Selamatkan Alam Kita

18 03 2011

Pada satu hari Sabtu, saya ke sebuah supermarket untuk membeli barangan keperluan keluarga. Adalah beberapa bungkus makanan mentah dan barnag keperluan lain. Saya letakkan dalam raga sebelum saya letak di kaunter. Sesampainya di kaunter, saya disapa oleh jurujual supermarket tersebut, “Bang, hari ni plastik tak dibekalkan. Kalau nak juga plastik, kena bayar 20 sen dan akan didermakan untuk usaha memelihara bumi”.

Terlupa pulak saya dan saya menjawab, “OK. Tak mengapa”. Walaupun meneyedari agak sukar untuk bawak barang ke kereta, saya harus menerimanya dengan hati terbuka. Sebenarnya situasi ini saya sudah hadapi di Pulau Pinang apabila Kerajaan Negeri Pulau Pinang memperkenalkan hari tanpa plastik. Kemudian diperluaskan di Selangor dan kini di seluruh Malaysia. Cumanya Penang kini dah mulakan hari tanpa plastik setiap hari.

Dari apa yang saya perhatikan, ada yang merungut dan marah. Ada yang menyambut baik dan telah bersedia dengan lebih awal. Bagi yang berduit, depa tak kisah keluarkan 20 sen untuk plastik. Ada juga pasaraya yang sediakan kotak terpakai untuk pengguna yang sukar nak bawa banyak barang. Dan ramai juga yang sudah sediakan raga khas / troli  apabila membeli belah. Ada juga yang gunakan beg kitar semula.

Mungkin ada yang membantah kerana melihatnya amat menyukarkan tetapi jika kita melihat fakta-fakta yang dikemukakan, kita harus berkorban untuk memastikan bumi kita terus hijau dan terpelihara demi untuk kesejahteraan kita juga. Plastik, umpamanya memerlukan masa lebih kurang 500 tahun untuk terurai. Kalau kita meneruskan penggunaan beg plastik dengan begitu berleluasa, nescaya bumi kita akan menanggung beban yang semakin hari semakin bertambah. Sebab itu apabila memilih plastik sampah, saya memilih plastik yang terbiodegradasi untuk memastikan kesan minimum terhadap alam sekitar.

Di tempat kerja saya, PPUKM misalnya, telah diperkenalkan peraturan agar bekas polistirena diharamkan di semua gerai dan kedai makan. Malah staf juga dibekalkan dengan bekas makanan. Bekas makanan ini boleh digunakan untuk menggantikan bekas polistirena sewaktu membeli makanan. Tetapi mungkin budaya ini masih baru dan tiada yang melakukannya. Berbanding plastik, bekas polistirena lebih parah kesannya terhadap alam sekitar kerana ia tidak terurai langsung menerusi proses semulajadi. Justeru, penggunaannya amat perlu dihindari.

Kita seharusnya memikirkan tentang bumi kita. Tatkala ini, semakin banyak kejadian-kejadian bencana alam berlaku. Ia sebenarnya adalah hasil bahana yang kita sendiri cipta. Penebangan begitu banyak pokok menjadikan dunia semakin panas dan akibatnya ais di kutub mula mencair dan menenggelamkan beberapa kawasan dan sekiranya berterusan beberapa kawasan rendah akan terus tenggelam termasuk Klang! Ia juga menjadikan beberapa negara mengalami kesejukan luar biasa manakala di sesetengah negara kepanasan yang melampau. Iklim dunia sudah semakin bercelaru akibat tangan-tangan manusia.

Sebab itu sebolehnya saya cuba menerapkan kitar semula dari rumah. Dari rumah lagi, saya sudah cuba mengasingkan tin, botol plastik, kertas dan sampah lain agar mudah dikitar semula. Biasanya saya kumpul tin dan beri kepada Mak Cik Cleaner untuk mereka jual dan dapat sedikit wang. Begitu juga dengan akhbar. Semuanya perlu bermula dari rumah tetapi berapa ramai yang masih leka. Kita perlu serius dalam hal ini. Saya juga difahamkan bahawa ada satu rang undang-undang yang sedang digubal untuk memastikan isi rumah di negara kita melakukan pengasingan bahan buangan untuk memudahkan proses kitar semula. Sekiranya tidak dilakukan, denda akan dikenakan. Jika benar ada cadangan sebegitu, saya menyokong penuh cadangan tersebut.

Kehijauan bumi kita sudah semakin pudar. Kesegaran alam juga sudah semakin hilang. Apakah kita mahu hidup dalam dunia yang serba tercemar dan akhirnya memberi kesan kepada kesihatan kita? Kita harus memulakan kesedaran untuk menyelamatkan alam sekitar kita dengan segera. Mulakan di rumah walaupun pada kuantiti yang sedikit. Kita mampu mengubahnya !

Advertisements