Aktiviti Syasya di kampung

30 05 2011

Bila dah balik kampung, Syasya pun ada aktiviti tersendiri. Kalau kat KL, asyik main game ja. Kat kampung barulah Syasya dapat rasa sikit sebanyak permainan kampung. La ni semua pakat hantu game dah…

Dalam gambaq tu, dia main jual beli nyoq guna duit batu.

Lepas tu tuju kasut. Baru Syasya belajaq main. Pak dia dulu main tuju tin, tuju lemak guna bola tenis. Sekali kena tuju pecah habis lemak. Kalau yang tuju tu jenih kuat tangannya, jenuh la menahan perit apatah lagi dalam jarak dekat. Hehehe… Depa tak rasa lagi…

 

Tak pa lah Syasya, belajaq la sikit sikit main permainan tradisional ni. Nanti boleh cerita kat kawan-kawan yang memang asai dari pekan yang tak pernah main mainan macam ni. Depa tengok kot muzium ja.

Banyak lagi permainan kampung yang Walid Syasya main, Syasya tak tau. Nanti ada peluang, Syasya belajaq main…





Terhenti Degup Jantung

20 03 2011

Jumaat lepas, sewaktu makan tengah hari di Sungai Besi, saya dan keluarga beserta keluarga kakak ipar saya menjamu selera di sebuah warung di tepi jalan di sana. Keadaan agak tenang dan keadaan trafik tidaklah begitu sibuk. Selepas makan, saya bergegas nak ke Masjid untuk Solat Jumaat manakala kakak ipar saya yang tidak biasa jalan di situ bertanyakan saya tempat untuk anak-anak beliau ke tandas. Kalau nak ke Masjid memang sesak dengan kaum muslimin nak Solat Jumaat.

Ketika itu, seorang adik ipar saya dan sepupu Syasya sudah melintas ke seberang jalan. Syasya nak ikut mereka tetapi tertinggal di belakang. Lalu saya sempat lihat Syasya yang cuma tengok sebelah jalan sahaja. Bila tiada kereta dari arah kanan dia terus berlari untuk melintas jalan, malangnya Syasya tidak memerhatikan kereta dari arah kiri jalan. Apa lagi ! Terus saya menjerit, “Syaaaassssssyyyyyyyaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaa!” Sekuat hati.

Ketika itu terasa jantung saya terhenti. Terkejut semuanya ada…

Kereta itu meluncur laju tetapi Alhamdulillah Syasya dengan sepantas kilat berpusing dan kembali berlari ke arah saya. Tak pasti sama ada refleks spontan Syasya atau seperti ada benda lain yang menarik Syasya berpusing begitu pantas memalingkan diri dan terus meluru ke arah saya. Semuanya begitu pantas. Sekelip mata sahaja. Bila Syasya dah sampai kepada saya, apa lagi, terus kena marahlah Syasya dengan saya. Sebelum ni, kalau nak lintas dia tak pernah pun terus macam tu, memang pegang tangan saya atau isteri.

Bila masuk dalam kereta, memang habislah Syasya kena ‘basuh’. Sampaikan Syasya tersedu-sedu menangis. Memang pengajaran yang amat berguna buat Syasya. Salah saya pun ada sebab tak betul betul mengawal atau pegang tangan Syasya. Saya lebih tumpukan kepada hal lain.

Syasya jangan buat macam tu lagi…

Malam tadi bila lalu di jalanraya, Syasya cakap kepada saya, “Syasya kena tengok kiri kanan dulu, kalau tak ada kereta baru lintas. Kan Walid?”. Saya mengangguk setuju dan berkata,”ya”.

Syasya… Mahalnya pengalaman tu ! Jadikan pengajaran bersama !





Syasya Hana: Syasya Nak Jadi Bos

14 01 2011

suatu petang, Syasya berkata kepada saya, “Walid, Syasya nak duit”

“Nak buat apa?”
“Syasya nak bayar dekat orang tu. Nanti baru dia panggil Syasya Bos,” katanya sambil menunjuk kepada seorang pengawal keselamatan di tempat tinggal saya.

Hmmmm… Syasya oh Syasya…





Hey Baby

1 12 2010

Malam tadi, ketika saya sedang melayari internet, Syasya tiba-tiba datang dengan tangisan yang mengejutkan saya.

“Awat? Syasya Naughty ka? Lepas tu Ummi cubit?”

Syasya terus menangis teresak-esak. Saya bertanya lagi tetapi Syasya terus menangis dan air matanya membasahi kain pelikat saya. Kemudian bila saya peluk Syasya, Syasya kata, “Syasya sedih tengok baby mati”. Kata-kata itu membuatkan saya terpinga-pinga…

“Baby mana?”
“Dalam TV tu”

Rupa-rupanya, dia menangis melihat kisah tiga pemuda yang tinggalkan bayi hingga lemas kerana tenggelam dek akibat air hujan yang bertakung. Filem Hindustan bertajuk “Hey Baby”. Lebih kurang begitulah cerita waktu tu. Saya dah pernah tengok dah cerita tu, tapi malam tadi yang mengejutkan saya ialah Syasya menangis teresak-esak…

Syasya ni, tu cerita TV sahajalah, tapi baik jugak sebab ada sifat peri kemanusiaan dalam hatinya…





Karenah Syasya dan Syafi

24 11 2010

Macam macam Aih Depa ni...
Hmmm… Habis si Kakak Syasya make up adik dia, Syafi Hana… Macam-macam aih depa ni… 🙂





Karenah Syasya Hana

9 10 2010

Sudah agak lama saya tak menulis tentang Syasya… Kali ini terasa nak menulis tentang Syasya.

Sejak kami berpindah ke rumah baru lebih kurang empat bulan lepas, kami memutuskan untuk memberikan Bilik tidur kedua kepada Syasya. Hari pertama di bilik itu, kami minta sepupunya berusia tujuh tahun teman tidur. Syasya dilihat cukup gembira dan selesa dengan bilik barunya. Adiknya, Syafi Hana masih kami kekalkan tidur bersama kami. Selepas sehari, Syasya nampak OK walaupun sepupunya sudah pulang dan dua minggu berturut-turut orang tua kami datang, jadi ia tidak mendatangkan masalah kepada kami dan Syasya.

Namun setelah tiga minggu, Syasya mula memuji bilik kami.
“Bilik Walid ni best la”
“Cantiklah katil Walid ni”
Jelas tergambar yang dia nak tidur dengan kami tetapi kami masih lagi mahu memisahkan tempat tidurnya lalu sebelum tidur sama ada saya atau isteri akan menemani Syasya di biliknya hingga Syasya benar-benar tidur. Kemudian barulah kami kembali ke bilik tidur utama.

Tetapi kira-kira jam 4 pagi biasanya kami akan terkejut melihat Syasya tidur di hujung katil. Lalu saya akan menemankan dia kembali tidur di biliknya. Bila selalu terjadi, memang tak cukup tidurlah saya jadinya. Lalu kami katakan kepadanya sekiranya Syasya tak nak tidur di biliknya, kami akan bagi bilik tersebut kepada orang lain. Syasya menangis tidak mahu diserahkan kepada orang lain.

Kemudian berlaku perubahan sikap Syasya. Dia jadi kuat protes dan agak sukar mendengar cakap kami. Ketika itu dia kami memikirkan apa sebenarnya yang Syasya mahukan lalu kami bersependapat bahawa Syasya masih belum boleh tidur berseorangan lagi. Dia kena ada teman. Nak letak Syafi Hana memang mustahil kerana Syafi masih lagi bangun malam minta susu.

Jadi akhirnya kami membuat keputusan untuk meletakkan katil Syasya dalam bilik kami. Alhamdulillah katil Syasya+katil saiz King muat dalam bilik tidur utama dan Syasya kembali tidur bersama kami. Kami dah habaq kat Syasya, nanti Syasya tetap kena tidur di bilik Syasya dengan Adik Syafi setelah Ummi melahirkan adik Syasya lagi. Syasya bersetuju dan Alhamdulillah sikap semakin berubah sedikit demi sedikit.

Hmmm… Mungkin juga waktu di biliknya berseorangan di memikirkan kami mengabaikannya hingga berlaku perubahan sikap. Alhamdulillah semuanya semakin baik…





Selamat Hari Lahir Anak-Anakku

30 08 2010

Hari ini 30 Ogos 2010 adalah hari ulangtahun kelahiran ke-4 Syasya Hana dan empat hari lagi adalah hari lahir pertama Syafi Hana. Selamat Hari Lahir Walid dan Ummi ucapkan mudah-mudahan Syasya dan Syafi akan menjadi seorang insan yang berguna dan solehah. InsyaAllah Ummi dan Walid akan terus memberikan didikan dan kasih sayang semampu mungkin buat Syasya dan Syafi, InsyaAllah…

InsyaAllah, hujung tahun ini Syasya dan Syafi akan dapat adik 🙂