Chot… Engkau Pergi Dahulu

16 02 2013

Sebak untuk saya kenangkan…

Chot

Perginya seorang rakan pada 13 Februari 2013 cukup memberi kesan kepada hati ini. Seorang sahabat yang cukup disenangi ramai dan sentiasa menceriakan keadaan iaitu Mahadzir Haji Azmi yang saya lebih mesra dengan gelaran Chot.

Sejak awal perkenalan saya dengannya menerusi Kelab Penyokong Hijaukuning (HKC), Chot cukup mesra dengan saya apatah lagi saiz badan kami lebih kurang sama sehingga kami membentuk satu pasukan futsal American Football.

Chot12

Sebagai salah seorang penyokong tegar Kedah, Chot banyak membantu saya menggerakkan HKC. Dari segi sokongan, konvoi, pasukan drum, futsal, bolasepak padang dan sebagainya sudah cukup menceritakan betapa komitednya beliau.

Pemergian beliau agak mengejutkan kerana tiada apa-apa amaran penyakit yang dihadapi. Setelah demam lebih kurang seminggu, beliau lebih awal dijemput meninggalkan dunia yang fana ini.

[nggallery id=6]

Apabila ada sebarang aktiviti HKC, saya biasanya akan bawa anak sulung saya Syasya Hana. Syasya memang selalu Chot dukung dan layan dengan cukup mesra. Apabila saya habaq kepada Syasya yang Uncle Chot dah meninggal, Syasya terus menangis hinggakan dia berkeras untuk mengikut saya menatap Arwah Chot buat kali terakhir di rumah mertuanya di Kampung Jiboi, Negeri Sembilan walaupun sehingga tengah malam. Syasya menangis dalam kereta dan bertanya saya mengapa Uncle Chot meninggal dunia awal? Sukar saya nak jawab dalam keadaan beremosi ketika itu apatah lagi dalam kepala sarat dengan kenangan manis pahit bersama arwah. Sukar nak digambarkan perasaan sebenar dalam diri ini ketika itu.

withchot

Salah satu kenangan bersama Chot

Chot… Damailah engkau di sana. Doaku akan sentiasa mengiringimu. Yang pasti semua tetap akan ke sana cuma masanya berbeza. Allah lebih menyayangimu. Engkau pergi dengan memori indah dan amal baik dengan semua sahabat. Pemergian yang cukup mengejutkan semua, namun semuanya adalah ketentuan Allah. Redha dengan segalanya…

Al-Fatihah…

Advertisements




Belasungkawa: Azizi Haji Abdullah – Al-Fatihah…

21 08 2011

Tatkala menerima berita sedih ini, saya berada di sebuah Pusat Membeli Belah. Saya agak terganggu dengan berita pemergian Azizi Haji Abdullah. Maknanya tiada lagi satira politik yang tajam yang dapat saya baca dari sisi penglihatan beliau. Blog beliau yang saya letakkan sebagai salah satu pilihan saya, akan terus sunyi dan sepi.

Baca tulisan saya sebelum ini mengenai arwah…. Sama-sama Doakan Kesihatan Azizi Haji Abdullah dan Sasterawan Sejati.

Salah satu yang membuatkan saya begitu ternanti-nanti karyanya ialah beliau bijak menggambarkan suasana kampung yang kebetulan saya senegeri dengan beliau. Keindahan suasana di kedah digambarkan dengan cukup mengasyikkan membuatkan rindu saya terhadap kampung terubat apabila membaca karyanya. Keindahan Gunung Jerai, kehijauan sawah padi, kepelbagaian unggas menambah perisa terhadap coretan yang beliau nukilkan. Cukup menyentuh kalbu.

Di samping itu karya satira politik beliau cukup tajam dan menikam. Cukup menarik!

Tapi kini segalanya sudah tiada. Allah Maha Mengetahui. Sudah tiba masanya untuk beliau pergi. Mudah-mudahan rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang orang yang beriman dan beramal soleh.

Terasa sayu apabila kembali menjenguk blog beliau… Blog Azizi Haji Abdullah.

Akan saya ingat SMS yang pernah beliau kirimkan kepada saya, “Baca dengan kritis!”

Al-Fatihah…