Februari 2013…

14 02 2013

Ahhh… Sudah lama saya tidak posting apa apa. Kesibukan cukup menghambat diri daripada menukil apa apa. Namun, malam ini saya memaksa diri untuk menulis sedikit rasa yang terbuku di hati.

Februari 2012 cukup kritikal bagi saya dan keluarga. Tiga anak diserang demam campak menjadikan segalanya kelam kabut dengan begitu banyak cuti terpaksa diambil. Alhamdulillah emak dan abah serta mertua banyak membantu menjaga Syasya dan Syafi.

SyafiCampak SyasyaCampak SyazaCampak

Kini apabila menjelang Februari 2013 saya teringat kisah lepas. Saya berharap ia tidak berulang dalam apa jua bentuk kekalutan itu. NAmun takdir Allah, kesihatan anak anak dan saya agak terjejas dalam Februari 2013 ini. Bermula saya dan Syasya keracunan makanan setelah pulang dari Cameron Highlands dan dituruti dengan tiga anak yang lain Syafi, Syaza dan Hafie demam. Memang agak kelam kabut.

Yang paling serius adalah Syafi sehinggakan lebih seminggu demam masih belum kebah. Terpaksa disingkatkan tempoh cuti di Kedah/Penang dan bergegas balik ke KL untuk mendapatkan rawatan lanjut di HUKM. Alhamdulillah menurut Dr. Syafi diserang virus namun dan semakin ok. Hati bapa mana yang tak bimbang bila anak asyik muntah dan batuk sepanjang malam. Cukup merisaukan apatah lagi selera makan turut hilang dan berat badan anak susut dengan cukup ketara.

Apa pun saya bersyukur kerana, ia adalah ujian Allah yang perlu kita redha dengannya. Saya yakin ada sesuatu yang baik akan Allah kirimkan selepas semua ujian ini, InsyaAllah…





Aktiviti Syasya di kampung

30 05 2011

Bila dah balik kampung, Syasya pun ada aktiviti tersendiri. Kalau kat KL, asyik main game ja. Kat kampung barulah Syasya dapat rasa sikit sebanyak permainan kampung. La ni semua pakat hantu game dah…

Dalam gambaq tu, dia main jual beli nyoq guna duit batu.

Lepas tu tuju kasut. Baru Syasya belajaq main. Pak dia dulu main tuju tin, tuju lemak guna bola tenis. Sekali kena tuju pecah habis lemak. Kalau yang tuju tu jenih kuat tangannya, jenuh la menahan perit apatah lagi dalam jarak dekat. Hehehe… Depa tak rasa lagi…

 

Tak pa lah Syasya, belajaq la sikit sikit main permainan tradisional ni. Nanti boleh cerita kat kawan-kawan yang memang asai dari pekan yang tak pernah main mainan macam ni. Depa tengok kot muzium ja.

Banyak lagi permainan kampung yang Walid Syasya main, Syasya tak tau. Nanti ada peluang, Syasya belajaq main…





Terhenti Degup Jantung

20 03 2011

Jumaat lepas, sewaktu makan tengah hari di Sungai Besi, saya dan keluarga beserta keluarga kakak ipar saya menjamu selera di sebuah warung di tepi jalan di sana. Keadaan agak tenang dan keadaan trafik tidaklah begitu sibuk. Selepas makan, saya bergegas nak ke Masjid untuk Solat Jumaat manakala kakak ipar saya yang tidak biasa jalan di situ bertanyakan saya tempat untuk anak-anak beliau ke tandas. Kalau nak ke Masjid memang sesak dengan kaum muslimin nak Solat Jumaat.

Ketika itu, seorang adik ipar saya dan sepupu Syasya sudah melintas ke seberang jalan. Syasya nak ikut mereka tetapi tertinggal di belakang. Lalu saya sempat lihat Syasya yang cuma tengok sebelah jalan sahaja. Bila tiada kereta dari arah kanan dia terus berlari untuk melintas jalan, malangnya Syasya tidak memerhatikan kereta dari arah kiri jalan. Apa lagi ! Terus saya menjerit, “Syaaaassssssyyyyyyyaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaa!” Sekuat hati.

Ketika itu terasa jantung saya terhenti. Terkejut semuanya ada…

Kereta itu meluncur laju tetapi Alhamdulillah Syasya dengan sepantas kilat berpusing dan kembali berlari ke arah saya. Tak pasti sama ada refleks spontan Syasya atau seperti ada benda lain yang menarik Syasya berpusing begitu pantas memalingkan diri dan terus meluru ke arah saya. Semuanya begitu pantas. Sekelip mata sahaja. Bila Syasya dah sampai kepada saya, apa lagi, terus kena marahlah Syasya dengan saya. Sebelum ni, kalau nak lintas dia tak pernah pun terus macam tu, memang pegang tangan saya atau isteri.

Bila masuk dalam kereta, memang habislah Syasya kena ‘basuh’. Sampaikan Syasya tersedu-sedu menangis. Memang pengajaran yang amat berguna buat Syasya. Salah saya pun ada sebab tak betul betul mengawal atau pegang tangan Syasya. Saya lebih tumpukan kepada hal lain.

Syasya jangan buat macam tu lagi…

Malam tadi bila lalu di jalanraya, Syasya cakap kepada saya, “Syasya kena tengok kiri kanan dulu, kalau tak ada kereta baru lintas. Kan Walid?”. Saya mengangguk setuju dan berkata,”ya”.

Syasya… Mahalnya pengalaman tu ! Jadikan pengajaran bersama !





Syasya Hana: Syasya Nak Jadi Bos

14 01 2011

suatu petang, Syasya berkata kepada saya, “Walid, Syasya nak duit”

“Nak buat apa?”
“Syasya nak bayar dekat orang tu. Nanti baru dia panggil Syasya Bos,” katanya sambil menunjuk kepada seorang pengawal keselamatan di tempat tinggal saya.

Hmmmm… Syasya oh Syasya…





Permata-Permata Hatiku

27 12 2010

Rindunya pada permata-permata hatiku…

Syaza HanaSyafi Hana

Syasya Hana

SYAZA HANA
SYAFI HANA
SYASYA HANA





Syaza Hana

23 12 2010

Akhirnya, setelah dibincangkan sekian lama, saya dan isteri sepakat menamakan puteri ketiga kami dengan nama SYAZA HANA yang bermaksud “keharuman yang menggembirakan“.

Sebelum ini Syasya Hana bermaksud “kegembiraan Yang berseri-seri” dan Syafi Hana bermaksud “penyembuh yang menggembirakan“.

Nama-nama ini dipilih dengan permulaan Huruf ‘S’ dan “H’ di belakang bagi perempuan dan “H” di depan dan “S” di belakang bagi anak lelaki. “S” adalah untuk “SAIFUL” dan “H” untuk “HUDA”.

Nama yang mempunyai makna yang elok adalah amat dituntut kerana ia sedikit sebanyak akan mempengaruhi tingkahlaku empunya nama dan Alhamdulillah, kerana isteri saya berkemahiran dalam Bahasa Arab dan bijak mencadangkan nama yang sedap didengar.

Justeru puteri ketiga kami diberi nama SYAZA HANA.

Untuk anda yang mahu mengetahui makna nama boleh melayari Nama-nama Islam





Logiknya Patut Lebih Murah

13 12 2010

Baru-baru ni seperti yang diketahui umum, ada ‘penyelarasan’ harga untuk beberapa bahan yang sentiasa kita guna pakai. Ramai yang mengeluh.

Hmmm… Pandai pangkah pandai tanggung lah 🙂

Antara yang diselaraskan ialah gula dari RM1.90 sekilogram kepada RM2.10

Namun kenaikan harga gula sepatutnya menyebabkan produk yang kurang menggunakan gula lebih murah dari produk yang banyak menggunakan gula. Contohnya Produk V yang Syasya gemar, untuk yang “Less Sugar” atau kurang gula adalah RM4.39 berbanding Produk V biasa RM3.89 yang kandungan gulanya lebih tinggi.

Logiknya yang kurang gula itulah yang sepatutnya lebih murah. Entahlah, mungkin ada sebab lain…

p/s: Syasya memang suka yang kurang gula tapi lebih mahal…