Kenaikan tarif Elektrik

31 05 2011

Saya pernah menulis tentang bayangan kenaikan tarif elektrik dalam entri Naik 20 Sen, Bang. Dalam entri itu saya ada menegaskan bahawa sistem subsidi sememangnya akan membebankan kerajaan dengan trend kenaikan harga bahan mentah dan juga bencana alam yang berlaku di serata dunia ketika ini. Apabila kesemua penyebab ini berlaku bermakna, tidak dapat tidak bahan bahan mentah yang mempunyai kebergantungan terhadap perkara tertentu akan melambung naik. Ditambah pula krisis politik di negara-negara yang kaya dengan hasil alam, ia sememangnya amat menambah parah lagi keadaan.

Justeru, pengurangan subsidi sememangnya salah satu jalan. Saya ulangi SALAH SATU JALAN DAN IA SEHARUSNYA MENJADI JALAN TERAKHIR. Saya yakin, andai dilaksanakan lebih banyak langkah berkaitan terlebih dahulu, pandangan awam terhadap kerajaan akan berubah. Seharusnya perjanjian berat sebelah antara kerajaan/agensi dan pihak swasta dikaji semula. Subsidi kepada IPP harus ditarik balik dahulu. Penjimatan perbelanjaan harus dilaksanakan. Pembaziran, penyelewengan/rasuah harus dikekang terlebih dahulu. Mekanisme untuk meningkatkan pendapatan rakyat harus dilaksanakan secara konsisten dan bersepadu. Jika semua ini dapat dilakukan, nescaya pengurangan/penghapusan subsidi akan diterima dengan hati terbuka oleh semua pihak.

Dalam hal ini, seharusnya keutamaan kepada rakyat diutamakan. Ternyata ada impak yang besar apabila diumumkan kenaikan tarif elektrik. Walaupun didakwa 75% pengguna tidak terjejas dari segi bil elektrik, tetapi kesan kenaikan harga barang semestinya ada kerana, kenaikan ini sudah pasti akan diserap oleh pihak pengeluar dalam bentuk kenaikan harga barangan yang akhirnya tetap membebankan pengguna. Bagi yang tinggal di kediaman yang perlu membayar yuran penyelenggaraan, sudah pasti perlu menerima hakikat kemungkinan yuran penyelenggaraan akan dinaikkan. Satu lagi beban yang harus ditanggung tatkala tahap pendapatan masih di takuk lama.

Alasan masih rendah berbanding negara negara tertentu sudah pasti menjadi bahan tawa ramai kerana ia bukanlah perbandingan yang adil. Harus dilihat dengan lebih menyeluruh dari aspek lain sama seperti kadar pendapatan rakyat, sumber hasil bumi, kestabilan ekonomi dan politik serta faktor faktor lain.

Sudah pasti apabila berdepan dengan tekanan inflasi, rungutan ramai akan terus bertambah.

Apa pun, nak tak nak, kena juga ikhtiar penyelesaian. Bagi rakan rakan yang rumah bawah, ramai dah berkira-kira nak pasang panel solar sebagai tenaga alternatif. Kalau macam saya di rumah bertingkat ni, macam mana ya selain langkah penggunaan elektrik berhemah?

Advertisements




Naik 20 Sen Bang

20 05 2011

Dua hari selepas kenaikan harga gula. Eh bukan naik lah tapi penyelarasan ! Eh Bukan penyelarasanlah tapi rasionalisasi ! Apa apa ja lah…, saya ke kedai membeli dua kilogram gula. Sewaktu saya letak di atas kaunter bayaran, tauke kedai terus kata, “Naik 20 sen Bang”.

Saya mengangguk dan berkata, “ya, memang dah maklum tapi terpaksa juga beli. Dua tiga tahun lepas rasanya sekilo baru RM 1.45. Bila beli dua kilo baru RM2.90. Sekarang sekilo RM2.30 dah dekat dua kali ganda dah.”

Kedai minum pulak terus naik harga jugak. Sepatutnya kalau ikutkan sekilo gula tu boleh buat berapa banyak cawan/gelas minuman. Kalau Teh O Ais RM1.30 patutnya kalau naik pun jadi RM1.31 atau RM1.32 sahaja tapi diberitakan ada yang naik sampai RM1.50. Melampau ! Gula pun pekedai runcit yang ada banyak stok, pastinya dah untung atas angin kalau jual pada harga baru. Kalau pekedai jujur, stok lama jual lah pada harga lama. Tapi berapa kerat sangat pekedai macam tu kan?

Pantau sama harga madu ! Sebab apa? Sebab kalau harga gula naik dan harga madu naik sama, mungkin madu tu bukan asli sebab banyak bubuh gula. Hehehe… Itu cuma andaian saya sahaja. Maklumlah kalau ikut kajian sebahagian besar madu yang dijual di pasaran adalah bukan madu asli. Banyak yang dicampur dengan gula hingga membahayakan kesihatan terutamanya buah pinggang.

Apa nak buat harga barang dah semakin naik. Gaji tetap pada paras yang sama. Nak tak nak, kena usaha cari pendapatan sampingan kalau nak selesa. Bukan nak mewah tapi cukup sekadar selesa.

Dengaq kata harga RON95 pun mungkin dinaikkan kerana menurut PEMANDU sepatutnya seliter sekarang dah RM2.05 berbanding harga semasa di pasaran RM1.90 seliter. Tapi kalau naikkan harga RON95 sudah pasti sentimen yang cukup sukar untuk ditangani. Kesan dominonya ialah harga barang akan naik. Ya memang akan naik sebabnya sekarang pun subsidi diesel untuk sembilan jenis kenderaan yang melibatkan lapan jenis pengangkutan barangan akan dimansuhkan berkuatkuasa 01 Jun 2011. Bila kos pengangkutan meningkat sudah pasti harga barang akan meningkat.

Terbaru, menurut laporan dikhabarkan pula akan berlaku kenaikan Tarif elektrik minggu depan bagi mengelakkan kenaikan harga RON95 agar kerajaan tidak menanggung bebanan subsidi dan juga rungutan awam. Tetapi bagi saya ia tetap akan berlaku sentimen yang sama kerana kenaikan tarif elektrik bermakna ia juga melibatkan semua rakyat. Pihak syarikat pula akan menyerap kenaikan itu dan dialihkan kepada pengguna menerusi kenaikan harga. Sama juga !

Pada saya, secara rasionalnya memang harus diakui bahawa kenaikan harga barang terutamanya bahan mentah memang tidak dapat dielakkan lagi apatah lagi dunia semakin kekurangan sumber NAMUN perlu ada mekanisme yang ampuh untuk menanganinya. Contohnya sebelum menarik balik subsidi kepada rakyat, tarik balik dulu subsidi kepada syarikat besar terutamanyan yang amat berat sebelah perjanjiannya. Perbelanjaan berhemah dan juga pertingkatkan pendapatan rakyat. Apabila kenaikan harga seiring dengan kenaikan pendapatan, barulah orang tidak begitu merungut.

Ini kalau nak banding harga, banding dengan negara yang rakyatnya berpendapatan tinggi. Memanglah harga nampak murah di negara kita.

Entahlah… Cuma luahan hati diri saya yang agak tertekan dengan kenaikan harga barang. Alhamdulillah masih mampu mengharunginya walaupun perit tetapi amat kasihan kepada rakan-rakan yang jauh kurang berkemampuan berbanding diri ini.