‘Kepemimpinan tertinggi FAM harus sedia korban jawatan mereka’

14 09 2015

‘Kepemimpinan tertinggi FAM harus sedia korban jawatan mereka’

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

mhafis@hmetro.com.my

FAM

Kekalahan teruk skuad Harimau Malaya 0-10 di tangan Emiriah Arab Bersatu (UAE) minggu lalu menjadi kemuncak kepada rasa kecewa dan marah penyokong bola sepak susulan kemerosotan prestasi skuad kebangsaan selain turut mendesak barisan kepemimpinan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) meletak jawatan.

Bagaimanapun, tindakan kumpulan terbabit yang menjadi penyebab kekecohan ketika aksi menentang Arab Saudi di Stadium Shah Alam, Selangor, baru-baru ini membuatkan FAM berkemungkinan berdepan hukuman Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Keadaan kecoh dengan stadium dipenuhi asap akibat balingan suar disebabkan penyokong kecewa dengan aksi longlai skuad negara sedangkan mereka berkorban wang ringgit dan tenaga bagi menyatakan sokongan, namun hasilnya menghampakan.

Kafe Ahad mendapatkan pandangan Setiausaha Kelab Penyokong Hijau Kuning (HKC) Saiful Azrul Che Lah berhubung isu berkenaan.

Tanpa penyokong sebuah pasukan bola sepak tidak akan ke mana. Kenyataan ini betul atau tidak?

Penyokong adalah elemen terpenting bagi membangkitkan suasana dan semangat pasukan. Tanpa penyokong sudah pasti suasana hambar kerana tenaga yang dijana penyokong mampu menyemarakkan kekuatan pasukan secara tidak langsung.

Pasukan yang tiada penyokong tidak akan ke mana. Tidak keterlaluan dikatakan penyokong adalah antara tonggak kepada kekuatan sesebuah pasukan.

Jika kita lihat pada perlawanan yang diadakan tanpa kehadiran penyokong, akibat hukuman dan sebagainya, ia seolah-olah tidak berjiwa, malah pemain seolah-olah longlai untuk beraksi.

Pasukan bola sepak yang kuat perlukan pasukan penyokong yang juga kuat?

Oleh kerana tenaga yang dijana penyokong maka sudah pasti akan memberi kesan dari segi spiritual pemain untuk lebih bersemangat apabila beraksi.

Ini sememangnya akan membantu pasukan meningkatkan prestasi. Ia boleh dilihat pada pasukan yang mantap persembahannya yang mana sokongan padu penyokong menjadi tulang belakang terpenting.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, penyokong pasukan bola sepak negeri serta kebangsaan mula menyerupai ciri-ciri ‘hooligan’ atau samseng bola sepak. Mengapa ia berlaku?

Pada pandangan saya, sebenarnya sebahagian besar penyokong mempunyai perasaan amat sayangkan industri bola sepak negara.

Malangnya dengan prestasi pasukan yang menjunam serta pengurusan bola sepak yang tidak mencapai tahap sepatutnya, penyokong berasa amat kecewa kerana mereka sudah banyak berkorban dari segi wang ringgit dan tenaga bagi menzahirkan sokongan tidak berbelah bagi.

Justeru, apa yang berlaku (kekecohan di Stadium Shah Alam) adalah manifestasi daripada rasa kekecewaan mereka yang teramat sangat. Penyokong mengharapkan sesuatu yang lebih baik, tetapi industri bola sepak negara menuju ke arah yang lebih buruk.

FAM seharusnya ingat bahawa bola sepak juga adalah satu bentuk hiburan kepada rakyat. Oleh itu, FAM perlu melihat penyokong sebagai satu aset berharga.

Jika dihargai serta diberi peluang untuk berinteraksi, pasti penyokong dapat menunjukkan sokongan padu kepada FAM.

Pada masa sama, memang ada segelintir penyokong yang agak ekstrem, namun ia tidak menggambarkan sikap keseluruhan penyokong sesebuah pasukan.

Ini kerana penyokong mempunyai hak untuk bersuara dan mereka perlu diberi perhatian kerana mereka antara tonggak kejayaan bola sepak Malaysia.

Bagaimana pula dengan peranan FAM dalam memajukan bola sepak negara. Sejak puluhan tahun lalu, ranking pasukan negara semakin menurun. Adakah kepemimpinan perlu letak jawatan serta-merta bagi memudahkan pengganti bekerja. Komen saudara?

Rombakan yang menyeluruh amat perlu di dalam FAM ketika ini, apabila kegagalan ditempa, ternyata kita perlukan ‘darah’ baru yang lebih segar untuk mengembalikan martabat bola sepak negara.

Untuk mengubah FAM, ia perlu bermula daripada peringkat yang lebih bawah iaitu daripada ahli gabungan FAM itu sendiri.

Bagi saya, bukan saja Presiden FAM perlu mengundurkan diri, tetapi juga kepemimpinan tertinggi FAM yang lain kerana mereka gagal menyediakan material yang diperlukan bagi mendokong Presiden FAM.

Setiap kali pasukan kebangsaan kalah, FAM akan beri pelbagai alasan menyebabkan penyokong berang, alasan diberikan pula lebih kepada mahu menutup kelemahan pengurusan FAM?

FAM mungkin tidak sedar kesilapan mereka. Adalah penting bagi mereka mendengar pandangan lain agar mereka dapat menyedari kelemahan yang ada.

FAM perlu lebih terbuka terhadap sebarang pandangan biarpun pahit untuk ditelan kerana mereka seharusnya perlu lebih memikirkan kepada kepentingan bola sepak negara secara keseluruhannya.

Pada masa sama, mereka perlu ketepikan penumpang di dalam FAM terutama pihak yang hanya mahukan publisiti dan nama tanpa memberi sumbangan kepada bola sepak negara.

Akibat daripada itu, penyokong yang berang mula bertindak liar. Secara spesifik, apa sebenarnya yang dimahukan penyokong daripada pihak atasan?

Penyokong mahukan perubahan. Perubahan ke arah kebaikan bola sepak negara kerana penyokong sudah tidak sanggup menanggung malu dengan prestasi bola sepak negara.

Bayangkan pekerja negara lain seperti Bangladesh dan Indonesia di pejabat pun boleh tersenyum sinis terhadap prestasi bola sepak negara.

Kini, penyokong umpama bermusuh dengan sebuah persatuan bola sepak manakala persatuan bola sepak pula melihat segelintir penyokong sebagai menyusahkan. Apa boleh dilakukan untuk mengatasi isu ini?

Penyokong tidak bermusuh dengan persatuan bola sepak. Penyokong mahukan yang terbaik. Sekiranya segala usaha dilakukan secara betul, maka penyokong akan memberi segala kerjasama yang diperlukan.

Namun, apabila persatuan sendiri gagal memainkan peranan secara berkesan, penyokong akan mula bersuara dan suara itu akan dilihat sebagai ancaman kepada persatuan dan akhirnya penyokong dilihat umpama musuh.

Untuk mengatasi isu ini, persatuan harus bijak mengendalikan penyokong dengan mewujudkan aktiviti ramah mesra bersama penyokong. Persatuan juga boleh mengiktiraf penyokong dengan memberi apa-apa anugerah kepada penyokong agar mereka rasa dihargai.

Adakah wajar suar serta mercun dibaling ke tengah padang ketika perlawanan berlangsung semata-mata kerana rasa tidak puas hati?

Perkara pokok yang harus ditekankan ialah soal keselamatan. Di padang terdapat pemain, pegawai perlawanan, pengutip bola, wartawan, pasukan perubatan dan juga pasukan keselamatan.

Sekiranya mercun serta suar dibaling ke padang, ia akan menggugat keselamatan mereka. Di bahagian penonton juga terdapat ramai wanita dan kanak-kanak, sudah tentu ia akan menakutkan mereka dan menjadikan stadium sebagai tempat yang tidak selamat untuk mereka.

Jangan lupa, ada juga insan yang tidak bersalah menjadi mangsa dan pernah juga penyokong sendiri buta akibat terkena mercun yang disasarkan ke dalam padang tetapi tersalah sasaran.

Sebenarnya kita boleh protes terhadap sesuatu kepincangan tetapi dalam masa yang sama faktor keselamatan mesti diutamakan dan mereka yang tidak bersalah menjadi mangsa keadaan.

Bagaimana mahu menjaga atau mengawal kelakuan ahli kelab penyokong?

Ia memerlukan perubahan paradigma mentaliti penyokong dan untuk merealisasikan kesemua ini kerana ia perlu kepada komitmen semua pihak terutamanya proses mendidik penyokong.

Contoh baik haruslah diviralkan dan dihargai seperti usaha penyokong Johor Darul Ta’zim (JDT) membersihkan stadium selepas perlawanan.

Penyokong mengharapkan pemain dan pentadbir bola sepak bersikap profesional, maka penyokong juga seharusnya bersikap profesional.

Ini penting sebagai pemangkin kepada survival bola sepak Malaysia. Kerjasama antara kelab penyokong juga penting bagi mengekang anasir negatif seperti kerjasama kelab penyokong maya negeri tahun lalu yang menganjurkan Kempen Membanteras Samseng Bola Sepak.

Bagaimana, pihak saudara mahu melihat perkembangan bola sepak Malaysia yang terkini membabitkan pasukan serta pengurusan FAM?

Perkembangan semasa bola sepak negara nyata memerlukan tindakan pantas semua pihak. FAM perlu dirombak sepenuhnya dan kita sebenarnya mempunyai ramai pakar yang mampu memulihkan industri bola sepak negara.

Dengan sokongan semua pihak terutama kerajaan (dalam ruang lingkup tertentu), ahli akademik, golongan profesional, bekas pemain dan penyokong, kita mampu melakukan perubahan dengan pantas ditambah pula turut mempunyai infrastruktur berkelas dunia.

Amat memalukan apabila negara mundur seperti Bhutan dan Timor Leste memiliki ranking lebih tinggi berbanding Malaysia. Begitu juga dengan negara bergolak seperti Iraq, Palestin dan Syria.

Pokok pangkalnya kini, kepemimpinan tertinggi FAM seharusnya bersedia mengorbankan jawatan mereka untuk memberi laluan kepada muka baru yang lebih segar dan mempunyai lebih banyak idea untuk memulihkan bola sepak negara.

sumber: http://www.hmetro.com.my/node/77188 (14/09/2015)

Advertisements




Halatuju Bolasepak Negara

30 12 2010

Saya jarang menulis bab bola dalam Diari saya ini tetapi akibat terlalu teruja, saya rasa nak mencoret sedikit sebanyak di sini. Biasanya saya tulis/komen bab bola hanya di HKC.

Tahniah dan Syabas diucapkan kepada skuad negara kerana pertama kalinya menjuarai Piala Suzuki AFF.

Tahun 2007 ketika berkursus di Singapura, Pasukan Singapura berjaya menjuarai Piala AFF (Waktu tu Piala Tiger AFF) menewaskan Thailand. Gol  pasukan Singapura di Thailand oleh Khairil diulang-ulang setiap masa di kaca TV Singapura. Dalam akhbar pula diceritakan hampir setiap perkara yang bersangkut paut dengan bolasepak hingga ada pemain menggunakan seluar dalam yang tidak dibasuh kerana percaya ia membawa tuah pun diceritakan. Pendek kata, semuanya pasal bola.

Ketika itu, saya terasa betapa lamanya kita akan menanti saat sedemikian. Amat merindui kegemilangan bolasepak negara dan juga kehangatan sambutan peminat seperti sehingga awal 90-an. Ketika itu, bolasepak negara mendapat sambutan hangat di seluruh negara. Apabila gejala rasuah melanda, saya dapat lihat peralihan sokongan peminat bolasepak negara. Ramai yang merasakan tertipu hidup-hidup akibat rasuah. Penggantungan ramai pemain berbakat besar hampir melumpuhkan bolasepak negara.

Ayah saya contohnya, terus melupakan bolasepak tempatan dan hanya menumpukan kepada bolasepak Piala Dunia. Saya lihat trend yang sama berlaku kepada individu yang lain. Dalam hati saya, ia merupakan suatu saat yang cukup mendukacitakan tetapi saya terus mengikuti perkembangan bolasepak tempatan walaupun ketika itu FAM tampak semakin hilang punca.

Kedah pula ketika itu ibarat yo yo. Sekejap naik sekejap turun dan akhirnya terjerumus hingga ke Divisyen dua dan nyaris jatuh ke peringkat Piala FAM. Tetapi semangat bola saya terhadap bolasepak tempatan ketika itu tetap tinggi dan pada 2001, HKC mula aktif untuk kembali menghangatkan bolasepak tempatan khususnya di Kedah. Saya terus bersama HKC sehinggalah Kedah kembali bangkit hingga kemuncaknya mengecap kegemilangan Double Treble.

Namun pada masa yang sama, saya tetap mengharapkan kebangkitan skuad negara sehinggalah ia diambil alih oleh Coach K. Rajagopal. Saya mengikuti perkembangan K. Ragopal dengan penuh minat setelah beliau mengambil alih pasukan remaja kebangsaan setelah Joven Pereira dibuang oleh FAM. Saya melihat progres pasukan remaja ketika itu cukup memberangsangkan.

Pada saya, Rajagopal adalah seorang jurulatih yang pintar berfikir dan amat mementingkan disiplin serta bijak memotivasikan pemain. Pengalaman saya bertemu beliau banyak menguatkan kekaguman saya terhadap beliau. Namun harus diakui dengan situasi FAM yang agak pincang, tugas beliau amat sukar tetapi beliau mampu menjelmakan kejayaan buat negara. Tahun lepas setelah 20 tahun menanti, kita berjaya membawa pulang pingat Emas sukan SEA. Suatu kejayaan yang amat besar.

Di Sukan Asia, walaupun kita berdepan dengan pelbagai rintangan serta kontroversi pengadilan, semangat juang anak didik K. Rajagopal harus dipuji dan apabila Piala Suzuki AFF bermula di Jakarta, kita dibelasah 5-1 oleh Indonesia. Apa yang terjadi ketika itu ialah skuad negara dihentam teruk akibat kekalahan tersebut. Di HKC, saya menegaskan kekalahan tersebut langsung tidak menjejaskan kekaguman saya terhadap K. Rajagopal. Cuma kesilapan menurunkan penjaga gol (Bukan bermakna penjaga gol tersebut tidak bagus tetapi setelah lama cedera, tiba-tiba didedahkan dengan perlawanan kompetitif memang berisiko tinggi sedangkan ketika itu prestasi Khairul Fahmi memuncak) dan kesilapan individu menyebabkan kita dibelasah. Rajagopal menyedari kesilapan itu dan memperbaikinya dan seterusnya kita berjaya melayakkan diri ke peringkat separuh akhir.

Ketika itu masih ramai yang pesimis dengan skuad negara. Bagi yang memahami, sudah pasti ia merupakan suatu pencapaian yang harus dibanggakan kerana skuad ini ketika itu adalah boleh dikatakan skuad kedua kerana ramai pemain regular cedera. Pemain negara terus meningkatkan prestasi sehingga pencapaian menundukkan Indonesia di Stadium Nasional Bukit Jalil menyedarkan ramai antara kita yang skuad ini mampu pergi jauh.

Ketika itu barulah aura bolasepak kita kembali terasa. Cukup mengujakan bagi peminat-peminat bolasepak yang sentiasa mengikuti perkembangan bolasepak tempatan, maklumlah walaupun ramai peminat bolasepak di Malaysia tetapi depa lebih meminati BPL dan Liga luar.

Akhirnya, malam tadi sejarah tercipta dan keterujaan semua terhadap bolasepak tempatan memuncak. Saya walaupun bukan pemain atau jurulatih menerima banyak ucapan Tahniah. Cukup menggembirakan apatah lagi diisytiharkan Jumaat 31 Disember 2010 sebagai cuti umum sempena kejayaan tersebut. Hari ini ketika saya hendak mencari suratkhabar, saya terpaksa meredah 15 kedai barulah dapat naskhah yang saya ingini. Penjual-penjual akhbar cukup gembira kerana, hari ini akhbar laris di pasaran penangan bolasepak negara.

Cuma saya hendak simpulkan agar kita semua jangan terlalu ghairah meskipun ia detik yang sudah terlalu lama kita nantikan. Kalau memuji tinggi melangit kita bimbang ia membawa rebah. Bagi pemain, anda berhak terima ganjaran tetapi usah lupa diri. Usah leka dengan pujian hingga akhirnya memakan diri . Bagi peminat pula, teruskan menyokong pasukan negara! Jangan hanya di saat kegemilangan sahaja di belakang pasukan tetapi apabila tewas segunung kejian dan makian menjadi rencah. Berdirilah di atas kenyataan yang kita masih jauh ketinggalan dan tetap memerlukan sokongan anda. Bagi pihak media pula, teruskan memberi liputan meluas kepada bolasepak negara.

K. Rajagopal meminta tempoh empat tahun untuk menakluki Asia. Saya percaya, sekiranya perancangan beliau berjalan lancar, kita mampu menggapai impian tersebut tetapi FAM seharusnya berfikir lebih jauh. Untuk peringkat Asia dalam masa terdekat, mungkin kita boleh mencapainya namun untuk mencapai kelas dunia, ia amat memerlukan pembangunan di peringkat akar umbi. Faktor saiz cukup penting dan untuk merealisasikannya, ia memerlukan dimulakan dari peringkat kecil lagi. Justeru FAM menyedarinya dan mula bertindak dengan lebih serius.

FAM juga memerlukan perubahan sikap di kalangan pegawai atasan. Ketika Majlis Anugerah Bolasepak Negara 100 Plus FAM baru-baru ini, saya mengikuti dengan penuh minat ucapan Tan Sri Annuar Musa tentang transformasi yang beliau idamkan dalam FAM. Beliau menceritakan tentang bagaimana transformasi dalam pasukan Kelantan berjaya dilaksanakan. Ketika itu juga, saya teringatkan tentang Arwah Dato’ Paduka Ahmad Basri Akil, insan yang sarat dengan idea bernas tentang bolasepak. Malangnya dek kerana sebab kelantangan beliau, beliau disisihkan dan segala idea beliau diketepikan. Saya harap situasi yang sama tidak berlaku kepada Tan Sri Annuar Musa demi kebaikan bolasepak negara.

Jangan rugikan bolasepak negara hanya kerana dendam peribadi. FAM harus berubah dan gunakan momentum yang wujud ini sebaik mungkin. Wujudkan Pelan Induk bolasepak negara dan ketepikan kerenah-kerenah birokrasi yang wujud. Bolasepak adalah satu industri yang cukup besar dan jangan persiakannya!