Terima Kasih Sayang

25 02 2010

Alhamdulillah… Setelah 5 hari 4 malam berbengkel di Nilai Springs Resorts Hotel saya selamat sampai kembali ke rumah. Terima kasih sayang kerana menjaga anak-anak dan menguruskan rumah walaupun terdapat banyak cabaran yang harus dilalui.

Memang cukup letih dan stress bertugas hingga ke tengah malam dari awal pagi. Memang amat rindukan keluarga walaupun hanya 5 hari. Waktu ambil Syasya tadi pun, Syasya sebak sebab lama tak menatap wajah Walidnya. Lepas tu dia tak bagi saya tinggalkan dia lagi.

Terima kasih sayang kerana menguruskan segalanya…

Ada satu lagi berita gembira… Abang kena pi satu lagi bengkel yang mungkin memakan masa 7 hari 6 malam pada penghujung Mac 😉





Selamat Hari Lahir

18 02 2010

Selamat Hari Lahir buat Adik saya Muhammad Shukri dan juga anak menakan sulung saya, Irdina Qasrina. Semoga panjang umur dan murah rezeki, InsyaAllah…





Kanak-Kanak Terlalu Jujur

16 02 2010

Memang kanak-kanak merupakan suatu zaman yang cukup bersih, Hati mereka masih lagi bersih dan suci dan tidak hairanlah wajah kanak-kanak cukup berseri-seri dan comel. Kalau mereka datang kepada kita dan katakan, “uncle/auntie gemuk”, sudah pasti kita akan tahu bahawa berat badan kita dah naik. Mereka akan berkata apa sahaja yang mereka nampak dengan sejujurnya.

Begitu juga dengan Syasya. Pada usia tiga tahun, Syasya dah petah bercakap. Cuma bila terlalu jujur, ia akan menjadi tidak berlapik. Kemungkinan ada hati yang terguris. Bagi kita yang sudah dewasa, sudah pasti ada cara berlapik untuk menyatakan sesuatu.

Cuma yang merisaukan saya ialah kepetahan Syasya bercakap mungkin mengguris hati orang lain.

Kejadian 1

Dalam lif ketika kami sekeluarga hendak keluar makan malam. Seorang wanita masuk bersama bayinya yang berkulit gelap. Lalu keluarlah dari mulut Syasya, “Umi, baby tu hitamlah”.

Terkedu isteri saya yang berada dalam lif itu. Nak ditegur pada waktu itu, memang sukar kerana Syasya jenis yang akan bertanya sebabnya. Kami terpaksa menerangkan kepada Syasya, mengapa perbuatannya salah dan mengajar agar setiap kali berjumpa baby, kena kata, “Baby tu comel”. Alhamdulillah setakat ni Syasya menurut nasihat kami.

Kejadian 2

Juga ketika di dalam lif sewaktu hendak ke tadika. Mulanya dalam lif itu ada dua wanita muda dan seorang lelaki dewasa. Sampai di tingkat dua, seorang wanita cantik masuk tetapi saiznya besar (Bukan gemuk tetapi memang jenis rangka besar dan tinggi dalam 1.8 meter tetapi ada bentuk badan yang menarik).

Lalu terpacul dari mulut Syasya, “Perempuan tu besar la”.

Terkedu diri saya lalu Syasya menyambung, “Yang baju warna hijau tu”.

Adoi! Terus direct kepada wanita yang baru masuk tu. Terus saya mencubit bahu Syasya dan Syasya terus menangis dan berkata, “Walid cubit Syasya!” Adoi, kantoi la pulak… Terus saya berdalih, “Bukan Walid cubit, terkena kunci Walid la”.

Lalu Syasya berkata, “Ooo…” dan terus berhenti menangis.

Kemudian terus saya jelaskan kepada Syasya bahawa tak boleh kata sebegitu dan bila jumpa perempuan, kata cantik.

________________________________________________________________________________________

Hmmm… Saya tak dapat bayang dalam situasi apa lagi kejadian sebegitu akan berlaku. Kalau terfikir, terus saya terangkan kepada Syasya sebelum Syasya mula mengeluarkan kata-kata. Cuma masalahnya kanak-kanak ni terlalu jujur!





Selamat Tahun Baru Cina

14 02 2010

Entri ringkas khas buat rakan-rakan berbangsa Cina yang menyambut Tahun Baru Cina. Selamat Menyambut Tahun Baru Cina. Gong Xi Fa Cai…





Syafi Masuk Wad

13 02 2010

Minggu lepas, Syafi demam dan kemudiannya cirit birit dan muntah-muntah. Mulanya saya dan isteri, ingatkan cuma demam atau sakit biasa sahaja. Namun setelah berlanjutan beberapa hari, kami membawa Syafi yang baru berusia 5 bulan ke klinik. Menurut doktor yang merawat, kalau ia berlanjutan, lebih baik dirujuk ke hospital.

Kami agak gelisah kerana cukup terasa perbezaan mendukung Syafi ketika itu. Terasa ringan dan bila kami periksa berat badannya sudah susut kira-kira 1.5kg! Patutlah rasa ringan dan wajahnya cengkung. Bagi minum susu, Syafi akan muntahkan kembali semua susu yang diminum dan amat kerap cirit birit.

Syafi semakin hari nampaknya semakin kurang bertenaga dan tidak ceria. Kalau senyum pun macam senyum terpaksa sahaja sednagkan sebelum ini pantang diusik, Syafi akan senyum.

Akhirnya kami merujuknya ke PPUKM. Apabila diperiksa, Doktor terus membuat keputusan untuk menahan Syafi di wad tetapi masalahnya ketika itu semua katil di wad pediatrik penuh. Doktor menyarankan Hospital Ampang atau pun Hospital Serdang. Adoi, saya sebenarnya lebih suka Syafi masuk ke PPUKM sebab mudah saya nak pantau.

Alhamdulillah kebetulan ada pesakit yang dibenarkan keluar, jadi terus Syafi ditahan di Wad Pediatrik 1. Kasihan melihatkan anak kecil terpaksa dicucuk kakinya dan juga beberapa kali darahnya terpaksa diambil. Memang kelam kabut waktu tu. Alhamdulillah mak dan abah mai jauh dari Alor Setar membantu kami.

Di Wad, rasanya dalam tiga botol air dimasukkan ke dalam badan Syafi. Setelah itu, barulah nampak Syafi lebih bertenaga dan kembali ceria.

Setelah tiga hari, akhirnya Syafi dibenarkan pulang dan akhirnya berat badan Syafi semakin naik dan Syafi semakin ceria. Alhamdulillah semuanya kembali normal. Terima kasih kepada semua yang SMS, PM, ziarah, menyumbang, telefon dan mendoakan. Jasa anda semua tetap dalam kenangan. Begitu juga kepada mak dan abah (termasuk mertua) atas segala dorongan dan bantuan.

Alhamdulillah…





Keluarga, Kerjaya, Sosial dan Lain-lain

11 02 2010

Kalau diibaratkan sebuah rumah, jika lama tidak dibersihkan, sudah pasti akan dipenuhi debu dan sawang. Pasti juga orang tidak akan berkunjung. Begitu juga dengan blog saya ini. Agak lama tidak dikemaskini. Semakin suram jadinya. Sememangnya ada hasrat di hati untuk sentiasa mengemaskini dan banyak perkara yang saya nak kongsikan bersama namun keterbatasan waktu menjadikan ia sepi ditinggalkan.

Apa yang saya ingin nukilkan ada juga kaitan dengan mengapa blog ini jarnag dikemaskini…

Menempuh ranjau kehidupan bukanlah suatu yang mudah. Penuh dengan dugaan dan cabaran. Setiap insan akan berhadapan dengan dugaan tersendiri. Kalau dulu dalam kesibukan, saya masih sempat untuk mengemaskini blog ini setiap hari namun kini apabila saya menempuh alam kerjaya, saya ternyata gagal melakukannya.

Cabaran yang dirasakan ialah beban tugas kerjaya yang begitu menekan dan mendesak. Saya perlu selenggarakan sistem Fasa 1 dan dalam masa yang sama perlu membangunkan sistem Fasa 2 dan sistem perakaunan pesakit. Itu tidak termasuk tugas-tugas pentadbiran yang lain dan tugas-tugas khas. Bertugas di sebuah institusi perubatan memerlukan saya memahami juga serba sedikit selok belok displin perubatan. Dalam menyelami selok belok itu, saya juga terpaksa mengikut arus dunia perubatan. Sebagaimana rentak seorang doktor yang terpaksa berhempas pulas mengerah keringat demi nyawa seorang insan hinggakan jadual hidup seorang doktor itu hanya berkisar tentang kerja.

Kerja yang jika diabaikan mungkin akan mengakibatkan kehilangan nyawa. Hinggakan hidup seorang doktor itu kebanyakkannya adalah di hospital dan pesakitnya silih berganti. Rentak kehidupan doktor itu juga terpaksa saya ikuti. Saya tidak kisah andai begitu banyak tugasan tetapi jika jangka waktunya amat singkat, ternyata ia cukup membebankan. Kesibukan tugas benar-benar mencengkam hinggakan terbawa-bawa dalam tidur.

Apa pun prioriti saya adalah keluarga, namun saya kasihankan keluarga yang memang dahagakan masa saya bersama mereka. Saya mahu lebih luangkan masa bersama keluarga. Anak-anak yang perlukan belaian seorang bapa dan isteri yang memerlukan perhatian seorang suami. Dalam masa yang sama selepas waktu kerja, saya juga ada aktiviti sosial yang lain yang juga memerlukan saya membahagikan masa secukupnya. Contohnya saya juga banyak terbabit dengan kelab penyokong dan pada hujung minggu saya juga akan terlibat dengan pertandingan sama ada bolasepak, futsal atau pun badminton.

Kalau saya tidak bersukan, badan akan rasa tidak selesa dan mudah sakit. Sukarnya dirasakan untuk membahagikan waktu. Begitu juga dengan minat membaca saya yang banyak tidak kesampaian. Kalau saya membaca, saya memerlukan kosentrasi yang mendalam. Tetapi kalau di rumah, memang saya tak dapat melakukannya kerana saya perlu juga melayani keletah dua anak yang begitu aktif. Kadang kala saya terfikir bagaimana seorang yang berjaya dapat mengatasi semua itu.

Saya lihat pakar-pakar akademik kebanyakkan masanya di pejabat dan kemudian saban hujung minggu sibuk berseminar, bersidang, berkursus dan aktiviti akademik yang lain. Bagaimana mereka menguruskan keluarga mereka. Sedang saya terpaksa berkejar nak mengambil dan menghantar anak dari tadika pun dah cukup membataskan banyak benda. Kalau saya pinta isteri lakukan, kasihan pula melihat tubuh kecil isteri saya menguruskan semuanya dan dalam masa yang sama saya perlu melaksanakan komitmen saya terhadap tugas.

Contohnya hujung bulan ini, saya terpaksa berkursus selama lima hari di luar kawasan, saya tak dapat bayangkan bagaimana serabutnya isteri saya terpaksa menguruskan kedua-dua anak saya dengan menghantar mereka ke tadika dan rumah pengasuh. Di tambah pula dengan rungutan saya tentang isu sekolah sessi petang yang saya tulis baru-baru ini. Isteri saya juga ada komitmen terhadap tugasnya sebagai seorang guru.

Kalau nak suruh isteri saya jadi seorang surirumah sepenuh masa, memang saya tak termampu menanggung kos hidup di kota kosmopolitan ini. Ia memang cukup mencengkam. Itu masih belum masuk soal kejiranan lagi. Saya tetap cuba setakat yang mampu dalam soal kejiranan dan sebab itu hidup di kota ini, bab kejiranan cukup menyedihkan. Belum masuk soal keluarga lagi.

Apa pun, saya akur dan harus lebih berusaha dengan kesemuanya. Saya sentiasa mendidik hati saya berfikiran positif, Mungkin ada hikmahnya cabaran sebegini. Kalau kita fikir kita susah ada yang lebih susah sebenarnya. Saya perlu lebih bijak menongkah arus ini. Mungkin sahabat-sahabat sekalian ada nasihat untuk saya. Saya amat mengalu-alukannya. Saya perlu hadapi kesibukan ini, cuma yang saya takut kesibukan ini menyebabkan saya lupa tentang dunia di takah berikutnya… Nauzubillah…

p/s: Banyak lagi yang hendak saya coretkan, namun saya punya masa yang singkat…