Berakhirnya Riwayat Hidup Gaddafi

21 10 2011

Saya tamat bermesyuarat awal pagi tadi, kira-kira jam 1.30 pagi. Sesampainya di rumah, terus saya terpandang petikan berita kematian pemimpin utama Libya, Muammar Gaddafi. Sukar untuk saya menyatakan reaksi saya kerana bercampur baur tetapi itulah hakikat kehidupan, sekiranya kita membelakangi amanah dan bertindak kejam, pembalasan sudah tersedia. Tidak di dunia, akhirat pasti menanti.

Regim Gaddafi ini sudah lama diperkatakan. Walaupun beragama Islam, Gaddafi lebih condong kepada Sosialis dan menguasai Libya lebih 42 tahun. Sejarah Muammar Gaddafi menaiki takhta di Libya juga bermula dengan revolusi yang beliau cetuskan dan kini pemerintahan beliau juga berakhir oleh pergerakan tentera revolusi yang dipelopori oleh rakyat Libya yang mahukan beliau meletak jawatan.

Ketika pemberontak di Libya berlaku awal tahun ini, Gaddafi telah bertindak kejam mengarahkan jet pejuangnya menembak dan mengebom penunjuk perasaan. Cukup zalim ! Dan atas sentimen itu, ia bukannya melemahkan perjuangan tentera revolusi tetapi ia menyemarakkan lagi semangat mereka menentang Gaddafi apatah lagi dengan bantuan anasir-anasir luar terutamanya dari Barat.

Tetapi Gaddafi berikrar untuk mati di tanah air sendiri walaupun banyak mendapat suaka politik daripada negara lain seperti Zimbabwe. Bagi Gaddafi, beliau akan terus berjuang walaupun ketika itu satu per satu bandar ditawan puak revolusi. Serangan NATO juga memain peranan apabila ia merencatkan terus kekuatan tentera udara Libya dan akhirnya Gaddafi terpaksa menyembunyikan diri dan menyelinap ke serata pelusuk kawasan untuk menyelamatkan diri.

Walaupun beberapa kali diksean tetapi Gaddafi berjaya melepaskan diri sehinggalah tanggal 20 Oktober 2011 Gaddafi berjaya ditawan oleh tentera Revolusi ketika konvoinya bergerak untuk melarikan diri daripada dikesan pihak penentangnya. Difahamkan Gaddafi masih hidup ketika ditawan tetapi akibat rasa kesumat dan penderitaan yang selama ini dicetuskan oleh Gaddafi, maka riwayat Gaddafi berakhir sehingga situ sahaja. Dibunuh dan mayatnya diseret secara penuh hina tatkala yang lain bersorak girang menyambut kematian seorang pemerintah kuku besi.

Ia harus dijadikan iktibar oleh pemimpin-pemimpin yang masih berkuasa secara zalim kerana satu per satu bermula dengan Bin Ali, Hosni Mubarak dan beberapa orang lagi pemimpin diktator dijatuhkan oleh rakyat yang selama ini tertekan dan mula bangkit.

Namun seperti yang saya katakan tadi, perasaan saya bercampur baur kerana bagaimana Libya selepas ini? Adakah seperti Iraq, Tunisia atau Mesir. Perbalahan yang tidak berkesudahan terus berlaku. Kacau bilau dan huru hara terus menghantui dan yang sudah pasti ialah campur tangan barat terutamanya Amerika yang begitu inginkan sumber minyak Libya.

Kerosakan sudah berlaku. Ia dicipta sejak sekian lama, cukup mustahil akan pulih sekelip mata. Rakyat Libya akan terus menderita dan berkorban sebelum mereka berjaya mencapai apa yang mereka ingini.

(Akan dikemaskini lagi)





Masalah Dengan Hosting

18 10 2011

Maaf kerana agak lama tidak mengemaskini blog ini.

Ini sebenarnya disebabkan oleh masalah dengan hosting provider. Kebetulan akaun saya tamat sehari sebelum hari raya puasa dan saya pula menukar akaun dari reseller kepada akaun atas nama sendiri. Beberapa kekeliruan dan kesilapan setting berlaku sehingga saya gagal mencapai akaun saya di lokasi-lokasi tertentu.

Alhamdulillah kini ia telah berjaya diatasi dan kembali seperti biasa. Saya akan mengemaskini catatan yang saya tulis sepanjang permasalahan berlaku.

Mudah-mudahan semuanya berjalan lancar, InsyaAllah…