Sambutan 20 Tahun MRSM PDRM

23 06 2011

Hampir 19 tahun lalu, saya merupakan generasi kedua warga MRSM PDRM, Kulim. No. Maktab 93045 menjadi milik saya. Suatu langkah perjalanan yang membuka begitu banyak erti kehidupan bagi saya. Tahun depan ia bakal menjengah ke usia 20 tahun. Satu tempoh masa yang cukup untuk kematangan. Justeru sempena dengan detik bersejarah ini, ANSARA MRSM PDRM akan menganjurkan sambutan 20 tahun MRSM PDRM pada 05 – 07 Januari 2012 ini di MRSM PDRM Kulim. Jadi saya ingin menjemput kesemua warga MRSM PDRM untuk sama-sama menghebahkan peristiwa bersejarah ini dan juga membantu menjayakan perancangan ini.

Untuk maklumat lanjut bolehlah sama-sama kita ke Facebook Sambutan Ulangtahun Ke-20 MRSM PDRM.

MRSM PDRM SELAYANG PANDANG

Kewujudan  sistem MRSM yang telah berjaya membuktikan kecemerlangan pelajar-pelajar bumiputera khususnya dalam bidang sains dan matematik telah menarik perhatian dan memberi dimensi baru kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengadakan kerjasama dengan pihak MARA bagi menubuhkan sebuah MRSM khusus untuk anak-anak polis.

Justeru, pada 7 September 1991, satu perjanjian persefahaman (MOU) telah ditandatangani antara YB En. Tamrin Ghafar, Pengerusi MARA (bagi pihak MARA) dengan YDH Tan Sri Hanif Omar, Ketua Polis Negara (bagi pihak PDRM).Hasil perjanjian ini, PDRM telah memilih Kem Pasukan Polis Hutan Batalion 3 di Jalan Junjong, Kulim Kedah sebagai kampus sementara dan kampus tetapnya dijangka akan dibina di Serendah Selangor. Walau bagaimanapun, akhirnya MRSM PDRM dikekalkan di Batalion 2  Pasukan Gerakan Am (PGA), Kulim Kedah (dahulunya Kem Pasukan Polis Hutan Batalion 3).

Pendaftaran pertama kemasukan pelajar ke MRSM PDRM Kulim telah dibuat pada 5 Januari 1992. Seramai 200 orang pelajar (120 lelaki dan 80 perempuan) telah mendaftar sebagai pelajar perintis, manakala 15 orang guru telah dipilih untuk menjadi tenaga pengajar dan 12 orang staf sokongan turut membantu di bahagian pentadbiran. Pada masa yang sama, pihak PDRM telah menubuhkan Unit Penyelaras (UP) MRSM untuk mengurus kerja-kerja senggaraan, pembelian dan membantu aktiviti-aktiviti pelajar.

Masih ingatkah rangkap lagu ini?

Wahai putera-puteri bangsaku
Ayuh segera menuju
Mengikut gerak langkah maju
Bersatu mencari ilmu

Di zaman sains dan teknologi
Negara perlukan jasamu
Janganlah rasa malas lagi
Bersama memegang teraju

Di Maktab Rendah Sains MARA
Tuntut ilmu jangan jemu
Ikrar taat setia pada guru
Berdisplin selalu

Hari ini hari mulanya
Hari esok berjaya
Lengkapkan segala yang ada
Ke kuliah kita segera

Advertisements




Sesekali Teringat: Perjalanan Hidup

12 03 2009

Sekolah Kebangsaan Tunku Raudzah (SKTR)
1987-1992

Sekolah Menengah Kebangsaan Dato Syed Omar (SMKDSO)
1993 (Sehari sahaja)

Kolej Sultan Abdul Hamid (KSAH)
1993 (Sebulan sahaja)

MRSM PDRM
1993-1995

Sekolah Menengah Teknik Lebuhraya Sultan Abdul Halim (SMTLSAH)
1996-1997

Pusat Matrikulasi UUM (PMUUM)
1998-1999

Universiti Utara Malaysia (UUM)
1999-2002

Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
2004-kini





Kenangan: MRSM PDRM

20 12 2008

Dua minggu lepas, selepas saya habis berjumpa dengan ahli HKC Kulim di Restoran Nasi Kandar  Nashmir Lunas, saya terus memandu melalui Jalan dari Taman Selasih ke Simpang BM-Kulim. Sepanjang laluan itu, saya terkenang saat indah zaman study di sana suatu ketika dahulu.

Kini semuanya sudah jauh berubah. Sudah jauh berubah hingga saya dah merasakan ia cukup berlainan daripada dahulu. Di simpang IPD Kulim ke Junjong, memori lama mula menjelma dalam fikiran.

Saat melalui jalan itu, bermula dari barisan kedai, Kolej Mara Kulim saya terimbas saat mula-mula saya tiba di situ tahun 1993 dahulu. Tiba dengan penuh harapan untuk mengejar impian suatu masa nanti. Memori itu seolah hadir di depan mata.

Jam sudah menunjukkan 1.45 pagi dan saya terus menyusuri Jalan Junjong itu dengan pemanduan yang cukup perlahan. Untung ketika itu tiada kenderaan lain, jadi bolehlah memandu dengan perlahan dan mengimbas semula memori lalu.

Saat tiba di depan Kem PGA Batalion 2 Kulim, saya teringat saat-saat lalu. Memori indah di situ. Di situlah saya mula membina diri saya. Di situ jua tempat yang mengajar erti kedewasaan. Di situlah mulanya minda saya terbuka dengan lebih luas.

Di situ jugalah terpalit kenangan pahit manis yang masih segar dalam memori. Saat saat indah yang masih saya letakkan dalam satu ruang di hati saya. Saya tak akan lupakan tempat itu.

Namun ia sudah jauh berubah, walaupun dalam kegelapan malam, saya masih dapat melihat bangunan yang pernah saya diami dulu dan pernah saya gunakan untuk menuntut sekelumit ilmu. Ketika saya mula tiba dahulu ia tidaklah seperti sekarang. Sudah banyak perubahan yang ada namun kenangan di MRSM PDRM cukup indah dalam memori.

Alangkah indahnya andai dapat diputar kembali masa, namun hakikat kehidupan adalah mengajar kita menerima bahawa masa tidak dapat diundurkan lagi. Sekali ia terlepas, ia tidak akan kembali. Jadi ia mengajar saya menghargai setiap kenangan indah yang hadir dalam diri agar saya masih dapat merasainya walaupun ia sudah berlalu.

Saya teringat sahabat-sahabat lama. Kini semuanya sudah berkelana menjejak rezeki di merata-rata pelusuk alam. Ada yang kini di UK, Vietnam, Australia. Semuanya bertebaran menyambung takah kehidupan yang cukup mencabar. Rasanya kalau ingin disatukan kembali, seolah seperti mustahil.

Entah mengapa, kesemua itu menerjah jauh dalam pelusuk hati saya. Entah mengapa saya berasa begitu emosi ketika itu. Mungkin suasana hening awal pagi ditambah pula alunan syahdu radio membuatkan saya mengorak rasa sebegitu.

Hingga ke Pekan Junjong, saya meyakinkan diri saya tentang hakikat kehidupan, masa lalu adalah sejarah yang harus kita kenang untuk mendewasakan diri dan kita tidak boleh lemas dalam masa kini yang akan menjadi penentu masa hadapan kita.

MRSM PDRM tidak akan dilupa. Detik-detik yang pernah dilalui akan utuh tersemat dalam sanubari. Mungkin tak semua akan merasai sedemikian. Tetapi bagi saya, ia cukup sentimental.

Alamak, malulah pulak saya tulis macam ni………..