Susahlah Kalau Macam Ni…

30 04 2009

Malam tadi, saya habis main futsal dah cecah tengah malam. Lebih kurang jam 12.30 malam, saya sampai ke apartmen saya. Saya masuk melalui pintu yang memerlukan access card disebabkan pintu biasa sudah pun dikunci. Di depan saya ada sebuah kereta Proton Iswara yang pemandunya sedang bertekak dengan pengawal keselamatan.

Saya hanya menanti di belakang kereta Iswara tersebut untuk menunggu giliran masuk tetapi dengan tiba-tiba kereta tersebut terus merempuh kayu pengadang. Untuk masuk, sepatutnya kena touch card dan kayu pengadang tersebut akan terangkat. Tetapi pemandu tersebut terus selamba sahaja. Memang tak patut. Terus, pengawal keselamatan ambil nombor pendaftaran kereta tersebut.

Saya terus bertanyakan kepada pengawal tersebut tentang keadaan yang berlaku. Pemandu tersebut memang tak bawak access card tetapi tetap mahu masuk. Pengawal keselamatan cuba berdiplomasi dengan menanti penduduk yang ada access card untuk membantu tetapi pemandu tersebut tidak sabar dan terus bersikap kurang ajar.

Susahlah kalau ada segelintir penduduk macam ni. Dulu, memang agak mudah urusan keluar masuk ke apartment tetapi akhirnya banyak berlaku kes jenayah. Kemudian diketatkan urusan keluar masuk dan kadar jenayah turun mendadak tetapi ada segelintir yang rasa kurang senang.

Kenapa nak rasa kurang senang? Untuk kebaikan bersama. Jika urusan keluar masuk seperti sebelum ini, dikhuatiri lebih banyak kes pecah rumah dan kecurian motor berlaku.

Semuanya untuk kepentingan bersama. Kalau ada yang berdegil. Memang susahlah…

Advertisements




E-filing

30 04 2009

Hari ini adalah hari terakhir untuk rakyat Malaysia yang berkenaan melaksanakan tanggunjawab masing-masing. Alhamdulillah, saya buat pertama kali mendaftar untuk urusan percukaian. Jumaat lepas, saya dah pun membuka fail cukai setelah tidak dapat berbuat demikian tahun lepas akibat denggi.

Terima kasih juga kepada sahabat yang bertugas di LHDN yang sudi meluangkan masa selama 30 minit untuk membantu saya mengisi e-filling. Kalau tanpa bantuan beliau memang blur jugak nak isi. Nak isi boleh tapi nak isi dengan tepat.

Banyak pelepasan yang boleh kita dapat. Kalau anda rajin beli buku, jangan lupa simpan resit tersebut. Ada lagi macam insurans nyawa dan jugak kalau anak ramai, lagi banyak pelepasan cukai yang diperolehi.

Kepada anda yang masih belum berbuat demikian, cepat-cepat laksanakan tanggungjawab anda kepada negara !





Laporan Akhbar

29 04 2009

Alhamdulillah, malam tadi Kedah berjaya membawa pulang tiga mata dengan menewaskan Pahang 3-1 dalam Saingan Liga Super 2009 dan dalam Akhbar Kosmo semalam ada juga menerbitkan kenyataan saya yang mengharapkan kemenangan pasukan Kedah. (Rujuk Kosmo 28 April 2009, halaman 61 Bertajuk: Penyokong Mahu Kedah Buktikan Kehebatan Sebenar)

Apa pun, artikel tersebut agak lari dari apa yang kami bertiga nyatakan kepada wartawan terbabit. Kalau orang biasa tengok, nampak macam biasa sahaja tetapi sebenarnya ada sedikit masalah dengan laporan tersebut.

InsyaAllah, nanti saya akan update artikel tu dalam ni. Tadi scanner problem dan kamera pula, bateri lemah. Nanti saya akan kemaskini artikel tersebut di sini…

[Updated]

Seperti yang dijanjikan, keratan akhbar tersebut.

(Sila Klik Untuk paparan yang lebih jelas)





Pertukaran Tapak

28 04 2009

Pengunjung Diari Saiful yang dihormati,

Berkuatkuasa serta merta, tapak rasmi Diari Saiful adalah di www.saifulazrul.net dan tapak saifulazrul.wordpress.com hanya akan bertindak sebagai back up sahaja.

Justeru, saya meminta, jasa baik anda untuk mengemaskini pautan ke www.saifulazrul.net.

Sekian Terima Kasih





Ulasan Buku: Petua Mendidik Anak Menjadi Insan Positif

28 04 2009

Hmmm… Alhamdulillah dapat jua saya habiskan buku yang baru saya beli ini. Harganya RM19.90 dan memang dalamnya terdapat pelbagai info berguna tentang ilmu keibubapaan. Ia adalah hasil daripada Dato’ Dr. Mohamad Fadzilah Kamsah, Tuan Haji Muhamamad Zakaria dan Husna Hassan.

Sebagai seorang bapa, saya merasakan perlu untuk saya sentiasa menambah ilmu tentang bagaimana untuk membentuk diri anak menjadi positif kerana kadangkala saya merasakan ada aspek-aspek yang saya kurang ketahui. Jadi dengan adanya buku ini, sedikit sebanyak dapat saya pelajari beberapa aspek penting untuk mendidik anak.

Hmmm… Sampai jam 2.30 pagi saya habiskan masa untuk membaca buku ini. Memang tidak membosankan kerana ia dilengkapi dengan ilustrasi, gambar dan kualiti gambar yang menarik perhatian pembaca. Begitu juga dengan tips yang diberikan dan diolah dengan gaya yang tidak membosankan.

Apa pun, saya masih kena banyak belajar tentang kemahiran menjadi seorang bapa untuk mendidik anak terutamanya zaman saya dan anak saya sememangnya berbeza dan ada pendekatan yang lebih bersesuaian dengan kehendak zaman.

Sesungguhnya dalam hati, saya ada terdetik kerisauan untuk mendidik anak di persekitaran yang begitu mencabar seperti di Kuala Lumpur ini. Sebelum merubah anak, saya sendiri kena berubah dahulu…





Satu Per Satu !

27 04 2009

Hmmm… Hari ni mula kembali ke pejabat seperti kebiasaan awal minggu. Ada yang kata monday fever. Aduh bila tengok list tugasan yang perlu dilakukan rasa berdenyut kepala. Banyaknya! Macam mana nak selesaikan ni.

Saya kena belajar buat kerja satu per satu. Kalau dok fikir banyak sangat kerja, nanti tak tersiap pulak. Kena sabar dan betah lakukan tugasan!

Aduh dah jam 11 pagi dah. Pantasnya masa berlalu, banyak lagi tugasan yang belum disiapkan. Apa pun dah beberapa tugasan berjaya disiapkan tetapi tengok list yang perlu dilakukan, masih banyak lagi !

Tak pa… Satu per satu !

Sabar…………..





Destinasi Percutian Impian: Plitvice National Park

25 04 2009

Suatu malam, saya terpandang seekor kucing yang cukup comel dalam sebuah dokumentari di TV. Tapi kucing comel itu bukannya kucing jinak. Ia adalah seekor kucing hutan yang boleh membunuh manusia! Kemudian dipaparkan kehidupan-kehidupan haiwan di lingkungan sebuah kawasan air terjun yang cukup cantik dan mengkagumkan. SubhanAllah, Maha Suci Allah.

Saya terpegun melihat keindahan air terjun tersebut. Bila saya lihat lagi dokumentari itu, baru saya perasan ia memang cukup terkenal sebelum ini. Seringkali dijadikan wallpaper oleh jutaan pengguna komputer di dunia. Memang keindahannya memukau pandangan. Betapa agungnya ciptaan-Nya. Maha Suci Allah…

Ada juga yang mengatakan ia adalah Air Terjun Sungai Jagong, Sungai Petani Kedah. Hehehe… Saya gelak bila ada yang forward email tu kepada saya. Kalau di Kedah ada Air Terjun macam tu, memang dah lama dah orang Kedah tau. Sedangkan ia sebenarnya ialah Plitvice National Park di Croatia.

Sepanjang menonton dokumentari tersebut, saya memang menanamkan hasrat untuk mengunjungi destinasi tersebut suatu hari nanti, InsyaAllah. Lepas pencen, saya dah berhasrat nak travel around the world. Saya berdoa, moga ia akan jadi kenyataan, InsyaAllah…