Mencemar Ramadhan

22 08 2011

Tahun lepas saya menulis tentang Menghormati Ramadhan.

Tahun ini hari pertama puasa, saya menyaksikan tidak berlaku seperti apa yang saya tulis tahun lepas. Hari berlalu dan setelah dua minggu umat Islam berpuasa, salah seorang peniaga nasi lemak tersebut kembali berniaga pada waktu pagi ketika semua sibuk menuju tempat kerja masing-masing.

Mulanya, saya cuba melihat sama ada pelanggan beragama Islam atau tidak. Tetapi oleh kerana saya hanya lalu sepintas lalu, agak kurang jelas walaupun nampak seakan-akan Muslim. Pagi tadi saya memperlahankan motor saya dan jelas kelihatan wajah Muslim berhenti membeli nasi lemak daripada peniaga tersebut walaupun cuba melindungkan identiti dengan topi kaledar.

Nampaknya sudah melampau !

Lalu, saya sudah pun membuat aduan kepada seorang YB untuk tindakan lanjut. Mudah-mudahan peniaga tersebut menginsafi apa yang telah dialkukannya dan berhenti daripada mencemar Ramadhan yang penuh keberkatan ini, InsyaAllah…





Menghormati Ramadhan

7 09 2010

Pada hari pertama memulakan puasa, saya perasan ada seorang penjual nasi lemak Melayu yang saya yakin Islam berniaga Nasi lemak pada waktu pagi kira-kira 200 meter sebelum Masjid Kg. Cheras Baru dari arah rumah saya. Selepas Masjid dalam 200 meter pun ada satu lagi penjual nasi lemak Melayu yang saya juga yakin Islam berniaga nasi lemak. Pada bulan Ramadhan ia seharusnya tidak berlaku kerana ia boleh menggalakkan orang Islam tidak berpuasa.

Selepas lebih kurang seminggu berpuasa, saya lihat sudah tiada kelibat peniaga nasi lemak yang berniaga sebelum masjid. Alhamdulillah mungkin sudah insaf atau pun sudah pun diserbu penguatkuasa. Tetapi yang berniaga selepas masjid tu masih lagi terus berniaga.

Sepanjang saya lalu, saya hanya nampak hanya bangsa bukan Melayu sahaja yang beli daripada mereka. Minggu lepas barulah saya nampak wanita Melayu membeli nasi lemak di situ. Tapi dia membawa anak kecil, jadi elok kita bersangka baik kerana mungkin makanan itu adalah untuk anak kecilnya. Hari ini dah 28 Ramadhan, saya lihat pula seorang lelaki Melayu yang saya yakin Islam yang wajahnya saya agak sudah mencecah 60-an membeli nasi lemak di situ.

Hmmm… Entahlah… Kenapalah peniaga tu masih berniaga dan tidak menghormati Ramadhan. Mungkin kerana cemburu dengan kedai Mamak yang dipenuhi dengan geng bertopi kaledar dan plastik hitam kot…