Tazkirah: Terlena

13 01 2017

TERLENA

Waktu berlalu begitu pantas menipu kita yang terlena

Belum sempat berzikir di waktu pagi, hari sudah menjelang siang, Belum sempat bersedekah pagi, matahari sudah meninggi.

Niat pukul 9.00 pagi hendak solat Dhuha, tiba-tiba azan Zuhur sudah terdengar..

Teringin setiap pagi membaca 1 juzuk Al-Quran, menambah hafalan satu hari satu ayat, itu pun tidak dilakukan.

Rancangan untuk tidak akan melewatkan malam kecuali dengan tahajjud dan witir, walau pun hanya 3 rakaat, semua tinggal angan-angan.

Beginikah berterusannya nasib hidup menghabiskan umur? Berseronok dengan usia?

Lalu tiba-tiba menjelmalah usia di angka 30, sebentar kemudian 40, tidak lama terasa menjadi 50 dan kemudian orang mula memanggil kita dengan panggilan “Tok Wan, Atok…Nek” menandakan kita sudah tua.

Lalu sambil menunggu Sakaratul Maut tiba, diperlihatkan catatan amal yang kita pernah buat….

Astaghfirullah, ternyata tidak seberapa sedekah dan infak cuma sekadarnya, mengajarkan ilmu tidak pernah ada, silaturrahim tidak pernah buat.

Justeru, apakah roh ini tidak akan melolong, meraung, menjerit menahan kesakitan di saat berpisah daripada tubuh ketika Sakaratul Maut?

Tambahkan usiaku ya Allah, aku memerlukan waktu untuk beramal sebelum Kau akhiri ajalku.

Belum cukupkah kita menyia-nyiakan waktu selama 30, 40, 50 atau 60 tahun?

Perlu berapa tahun lagikah untuk mengulang pagi, siang, petang dan malam, perlu berapa minggu, bulan, dan tahun lagi agar kita BERSEDIA untuk mati?

Kita tidak pernah merasa kehilangan waktu dan kesempatan untuk menghasilkan pahala, maka 1000 tahun pun tidak akan pernah cukup bagi orang-orang yang terlena.

ALLAHU RABBI

Dipetik dari kiriman Whatsapp

Advertisements




Berpada-pada Lah Dalam Tindakan

21 10 2010

Suka saya mengingatkan semua termasuk juga diri saya bahawa dalam setiap perlakuan kita haruslah ada batasnya kerana jika kita bersikap melampau ia mungkin memakan diri suatu hari nanti. Kebejatan sosial kini cukup parah dan kian menghakis jatidiri kita sebagai seorang muslim.

Kebanjiran klip-klip lucah yang menyajikan aksi memualkan yang seharusnya dari segi adab tidak patut didedahkan menjadi begitu serius dan semakin membimbangkan. Ada yang terpaksa dan ada yang suka-suka dan kononnya untuk kenangan sendiri. Nasihat saya, jauhilah perkara sebegitu. Jagalah adab dan tatasusila kita.

Ada yang tidak menyangka rakaman atau gambar terlampau mereka yang dirakam secara suka-suka tersebar tanpa pengetahuan mereka. Lalu akhirnya perasaan malu yang teramat sangat menjengah diri hingga ada yang tidak mampu mengawalnya lalu mengambil keputusan mudah untuk membunuh diri.

Kata mereka, mereka tidak pernah menyebarkannya kepada sesiapa tetapi bagaimana ia berlaku? Mari saya terangkan dengan sedikit sebanyak pengetahuan yang saya ada.

1. Telefon/komputer/notebook dicuri dan segala isi panas di dalamnya akan menjadi modal insan yang tidak bertanggungjawab untuk menggunakan demi kepentingan peribadi.

2.  Virus yang akan menyebarkannya ke merata tempat di alam maya.

3.  Trade In Telefon/komputer/notebook. Biasanya kalau anda trade in barangan ini, anda akan delete/format kesemua kandungannya. Tetapi sebenarnya ia tetap ada dalam cakera keras anda. Yang dibuang hanyalah pointer kepada lokasi tersebut. Bila anda trade in terutamanya telefon, tauke-tauke telefon bimbit akan menggunakan satu perisian khas untuk mendapatkan semula kandungan di dalamnya. Jika ada kandungan panas, maka tersenyum lebarlah tauke-tauke ini kerana ia bermakna mereka menemui lubuk wang.

Itu cuma beberapa sebab dan sebab ketiga itulah yang ramai tidak menyedarinya.

Pesanan saya, tiada faedahnya merakamkan sesuatu yang di luar tatasusila kita dan ditegah Islam. Berfikirlah secara waras dan jika ada apa-apa permasalahan, kembalilah kepada ajaran yang dianjurkan oleh Islam.

Berpada-pada lah dalam tindakan!





Tazkirah: Kaki Judi Sanggup Jual Agama

10 04 2009

Oleh Idris Musa
idris@hmetro.com.my

BAGI masyarakat bukan Islam, berjudi dianggap perkara biasa, satu bentuk hiburan, malah di beberapa destinasi ia menjadi produk pelancongan bagi menjana pendapatan.

Amerika Syarikat misalnya mengiktiraf perjudian. Ia sah di sisi undang-undang di Nevada sejak 1931, sehinggalah menjadi nadi utama kepada pengembangan ekonominya dan berbekalkan produk itu juga Las Vegas terkenal dengan bandaraya judi di peringkat antarabangsa.

Walaupun ia suatu kebiasaan bagi sesetengah pihak, malah sumber ekonomi yang lumayan, masyarakat umum memandang perjudian tetap dipandang negatif dan dikategorikan hiburan yang tidak sihat.

Perjudian ialah pertaruhan wang atau barang berharga dalam suatu acara, malah dalam apa saja permainan antara pihak dikira judi apabila antara mereka akan rugi dan mendapat untung secara tidak sengaja atau bergantung kepada nasib.

Secara umum terdapat tiga kategori judi, iaitu pertaruhan wang atau barang berharga; meramal dan membuat jangkaan terhadap sesuatu acara; dan dalam bentuk mekanikal atau elektronik.

Ada banyak jenis perjudian, antaranya membabitkan permainan kasino, permainan daun terup, kad dan buah dadu seperti Baccarat, Blackjack, Caribbean Stud Poker dan Casino War, Craps, Fan-Tan, Faro, Let It Ride, Pai Gow Poker dan Tiles Poker.

Perjudian elektronik seperti Pachinko, mesin slot, daun terup video, manakala perjudian bukan kasino seperti dead pool, loteri, kad gores, laga ayam dan mahjong.

Ia juga boleh berlaku apabila ada unsur pertaruhan dalam acara seperti sukan dan pilihan raya melalui bentuk ramalan dan jangkaan, malah dalam keadaan lain boleh berlaku judi, misalnya meneka nombor kereta yang melalui di depan pihak terbabit.

Hukum perjudian dalam Islam haram dan mereka yang terbabit berdosa. Dalil pengharamannya ada dinyatakan dalam al-Quran, yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak dan judi, pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah adalah keji dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.

“Sesungguhnya syaitan itu hanya mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian antara kamu dengan sebab arak dan judi, dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan solat. Oleh itu, mahukah kamu berhenti (daripada melakukan perkara keji dan kotor atau kamu masih berdegil)? (al-Maa’idah:90-91).”

Mengapa Islam mengharamkannya, sedangkan dalam sesetengah kes ia memberikan pulangan lumayan, sehingga ada yang menjadi kaya dan hidup senang, hasil daripada perjudian?

Dr Yusuf Qardawi menegaskan, orang yang asyik dengan berjudi di atas meja hijau, seperti mana yang mereka namakannya boleh sampai menjual agama, kehormatan dan negara kerana judi.

Katanya, semua itu sanggup dilakukan untuk memuaskan kerakusan wang dan keinginan nafsu berahi.

Pengarang buku Pendidikan Anak-anak Dalam Islam, Abdullah Nasuh Ulwan, menjelaskan judi menjadikan manusia berserah kepada nasib saja tanpa tenaga dan dengan cita-cita kosong, bukannya atas usaha bersungguh-sungguh.

Judi juga katanya, seperti alat merobohkan rumah tangga bahagia, mengosongkan saku yang berisi, memiskinkan kaum keluarga kaya dan merendahkan jiwa yang mulia.

“Betapa ramai orang dihina kerana judi, selepas mereka hidup mulia suatu masa dulu dan betapa ramai lagi orang yang menjadi miskin, selepas suatu masa dulu hidup kaya raya,” katanya.

Menurutnya, judi juga membangkitkan permusuhan dan perasaan benci antara kedua orang yang terbabit, kerana satu daripadanya memakan harta yang lain dan mendapatkan wang dengan cara tidak betul.

“Judi menghalang daripada mengingati Allah dan solat serta menolak kedua-dua orang yang berjudi itu kepada sejahat-jahat akhlak dan seburuk-buruk adat,” katanya sambil menjelaskan satu hadis dilaporkan al-Baihaqi:

“Nabi Muhammad s.a.w datang kepada suatu kaum yang bermain dadu, lalu baginda berkata: Hati-hati yang lalai, tangan-tangan terus bekerja serta lidah pula mengucapkan kata-kata yang sia-sia dan batil.”

Ulama terbabit menyatakan, judi adalah suatu hobi yang penuh dengan dosa, menelan waktu dan tenaga, membiasakan kemalasan serta menghalang umat daripada berusaha dan menjana produk.

“Judi menolak tuannya kepada melakukan dosa, kerana si penjudi yang muflis mahu mendapatkan wang dengan apa cara sekalipun walaupun dengan cara mencuri dan merampas atau mengambil rasuah dan menipu,” katanya.

Menurutnya, judi akan menimbulkan perasaan takut di dalam hati, menyebabkan penyakit, menghancurkan urat saraf dan menimbulkan perasaan dengki.

Hiburan terbabit katanya, bukanlah perkara baru, malah cukup terkenal bagi masyarakat Arab jahiliah satu ketika dulu, bahkan ia dianjurkan bertujuan untuk kebajikan orang ramai tanpa diambil satu sen pun dari wang itu.

Tujuan kebajikan itu hampir mirip dengan projek loteri yang diserahkan lebihannya dalam dana kebajikan dan objektif yang membawa manfaat kepada orang ramai pada zaman moden ini.

Bagaimanapun, ideologi dan prinsip Islam cukup jelas, iaitu untuk mencapai kepada sesuatu matlamat mulia seharusnya dengan menjejaki cara yang mulia juga.

“Umpamanya memberikan derma kepada manusia, tidak dibenarkan oleh Islam, melainkan dengan cara yang betul, bersih lagi mulia. Adapun derma yang dilakukan melalui judi atau merampas hak orang lain, tidak diakui Islam.”

sumber: http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Friday/AdDin/20090403125732/Article/indexv_html (10/04/2009)





Tazkirah Remaja: 11 jenis manusia didoa malaikat

3 04 2009

Bersama Mohd Zawawi Yusoh

PERCAYA kepada malaikat adalah antara rukun iman. Ada malaikat yang ditugaskan berdoa kepada makhluk manusia dan sudah tentu seseorang yang didoakan malaikat mendapat keistimewaan.

Dalam hidup, kita sangat memerlukan bantuan rohani dalam menghadapi ujian yang kian mencabar. Bantuan dan sokongan malaikat sangat diperlukan.

Kali ini penulis ingin menyenaraikan antara jenis manusia yang akan menerima doa malaikat.

Ketika kita menghadapi masalah, kerumitan, keperluan dan bimbingan, bukan saja kita perlukan kekuatan doa dari lidah, tetapi juga sokongan malaikat.

Antara orang yang mendapat doa malaikat ialah:

1. Orang yang tidur dalam keadaan bersuci.

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Sesiapa yang tidur dalam keadaan suci, malaikat akan bersamanya di dalam pakaiannya. Dia tidak akan bangun hingga malaikat berdoa: “Ya Allah, ampunilah hamba-Mu si fulan kerana tidur dalam keadaan suci.”

2. Orang yang sedang duduk menunggu waktu solat.

Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: “Tidaklah salah seorang antara kalian yang duduk menunggu solat, selama ia berada dalam keadaan suci, kecuali kalangan malaikat akan mendoakannya: ‘Ya Allah, ampunilah ia. Ya Allah sayangilah ia.'”

3. Orang yang berada di saf depan solat berjemaah.

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Sesungguhnya Allah dan kalangan malaikat-Nya berselawat ke atas (orang) yang berada pada saf depan.”

4. Orang yang menyambung saf pada solat berjemaah (tidak membiarkan kekosongan di dalam saf).

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Sesungguhnya Allah dan kalangan malaikat selalu berselawat kepada orang yang menyambung saf.”

5. Kalangan malaikat mengucapkan ‘amin’ ketika seorang imam selesai membaca al-Fatihah.

Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: “Jika seorang imam membaca…(ayat terakhir al-Fatihah sehingga selesai), ucapkanlah oleh kamu ‘aamiin’ kerana sesiapa yang ucapannya itu bertepatan dengan ucapan malaikat, dia akan diampuni dosanya yang lalu.”

6. Orang yang duduk di tempat solatnya selepas melakukan solat.

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Kalangan malaikat akan selalu berselawat kepada satu antara kalian selama ia ada di dalam tempat solat, di mana ia melakukan solat.”

7. Orang yang melakukan solat Subuh dan Asar secara berjemaah.

Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: “Kalangan malaikat berkumpul pada saat solat Subuh lalu malaikat (yang menyertai hamba) pada malam hari (yang sudah bertugas malam hari hingga Subuh) naik (ke langit) dan malaikat pada siang hari tetap tinggal.

“Kemudian mereka berkumpul lagi pada waktu solat Asar dan malaikat yang ditugaskan pada siang hari (hingga solat Asar) naik (ke langit) sedangkan malaikat yang bertugas pada malam hari tetap tinggal lalu Allah bertanya kepada mereka: “Bagaimana kalian meninggalkan hamba-Ku?”

Mereka menjawab: ‘Kami datang sedangkan mereka sedang melakukan solat dan kami tinggalkan mereka sedangkan mereka sedang melakukan solat, ampunilah mereka pada hari kiamat.'”

8. Orang yang mendoakan saudaranya tanpa pengetahuan orang yang didoakan.

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Doa seorang Muslim untuk saudaranya yang dilakukan tanpa pengetahuan orang yang didoakannya adalah doa yang akan dikabulkan. Pada kepalanya ada seorang malaikat yang menjadi wakil baginya, setiap kali dia berdoa untuk saudaranya dengan sebuah kebaikan, malaikat itu berkata ‘aamiin dan engkau pun mendapatkan apa yang ia dapatkan.'”

9. Orang yang membelanjakan harta (infak).

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Tidak satu hari pun di mana pagi harinya seorang hamba ada padanya kecuali dua malaikat turun kepadanya, satu antara kedua-duanya berkata: ‘Ya Allah, berikanlah ganti bagi orang yang berinfak…'”

10. Orang yang sedang makan sahur.

Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: “Sesungguhnya Allah dan kalangan malaikat-Nya berselawat kepada orang yang sedang makan sahur.”

11. Orang yang sedang menjenguk (melawat) orang sakit.

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Tidaklah seorang mukmin menjenguk saudaranya kecuali Allah akan mengutus 70,000 malaikat untuknya yang akan berselawat kepadanya di waktu siang hingga petang dan di waktu malam hingga Subuh.”

Itulah antara mereka yang mendapat doa malaikat. Semoga kita termasuk dan tersenarai sama.

source: http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Friday/AdDin/20090320100227/Article/indexv_html (03/04/2009)





Tazkirah: Bersangka Baik

26 03 2009

Ada sangkaan baik… Ada sangkaan buruk
Orang beribadah disangka riak
Orang yang relax disangka malas
Orang yang pakai baju baru disangka menunjuk
Orang yang pakai baju buruk disangka zuhud (hina)
Orang makan banyak disangka pelahap
Orang makan sikit disangka diet
Orang baik disangka buruk
Orang buruk disangka baik
Orang senyum disangka mengejek
Orang masam disangka merajuk
Orang bermuzakarah disangka mengumpat
Orang diam disangka menyendiri
Orang menawan disangka pakai susuk
Orang nampak ceria disangka membela hantu raya

Mana tahu yang diam itu kerana berzikir kepada Allah
Mana tahu yang senyum itu kerana bersedekah
Mana tahu yang masam itu kerana mengenangkan dosa
Mana tahu yang menawan itu kerana bersih hati dan mindanya
Mana tahu yang ceria itu kerana cergas cerdasnya

Jauhi sikap suka bersangka-sangka kerana ia bakal memusnahkan ukhwah seperti musnahnya kayu dimakan api. Satu benda yang kita lihat, macam-macam kesimpulan yang boleh kita buat semuanya bergantung bagaimana kita melihatnya.

Wallahu’alam

p/s: Tazkirah ini, saya sampaikan dalam Mesyuarat Jabatan tadi dan saya ambil dari email. Moga kita sama-sama menghayatinya… InsyaAllah…





Tazkirah: Istidraj

6 03 2009

Ianya adalah pemberian nikmat Allah kepada manusia yang mana pemberian itu tidak diredhaiNya. Inilah yang dinamakan istidraj.

Rasullulah s. a. w. bersabda :”Apabila kamu melihat bahawa Allah Taala memberikan nikmat kepada hambanya yang selalu membuat maksiat  (durhaka), ketahuilah bahawa orang itu telah diistidrajkan oleh Allah SWT.”(Diriwayatkan oleh At-Tabrani, Ahmad dan Al-Baihaqi)

Tetapi, manusia yang durhaka dan sering berbuat maksiat yang terkeliru dengan pemikirannya merasakan bahawa nikmat yang telah datang kepadanya adalah kerana Allah berserta dan kasih dengan perbuatan maksiat mereka. Masih ada juga orang ragu-ragu, kerana kalau kita hendak dapat kebahagian di dunia dan akhirat kita mesti ikut jejak langkah Rasullulah saw dan berpegang teguh pada agama Islam.

Tetapi bagaimana dengan ada orang yang sembahyang 5 waktu sehari semalam, bangun tengah malam bertahajjud, puasa bukan di bulan Ramadhan sahaja, bahkan Isnin, Khamis dan puasa sunat yang lain. Tapi, hidup mereka biasa sahaja. Ada yang susah juga. Kenapa? Dan bagaimana pula orang yang seumur hidup tak sembahyang, puasa pun tak pernah, rumahnya tersergam indah, kereta mewah menjalar, duit banyak, dia boleh hidup kaya dan mewah. Bila kita tanya, apa kamu tak takut mati? Katanya, alah, orang lain pun mati juga, kalau masuk neraka, ramai-ramai. Tak kisahlah! Sombongnya mereka, takburnya mereka.

Rasullulah s. a. w. naik ke langit bertemu Allah pun tak sombong, Nabi Sulaiman, sebesar-besar pangkatnya sehinggakan semua makhluk di muka bumi tunduk di bawah perintahnya pun tak sombong! Secantik-cantik Nabi Yusof dan semerdu suara Nabi Daud, mereka tak sombong. Bila sampai masa dan ketikanya, mereka tunduk dan sujud menyembah Allah.

Manusia istidraj – Manusia yang lupa daratan. Walaupun berbuat maksiat, dia merasa Allah menyayanginya. Mereka memandang hina kepada orang yang beramal. “Dia tu siang malam ke masjid, basikal pun tak mampu beli, sedangkan aku ke kelab malam pun dengan kereta mewah. Tak payah beribadat pun, rezeki datang mencurah-curah. Kalau dia tu sikit ibadat tentu boleh kaya macam aku, katanya sombong.” Sebenarnya, kadang-kadang Allah memberikan nikmat yang banyak dengan tujuan untuk menghancurkannya.

Rasullulah s. a. w bersabda: “Apabila Allah menghendaki untuk membinasakan semut, Allah terbangkan semua itu dengan dua sayapnya” (Kitab Nasaibul’Ibad)

Anai-anai, jika tidak bersayap, maka dia akan duduk diam di bawah batu atau merayap di celah-celah daun, tetapi jika Allah hendak membinasakannya, Allah berikan dia sayap. Lalu, bila sudah bersayap, anai-anai pun menjadi kelkatu. Kelkatu, bila mendapat nikmat(sayap), dia akan cuba melawan api. Begitu juga manusia, bila mendapat nikmat, cuba hendak melawan Allah swt.

Buktinya, Firaun. Nikmatnya tak terkira, tidak pernah sakit, bersin pun tidak pernah kerana Allah berikannya nikmat kesihatan. Orang lain selalu sakit, tapi Firaun tidak, orang lain mati, namun dia masih belum mati-mati juga, sampai rasa angkuh dan besar diri lantas mengaku dirinya tuhan. Tapi dengan nikmat itulah Allah binasakan dia.

Namrud, yang cuba membakar Nabi Ibrahim. Betapa besar pangkat Namrud? Dia begitu sombong dengan Allah, akhirnya menemui ajalnya hanya disebabkan seekor nyamuk masuk ke dalam lubang hidungnya.

Tidak ada manusia hari ini sekaya Qarun. Anak kunci gudang hartanya sahaja kena dibawa oleh 40 ekor unta. Akhirnya dia ditenggelamkan bersama-sama hartanya sekali akibat terlalu takbur. Jadi kalau kita kaya, jangan sangka Allah sayang, Qarun lagi kaya, akhirnya binasa juga.

Jadi, jika kita kaji dan fikir betul-betul, maka terjawablah segala keraguan yang mengganggu fikiran kita. Mengapa orang kafir kaya, dan orang yang berbuat maksiat hidup senang /mewah. Pemberian yang diberikan oleh Allah pada mereka bukanlah yang diredhaiNya. Rupa-rupanya ianya adalah bertujuan untuk menghancurkannya. Untuk apa hidup ini tanpa keredhaanNya?

Tetapi jangan pula ada orang kaya beribadat, masuk masjid dengan kereta mewah kita katakan itu istidraj. Orang naik pangkat, istidraj. Orang-orang besar, istidraj. Jangan! Orang yang mengunakan nikmatnya untuk kebajikan untuk mengabdi kepada Allah bukan istidraj. Dan jangan pula kita tidak mahu kekayaan. Kalau hendak selamat, hidup kita mesti ada pegangan. Bukan kaya yang kita cari, juga bukan miskin yang kita cari.

Tujuan hidup kita adalah mencari keredaan Allah. Bagaimana cara untuk menentukan nikmat yang diredhai Allah? Seseorang itu dapat menyedari hakikat yang sebenarnya tentang nikmat yang diterimanya itu ialah apabila dia bersyukur nikmatnya. Dia akan mengunakan pemberian ke jalan kebaikan dan sentiasa redha dan ikhlas mengabdikan diri kepada Allah. Maka segala limpah kurnia yang diperolehi itu adalah nikmat pemberian yang diredhai Allah. Bila tujuan hidup kita untuk mencari keredhaan Allah, nescaya selamatlah kita di dunia dan akhirat.

p/s: Tazkirah saya terima menerusi email





Tazkirah: Hikmah Yang Tersembunyi

6 02 2009

Abu Laits as-Samarqandi adalah seorang ahli fiqh yang masyur. Suatu ketika dia pernah berkata, ayahku menceritakan bahawa antara Nabi-nabi yang bukan Rasul ada menerima wahyu dalam bentuk mimpi dan ada yang hanya mendengar suara.

Maka salah seorang Nabi yang menerima wahyu melalui mimpi itu, pada suatu malam bermimpi diperintahkan yang berbunyi, “Esok engkau dikehendaki keluar dari rumah pada waktu pagi menghala ke barat. Engkau dikehendaki berbuat, pertama; apa yang engkau lihat (hadapi) maka makanlah, kedua; engkau sembunyikan, ketiga; engkau terimalah, keempat; jangan engkau putuskan harapan, yang kelima; larilah engkau daripadanya.”

Pada keesokan harinya, Nabi itu pun keluar dari rumahnya menuju ke barat dan kebetulan yang pertama dihadapinya ialah sebuah bukit besar berwarna hitam. Nabi itu kebingungan sambil berkata, “Aku diperintahkan memakan pertama aku hadapi, tapi sungguh aneh sesuatu yang mustahil yang tidak dapat dilaksanakan.”

Maka Nabi itu terus berjalan menuju ke bukit itu dengan hasrat untuk memakannya. Ketika dia menghampirinya, tiba-tiba bukit itu mengecilkan diri sehingga menjadi sebesar buku roti. Maka Nabi itu pun mengambilnya lalu disuapkan ke mulutnya. Bila ditelan terasa sungguh manis bagaikan madu. Dia pun mengucapkan syukur ‘Alhamdulillah’.

Kemudian Nabi itu meneruskan perjalanannya lalu bertemu pula dengan sebuah mangkuk emas. Dia teringat akan arahan mimpinya supaya disembunyikan, lantas Nabi itu pun menggali sebuah lubang lalu ditanamkan mangkuk emas itu, kemudian ditinggalkannya. Tiba-tiba mangkuk emas itu terkeluar semula. Nabi itu pun menanamkannya semula sehingga tiga kali berturut-turut.

Maka berkatalah Nabi itu, “Aku telah melaksanakan perintahmu.” Lalu dia pun meneruskan perjalanannya tanpa disedari oleh Nabi itu yang mangkuk emas itu terkeluar semula dari tempat ia ditanam.

Ketika dia sedang berjalan, tiba-tiba dia ternampak seekor burung helang sedang mengejar seekor burung kecil. Kemudian terdengarlah burung kecil itu berkata, “Wahai Nabi Allah, tolonglah aku.”

Mendengar rayuan burung itu, hatinya merasa simpati lalu dia pun mengambil burung itu dan dimasukkan ke dalam bajunya. Melihatkan keadaan itu, lantas burung helang itu pun datang menghampiri Nabi itu sambil berkata, “Wahai Nabi Allah, aku sangat lapar dan aku mengejar burung itu sejak pagi tadi. Oleh itu janganlah engkau patahkan harapanku dari rezekiku.”

Nabi itu teringatkan pesanan arahan dalam mimpinya yang keempat, iaitu tidak boleh putuskan harapan. Dia menjadi kebingungan untuk menyelesaikan perkara itu. Akhirnya dia membuat keputusan untuk mengambil pedangnya lalu memotong sedikit daging pehanya dan diberikan kepada helang itu. Setelah mendapat daging itu, helang pun terbang dan burung kecil tadi dilepaskan dari dalam bajunya.

Selepas kejadian itu, Nabi meneruskan perjalannya. Tidak lama kemudian dia bertemu dengan satu bangkai yang amat busuk baunya, maka dia pun bergegas lari dari situ kerana tidak tahan menghidu bau yang menyakitkan hidungnya. Setelah menemui kelima-lima peristiwa itu, maka kembalilah Nabi ke rumahnya. Pada malam itu, Nabi pun berdoa. Dalam doanya dia berkata, “Ya Allah, aku telah pun melaksanakan perintah-Mu sebagaimana yang diberitahu di dalam mimpiku, maka jelaskanlah kepadaku erti semuanya ini.”

Dalam mimpi beliau telah diberitahu oleh Allah S.W.T. bahawa, “Yang pertama engkau makan itu ialah marah. Pada mulanya nampak besar seperti bukit tetapi pada akhirnya jika bersabar dan dapat mengawal serta menahannya, maka marah itu pun akan menjadi lebih manis daripada madu.

Kedua; semua amal kebaikan (budi), walaupun disembunyikan, maka ia tetap akan nampak jua. Ketiga; jika sudah menerima amanah seseorang, maka janganlah kamu khianat kepadanya. Keempat; jika orang meminta kepadamu, maka usahakanlah untuknya demi membantu kepadanya meskipun kau sendiri berhajat. Kelima; bau yang busuk itu ialah ghibah (menceritakan hal seseorang). Maka larilah dari orang-orang yang sedang duduk berkumpul membuat ghibah.”

Saudara-saudaraku, kelima-lima kisah ini hendaklah kita semaikan dalam diri kita, sebab kelima-lima perkara ini sentiasa sahaja berlaku dalam kehidupan kita sehari-hari. Perkara yang tidak dapat kita elakkan setiap hari ialah mengata hal orang, memang menjadi tabiat seseorang itu suka mengata hal orang lain. Haruslah kita ingat bahawa kata-mengata hal seseorang itu akan menghilangkan pahala kita, sebab ada sebuah hadis mengatakan di akhirat nanti ada seorang hamba Allah akan terkejut melihat pahala yang tidak pernah dikerjakannya. Lalu dia bertanya, “Wahai Allah, sesungguhnya pahala yang Kamu berikan ini tidak pernah aku kerjakan di dunia dulu.”

Maka berkata Allah S.W.T., “Ini adalah pahala orang yang mengata-ngata tentang dirimu.” Dengan ini haruslah kita sedar bahawa walaupun apa yang kita kata itu memang benar, tetapi kata-mengata itu akan merugikan diri kita sendiri. Oleh kerana itu, hendaklah kita jangan mengata hal orang walaupun ia benar