinggi-tinggi Tahniah Sempena  Hari Keputeraan

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al Sultan Almu’tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mua’dzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah

Pada hari Ahad, 17 Januari 2010, bersamaan 01 Safar 1431 H

D.K., D.K.H., D.K.M., D.M.N., D.U.K., D.M.K., D.K. (Kelantan), D.K. (Pahang), D.K. (Selangor), D.K. (Perlis), D.K. (Negeri Sembilan), D.K. (Johor), D.K. (Terengganu), D.K. (Perak), D.K. (Brunei), D.P. (Sarawak), D.U.N.M., S.P.M.K., S.S.D.K., D.H.M.S., D.G.M.K., Grand Cordon of The Order of the Rising Sun of Japan, Bintang Maha Putra Adiprana (Indonesia), Order of the Rammata Thailand, Honourable Knight Grand Cross Order of the Bath of U.K., Asso. Knight Order of St. John.

SULTAN NEGERI KEDAH DARUL AMAN

Semoga Allah SWT lanjutkan usia Tuanku

Ikhlas dari Patik Rakyat Negeri Kedah Darulaman…





Permulaan 2010 Yang Mencabar

11 01 2010

2010 ini menghadirkan satu cabran yang amat besar buat saya. Permulaannya penuh dengan cabaran yang berliku yang harus saya tempuh dengan penuh kesabaran. Kalau diikutkan hati terasa cukup tertekan namun apa yang paling penting ialah menghadapi cabaran itu dengan penuh kebijaksanaan.

Dari segi aktiviti, memang cukup padat apatah lagi saya sudah menanam azam untuk kembali ke gelanggang badminton. Jadi selepas waktu kerja, saya terpaksa bergegas mengambil Syasya dan terus ke gelanggang latihan. Setelah dilanyak dengan latihan, barulah saya dan Syasya sampai ke rumah. Itu pun selepas solat Maghrib di surau tepi gelanggang latihan.

Bila malam, badan sudah jadi begitu letih dan tak bermaya. Tambahan pula kalau ada sessi futsal. Sudah pasti lebih letih. Namun yang cukup melegakan apabila kembali dapat bermain, terasa minda lebih segar dan lebih mudah menghadapi tekanan kerja dan lain-lain. Cuma cabarannya ialah masa untuk keluarga.

Satu aspek lagi ialah dari segi tekanan kerja. Dalam tahun ini sudah ditetapkan KPI untuk tugasan saya dan pasukan. Dengan soal penyelenggaraan Fasa 1, pembangunan Fasa 2, modul akaun pesakit dan beberapa tugasan lain, ia ternyata begitu padat dan tempoh yang ada dirasakan begitu singkat. Apa tidaknya dengan pelbagai halangan yang ada menjadikan ia lebih sukar. Apa nak buat, itu sudah menjadi tanggungjawab yang harus diselesaikan. Nak tak nak, kena cari jalan mencapainya. Kadang kala terasa cemburu melihat rakan sejawatan lain yang menerima gaji yang sama tetapi beban tugas mereka tidaklah begitu menekan. Yang penting berkat!

Soal wang memang menjadi cabaran paling besar pada permulaan 2010 ini. Saya mengharapkan ia hanya bersifat sementara. Yuran sekolah Syasya, baiki kereta, deposit api / air rumah baru, persediaan masuk rumah baru, insurans/cukai jalan kereta dan lain-lain bayaran yang perlu dijelaskan pada awal tahun ini amat mencengkam hinggakan ada suatu ketika Syasya nakkan biskut tetapi dalam poket saya cuma ada RM1 sahaja.

Terpaksa ikhtiar dengan isteri bagaimana nak jimatkan perbelanjaan dan mencari sumber lain. Yang menjadikan keadaan bertambah buruk ialah saya terpaksa membayar ansuran untuk rumah sewa sebanyak RM650 dan juga ansuran rumah yang bakal saya duduki sebanyak lebih kurang RM1250. Masalahnya rumah masih belum siap tetapi sudah dipotong bayaran ansurannya! Itu belum termasuk ansuran kereta dan keperluan lain lagi. Tambah parah, jumlah yang berhutang dengan saya dan isteri agak tinggi pula. Bagi yang memang dalam kesusahan, memang saya tak kisah sangat tetapi bagi yang berhutang tetapi dalam masa yang sama mampu pula pergi bercuti dan membayar sewa hotel! Aik! Bila minta, jawapannya tiada duit lagi. Ada juga yang berhutang tetapi bila diminta, senyap begitu sahaja dan setelah dua tiga kali minta, tetap senyap malah boleh lagi mempamerkan gaya hidup yang mewah dalam laman sosialnya! Geram juga dibuatnya tetapi tak lah membuatkan saya putus sahabat dengan beberapa kerat insan yang saya maksudkan. Mungkin suatu masa mereka akan sedar. Kalau depa tak mahu bayar pun, biarlah. Saya halalkanlah dan anggap bukan hak dan rezeki saya.

Hmmm… Saya tak mahu anggap wang sebagai masalah. Saya tetap percaya, ada jalan dan sumber di hadapan cuma permulaan 2010 ini memang cukup mencabar. Saya perlu lebih berfikir tentang bagaimana hendak merancang kewangan dengan lebih baik lagi. InsyaAllah, kalau kita berusaha, Allah akan beri ganjaran yang setimpal.

Apa pun, kehadiran 2010 ini dimulakan dengan pelbagai rencah cabaran yang memerlukan saya bertindak dengan penuh bijaksana dan hikmah. InsyaAllah kelak lama kelamaan cabaran ini akan bertukar dengan kemanisan.





Peristiwa di Subuh Hari

3 01 2010

Subuh tadi ketika isteri saya sedang Solat Subuh dan saya sedang melayan Syafi yang nak bangun pagi tiba-tiba terdengar suara orang meminta tolong. Saya ingatkan kanak-kanak di bawah rumah yang selalu main dan jerit tolong waktu petang hari rupa-rupanya ia memang sesuatu yang benar-benar berlaku apabila isteri saya mengatakan ada sepasang kekasih (rasanya) sedang bergaduh.

Si lelaki membelasah si perempuan dan menjerit-jerit marah tetapi selepas itu dia mungkin perasan yang ramai orang di atas apartmen sedang melihat kejadian tersebut lalu keadaan menjadi sedikit tenang.

Kemudiannya, lelaki tersebut terus mengekori perempuan tadi hingga ke hadapan JPJ Sri Permaisuri dan di situ keadaan agak gelap dan kelihatan si lelaki tadi menendang perempuan tadi beberapa kali sambil memarahi perempuan tersebut. Perempuan tersebut cuba lari namun lelaki tersebut berjaya menangkap perempuan terbabit.

Lalu betul-betul di kaki lima JPJ Sri Permaisuri, si lelaki terus galak membelasah si perempuan tadi dan kelihatan seperti mencekik perempuan tersebut. Akhirnya, perempuan tersebut kelihatan rebah. Saya dan isteri yang menyaksikannya tidak pasti apa yang berlaku dan kelihatan lelaki tersebut panik dan menjerit, “Tolonglah aku!”

Kemudian datang seorang lelaki seperti seorang Cina dan pekerja-pekerja kedai mamak dan kedai cuci kereta berhampiran membantu membawa si perempuan tersebut ke Klinik Mediviron yang terletak selang beberapa buah kedai. Hmmm… Lepas tu, saya dah tak tahu apa yang berlaku. Cuma saya dah maklumkan kepada seorang rakan yang juga wartawan sebuah akhbar. Mungkin depa akan buat laporan kalau ada nilai berita bagi mereka.

Memang tidak patut seorang lelaki yang kuat membelasah seorang perempuan yang lemah. Banyak pengajarannya di sini.

Macam mana mak bapa budak perempuan tersebut membiarkan anak gadusnya keluar sehingga lewat pagi?

Risau pula apabila saya berbual dengan seorang pengawal keselamatan selepas kejadian yang menceritakan tentang betapa seriusnya gejala sosial yang melibatkan gadis Melayu di apartmen saya dan kondo sebelah. Risau apabila mengenangkan saya dah ada dua anak perempuan dan kalau persekitaran terus tidak memberangsangkan, sudah tentu cabarannya amat hebat.

Sebab itu kini, cukup ramai Polis bertugas di sini, namun perkara-perkara jenayah masih berlaku dan terus menakutkan. Hmmm… Bila lah keadaan nak berubah?





Harga Barang Naik

1 01 2010

Hmmm… Berita yang tidak gembira di Tahun baru ini.

Tadi ketika saya membeli gula dan roti, penjual tu habaq, “Bang, tengah malam sat lagi bukan harga gula ja naik, harga roti pun naik!”

“Berapa naik?” Tanya saya
“Tak pastilah berapa tetapi memang naik”
“ok,” kata saya sambil melihat harga roti tu.

Lepas ni kena banyak berjimat. Yang bagusnya ni lah masa terbaik untuk kurangkan penggunaan gula. Saya pun dah dapat info yang harga gula akan dinaikkan dan saya pun dah beli untuk simpanan terlebih awal sebelum ni.

Kenaikan ini juga akan menjadi satu alasan peniaga makanan untuk menaikkan harga makanan dan minuman. Cuma anehnya ada minuman yang kurang gula tetapi harganya lebih mahal. Secara logiknya patut lebih murah sebab ramuannya berkurang. Hmmm…

Apa pun kenalah pandai menyesuaikan diri dan mencari jalan terbaik menjimatkan kos…

SELAMAT TAHUN BARU 2010