Salam Maulidur Rasul

12 12 2016

 

ASSALAMUALAIKUM ..
_ISNIN 12 Disember 2016_

Malam tadi, ketika minum kopi, ☕ saya merasa sedikit pahit..😖 Namun tetap juga la saya minum..

Dan pada ketika air kopi tinggal suku, baru la saya perasan, saya lupa kacau kopi dan susunya.. 😅

Apabila saya kacau, kopi yang tinggal suku itu, terasa sangat manis pula.. 😫 Terlalu manis sehingga tidak mampu saya telan..

Agaknya itu la resam hidup.. Ada kalanya kita lupa, yang ‘manis’ itu ada di dasar.. Perlu dicari.. Dan kiranya kita malas mencari, maka hanya pahit la yang dapat kita nikmati..

Ada waktunya juga, pada ketika teringat berkenaan ‘manis’ itu, segalanya sudah terlewat..

Mujur la, Allah sudah membantu ‘membancuh’ hidup kita antara yang pahit dan manis.. Kerana hidup pasti kurang maknanya kiranya hanya berkenaan yang pahit-pahit saja.. Atau yang manis-manis saja..

Makanya, hirup la hidup dengan senyuman, 😃 dan tak perlu hiraukan sangat apa orang nak kata dan umpat belakang kita..😷 Sebab memang kita manusia tidak-lari dari ketidaksempurnaan !! 😜

Ucap la syukur Alhamdulillah untuk satu lagi peluang kita menghirup udara di bumi Allah swt

Salam Sejahtera…
Salam perjuangan..
Salam kasih sayang..

Selamat menyambut Maulidurasul

 

 

Nota: Ini bukan karya saya. Diterima menerusi group whatsapp

 

 

Advertisements




Fitnah Siber: Teliti Dahulu Sumber

5 12 2016

Allah S.W.T. berfirman yang maksudnya: “Wahai orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa berita, maka selidikilah (untuk menentukan kebenarannya) supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menyebabkan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.” (Q.S. al-Hujurat: 6)

 

Saya sering terganggu dengan pelbagai fitnah siber yang cukup menggila ketika ini. Masyarakat pula mudah percaya dan akibatnya berangkai. Hilangnya keharmornian adalah salah satu padah yang harus ditanggung sehinggakan masyarakat berpecah belah.

Dengan sedikit ilmu IT yang saya ada, saya ingin mengajarkan beberapa tips untuk kita teliti dahulu sumber sebelum kita dapat sahihkan apa yang kita baca.

 

PERTAMA

Guna aplikasi Googles Goggles yang dibangunkan oleh Google.

2016-11-29-19-30-52

Aplikasi ini, memberi kita pilihan untuk mengimbas imej yang kita lihat dan ia akan memaparkan sumber asal imej itu. Jadi kita boleh lihat sama ada ia benar atau palsu. Cuma aplikasi ini sudah lama tidak dikemaskini oleh pembangunnya. Mungkin ada masalah sehingga perkembangan aplikasi ini terhenti setakat itu sahaja.

 

KEDUA

Kedua adalah menerusi IMAGE SEARCH tak kiralah menerusi enjin carian apa pun. Dalam kes ini, saya pamerkan contoh Google Image Search.

Saya berikan satu contoh yang viral baru baru ini… Lihat imej di bawah:-

2016-11-29-19-33-46

Sekali imbas, memang nampak membangkitkan semangat umat Islam untuk menentang Regim Myanmar tetapi penggunaan grafik yang salah. Ia memberi banyak gambaran bercampur jika grafik salah digunakan kerana apa yang saya dapati dalam banyak isu, grafik yang digunakan disalah guna dari kejadian lain untuk membentuk tanggapan lain. Dalam hal ini, kita kena bijak dan bersifat kritis dalam menganalisis sesuatu isu.

Saya berikan cara untuk menyemak asal imej yang digunakan. Rujuk langkah di bawah:-

2016-11-29-19-38-06

Buka laman Google Image search (https://images.google.com). Bagi pengguna mobile pastikan ditukar kepada desktop mode.

 

2016-11-29-19-40-28

 

Letakkan URL imej yang kita baca atau pun muat naik imej yang kita ingin semak asalnya.

 

2016-11-29-19-44-15

2016-11-29-19-46-55Dalam kes ini, kita boleh lihat bahawa imej yang dimaksudkan sudah berada dalam dunia maya sejak tahun 2008 lagi! Bukannya ketika status dikemaskini oleh pemilik FB di atas (2016) yang mendakwa peperangan di Myanmar tetapi ia merujuk kepada Moro Islamic Liberation Front (MILF). Ternyata ia disalah guna. Ada juga ia dimuatkan dalam forum sejak 2008 lagi. Jadi kita hendaklah bijak meneliti sumber agar tidak berlaku fitnah.

 

Dalam contoh saya ini, saya cuma menunjukkan satu sisi di mana kita boleh lihat bagaimana penyalahgunaan maklumat dilakukan. Banyak dalam media sosial hari ini, kita dapat lihat fitnah fitnah yang tersebar. Ia menuntut kita untuk berfikir secara kritis agar kita tidak terpengaruh dengan perang saraf yang dilakukan. Juga untuk kita tidak sewenang wenangnya menyebarkan fitnah yang kesannya akan berangkai dalam dunia IT kini.

 

Saya berharap, dengan sedikit tips yang dapat saya berikan ini, dapat membantu kita semua untuk sama sama memastikan setiap info yang kita dapat adalah sahih sebelum kita mengambil tindakan lanjut. Sememamngnya dalam dunia masa kini, kita berhadapan dengan bermacam cabaran terutamanya kecelaruan maklumat yang amat mudah dikutip di hujung jari. Kita sendiri harus bertindak bijak dan tidak mudah dipengaruhi emosi agar tidak terjadi perkara perkara yang tidak baik.

Untuk Umat Islam, seperti yang diajarkan ulama, amalkanlah Nabi saw bersabda :”Barangsiapa yang menghafaz 1-10 ayat dari surah Al-Kahfi di pelihara dan di selamatkannya dari Fitnah Dajjal”. (Diriwayatkan oleh Ahmad dan Muslim, An-Nasaie)

Wallahua’lam

 

 





Rohingya: Kelemahan Umah Akhir Zaman

19 11 2016

Saya teringat bait bait lagu Jep Sepahtu

Selamat Malam Rohingya

Terkedu saya dibuatnya. Saya harus akui, betapa lemahnya iman saya menghadapi isu ini. Tak mampu nak bertindak secara berkesan sedangkan saudara seagama di sana berperang dengan kezaliman yang dahsyat. Suluruh dunia seolah olah mengabaikannya. Tak tergamak untuk saya letakkan gambar gambar kezaliman dalam ini…

Hormat saya pada Tokoh Keamanan Aung San Suu Kyi musnah!

Tokoh Buddha, Dalai Lama pun menggesa agar Aung San Suu Kyi memainkan peranan agar meredakan semula pertelingkahan ini (Rujuk SINI). 

Beliau sepatutnya menggunakan pengaruh beliau setelah mengambil alih pemerintahan Myanmar. Tentera Burma dikerah pula menghujani peluru dan bom. Aduh sadisnya. Tokoh Keamanan apakah ini? Tarik baliklah pengiktirafan itu!

Kini, Rohingya diasak lagi (Rujuk SINI).

Saya tak mahu persoalkan apa yang pemimpin Islam seluruh dunia lakukan tetapi saya mahu soal apa yang kita sudah lakukan untuk saudara kita di sana. Saya harus akui, betapa lemahnya kita. Amat menyedihkan. Moga syurga buatmu saudaraku.

Sedang dalam kekacauan ini, jelaslah betapa lemahnya Umah di Akhir Zaman. Astagfirullahalazim

SELAMAT MALAM ROHINGYA

Selamat malam Rohingya
Meski lena mu di sisi mayat
Jangan menangis sahabat
Ini Tuhan mengujimu

Selamat malam Rohingya
Dunia sedang tidur lena
Kami doakan untuk mu
Sejahteralah selalu

Selamat malam Rohingya
Meski lena mu di sisi mayat
Jangan menangis sahabat
Ini Tuhan mengujimu

Selamat malam Rohingya
Dunia sedang tidur lena
Kami doakan untuk mu
Sejahteralah selalu

Selamat malam Rohingya
Esok kan ada matahari
Berbanyaklah berdoa
Jangan kau terlepas talinya

Selamat malam Rohingya
Meski lena mu di sisi mayat
Jangan menangis sahabat
Ini Tuhan mengujimu

 





PROFESSIONAL DIURUSKAN OLEH BUKAN PROFESSIONAL

9 05 2016

Kemaskini:- Artikel ini telah tersiar dalam Berita Minggu, 08 Mei 2016

ProfesionalKFA

Menelusuri perjalanan bolasepak negara, sudah pasti membuatkan peminat bolasepak kita berasa sedih dan pilu mengenangkan apa kah nasib seterusnya. Infrstruktur berkelas dunia tetapi pencapaian yang digapai lebih teruk daripada pencapaian negara yang dilanda peperangan serta mundur.

Harus diakui kita menghadapi masalah sistem. Sistem yang ada seharusnya dirombak. Ia harus bermula daripada persatuan bolasepak terutamanya di peringkat bawahan lagi. Namun bagaimana ia akan terlaksana jika pemegang pemegang jawatan dalam persatuan bolasepak ini bukan golongan professional? Sudah pasti akan kelam kabut seperti apa yang kita saksikan kini hingga keluar lah ungkapan “Professional diuruskan oleh bukan professional”.

Ketika liga semi pro diperkenalkan pada tahun 1989, kita bersedia untk mempersiapkan pemain pemain bolasepak kita ke alam professional dan akhirnya pada tahun 1994 pemain pemain kita sudah bergelar pemain professional. Tetapi sedarkah kita bahawa, pemegang tampuk bolasepak masih lagi bukan professional?

Apabila bukan professional menjadi pentadbir bolasepak kita, apa yang boleh kita harapkan? Saya beri contoh. Seorang pentadbir yang juga seorang ahli politik yang juga memegang jawatan dalam pentadbiran negeri. Tugas hakikinya adalah bekerja untuk mentadbir negeri, kemudian turun padang dan aktiviti kebajikan lain. Selepas semua itu selesai, barulah mereka menjenguk hal ehwal bolasepak. Dengan masa yang begitu terhad, bagaimana mereka hendak memikirkan hala tuju bolasepak dengan lebih mendalam? Mereka juga adalah pemutus keputusan dan untuk menanti mereka membuat keputusan juga kadang kala mengambil masa yang lama apatah lagi jika mereka terlibat dalam kempen pilihanraya. Semua ini sudah semestinya amat mengganggu urus tadbir persatuan pada ketika keputusan yang segera harus dilakukan.

Sebab itu jugalah, kebanyakan persatuan bolasepak masih lagi berada di takuk lama dan masih terkial kial untuk memikirkan soal kelangsungan survival bolasepak terutamanya dari segi kewangan. Model pengurusan yang tidak sistematik masih diamalkan. Istilah seperti Indeks Petunjuk Prestasi dalam persatuan bolasepak cukup jauh dari kamus mereka dan jika ada pun sekadar hiasan semata mata.

Apabila rancangan Penswastaan Liga Malaysia dicadangkan, ia mendapat sokongan ramai yang berharap senario yang berlaku dapat diperbaiki kerana ia bakal menguji kelab yang bertanding dari pelbagai aspek terutamanya dari segi kelangsungan kelab. Kelab seharusnya berdiri di atas kaki sendiri tanpa lagi bermanja dengan kerajaan negeri dan perlu beroperasi mengikut lunas korporat yang kompetitif. Justeru amalan tadbir urus lapuk persatuan bolasepak sebelum ini akan dinyahkan.

Namun, apakah ia bakal menjadi realiti apabila menyaksikan hanya JDT sahaja yang sudah mencapai pelesenan Kelab AFC di Malaysia? Apa kah penswastaan Liga Malaysia ini masih jauh dari nyata? Jika ia tidak dapat direalisasikan, kita akan berterusan menyaksikan bukan professional mengurus professional sekaligus akan menyebabkan bolasepak kita tidak ke mana.

 

SAIFUL AZRUL CHE LAH
Setiausaha
Kelab Penyokong Hijau Kuning
http://www.hijaukuning.com





‘Kepemimpinan tertinggi FAM harus sedia korban jawatan mereka’

14 09 2015

‘Kepemimpinan tertinggi FAM harus sedia korban jawatan mereka’

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

mhafis@hmetro.com.my

FAM

Kekalahan teruk skuad Harimau Malaya 0-10 di tangan Emiriah Arab Bersatu (UAE) minggu lalu menjadi kemuncak kepada rasa kecewa dan marah penyokong bola sepak susulan kemerosotan prestasi skuad kebangsaan selain turut mendesak barisan kepemimpinan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) meletak jawatan.

Bagaimanapun, tindakan kumpulan terbabit yang menjadi penyebab kekecohan ketika aksi menentang Arab Saudi di Stadium Shah Alam, Selangor, baru-baru ini membuatkan FAM berkemungkinan berdepan hukuman Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Keadaan kecoh dengan stadium dipenuhi asap akibat balingan suar disebabkan penyokong kecewa dengan aksi longlai skuad negara sedangkan mereka berkorban wang ringgit dan tenaga bagi menyatakan sokongan, namun hasilnya menghampakan.

Kafe Ahad mendapatkan pandangan Setiausaha Kelab Penyokong Hijau Kuning (HKC) Saiful Azrul Che Lah berhubung isu berkenaan.

Tanpa penyokong sebuah pasukan bola sepak tidak akan ke mana. Kenyataan ini betul atau tidak?

Penyokong adalah elemen terpenting bagi membangkitkan suasana dan semangat pasukan. Tanpa penyokong sudah pasti suasana hambar kerana tenaga yang dijana penyokong mampu menyemarakkan kekuatan pasukan secara tidak langsung.

Pasukan yang tiada penyokong tidak akan ke mana. Tidak keterlaluan dikatakan penyokong adalah antara tonggak kepada kekuatan sesebuah pasukan.

Jika kita lihat pada perlawanan yang diadakan tanpa kehadiran penyokong, akibat hukuman dan sebagainya, ia seolah-olah tidak berjiwa, malah pemain seolah-olah longlai untuk beraksi.

Pasukan bola sepak yang kuat perlukan pasukan penyokong yang juga kuat?

Oleh kerana tenaga yang dijana penyokong maka sudah pasti akan memberi kesan dari segi spiritual pemain untuk lebih bersemangat apabila beraksi.

Ini sememangnya akan membantu pasukan meningkatkan prestasi. Ia boleh dilihat pada pasukan yang mantap persembahannya yang mana sokongan padu penyokong menjadi tulang belakang terpenting.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, penyokong pasukan bola sepak negeri serta kebangsaan mula menyerupai ciri-ciri ‘hooligan’ atau samseng bola sepak. Mengapa ia berlaku?

Pada pandangan saya, sebenarnya sebahagian besar penyokong mempunyai perasaan amat sayangkan industri bola sepak negara.

Malangnya dengan prestasi pasukan yang menjunam serta pengurusan bola sepak yang tidak mencapai tahap sepatutnya, penyokong berasa amat kecewa kerana mereka sudah banyak berkorban dari segi wang ringgit dan tenaga bagi menzahirkan sokongan tidak berbelah bagi.

Justeru, apa yang berlaku (kekecohan di Stadium Shah Alam) adalah manifestasi daripada rasa kekecewaan mereka yang teramat sangat. Penyokong mengharapkan sesuatu yang lebih baik, tetapi industri bola sepak negara menuju ke arah yang lebih buruk.

FAM seharusnya ingat bahawa bola sepak juga adalah satu bentuk hiburan kepada rakyat. Oleh itu, FAM perlu melihat penyokong sebagai satu aset berharga.

Jika dihargai serta diberi peluang untuk berinteraksi, pasti penyokong dapat menunjukkan sokongan padu kepada FAM.

Pada masa sama, memang ada segelintir penyokong yang agak ekstrem, namun ia tidak menggambarkan sikap keseluruhan penyokong sesebuah pasukan.

Ini kerana penyokong mempunyai hak untuk bersuara dan mereka perlu diberi perhatian kerana mereka antara tonggak kejayaan bola sepak Malaysia.

Bagaimana pula dengan peranan FAM dalam memajukan bola sepak negara. Sejak puluhan tahun lalu, ranking pasukan negara semakin menurun. Adakah kepemimpinan perlu letak jawatan serta-merta bagi memudahkan pengganti bekerja. Komen saudara?

Rombakan yang menyeluruh amat perlu di dalam FAM ketika ini, apabila kegagalan ditempa, ternyata kita perlukan ‘darah’ baru yang lebih segar untuk mengembalikan martabat bola sepak negara.

Untuk mengubah FAM, ia perlu bermula daripada peringkat yang lebih bawah iaitu daripada ahli gabungan FAM itu sendiri.

Bagi saya, bukan saja Presiden FAM perlu mengundurkan diri, tetapi juga kepemimpinan tertinggi FAM yang lain kerana mereka gagal menyediakan material yang diperlukan bagi mendokong Presiden FAM.

Setiap kali pasukan kebangsaan kalah, FAM akan beri pelbagai alasan menyebabkan penyokong berang, alasan diberikan pula lebih kepada mahu menutup kelemahan pengurusan FAM?

FAM mungkin tidak sedar kesilapan mereka. Adalah penting bagi mereka mendengar pandangan lain agar mereka dapat menyedari kelemahan yang ada.

FAM perlu lebih terbuka terhadap sebarang pandangan biarpun pahit untuk ditelan kerana mereka seharusnya perlu lebih memikirkan kepada kepentingan bola sepak negara secara keseluruhannya.

Pada masa sama, mereka perlu ketepikan penumpang di dalam FAM terutama pihak yang hanya mahukan publisiti dan nama tanpa memberi sumbangan kepada bola sepak negara.

Akibat daripada itu, penyokong yang berang mula bertindak liar. Secara spesifik, apa sebenarnya yang dimahukan penyokong daripada pihak atasan?

Penyokong mahukan perubahan. Perubahan ke arah kebaikan bola sepak negara kerana penyokong sudah tidak sanggup menanggung malu dengan prestasi bola sepak negara.

Bayangkan pekerja negara lain seperti Bangladesh dan Indonesia di pejabat pun boleh tersenyum sinis terhadap prestasi bola sepak negara.

Kini, penyokong umpama bermusuh dengan sebuah persatuan bola sepak manakala persatuan bola sepak pula melihat segelintir penyokong sebagai menyusahkan. Apa boleh dilakukan untuk mengatasi isu ini?

Penyokong tidak bermusuh dengan persatuan bola sepak. Penyokong mahukan yang terbaik. Sekiranya segala usaha dilakukan secara betul, maka penyokong akan memberi segala kerjasama yang diperlukan.

Namun, apabila persatuan sendiri gagal memainkan peranan secara berkesan, penyokong akan mula bersuara dan suara itu akan dilihat sebagai ancaman kepada persatuan dan akhirnya penyokong dilihat umpama musuh.

Untuk mengatasi isu ini, persatuan harus bijak mengendalikan penyokong dengan mewujudkan aktiviti ramah mesra bersama penyokong. Persatuan juga boleh mengiktiraf penyokong dengan memberi apa-apa anugerah kepada penyokong agar mereka rasa dihargai.

Adakah wajar suar serta mercun dibaling ke tengah padang ketika perlawanan berlangsung semata-mata kerana rasa tidak puas hati?

Perkara pokok yang harus ditekankan ialah soal keselamatan. Di padang terdapat pemain, pegawai perlawanan, pengutip bola, wartawan, pasukan perubatan dan juga pasukan keselamatan.

Sekiranya mercun serta suar dibaling ke padang, ia akan menggugat keselamatan mereka. Di bahagian penonton juga terdapat ramai wanita dan kanak-kanak, sudah tentu ia akan menakutkan mereka dan menjadikan stadium sebagai tempat yang tidak selamat untuk mereka.

Jangan lupa, ada juga insan yang tidak bersalah menjadi mangsa dan pernah juga penyokong sendiri buta akibat terkena mercun yang disasarkan ke dalam padang tetapi tersalah sasaran.

Sebenarnya kita boleh protes terhadap sesuatu kepincangan tetapi dalam masa yang sama faktor keselamatan mesti diutamakan dan mereka yang tidak bersalah menjadi mangsa keadaan.

Bagaimana mahu menjaga atau mengawal kelakuan ahli kelab penyokong?

Ia memerlukan perubahan paradigma mentaliti penyokong dan untuk merealisasikan kesemua ini kerana ia perlu kepada komitmen semua pihak terutamanya proses mendidik penyokong.

Contoh baik haruslah diviralkan dan dihargai seperti usaha penyokong Johor Darul Ta’zim (JDT) membersihkan stadium selepas perlawanan.

Penyokong mengharapkan pemain dan pentadbir bola sepak bersikap profesional, maka penyokong juga seharusnya bersikap profesional.

Ini penting sebagai pemangkin kepada survival bola sepak Malaysia. Kerjasama antara kelab penyokong juga penting bagi mengekang anasir negatif seperti kerjasama kelab penyokong maya negeri tahun lalu yang menganjurkan Kempen Membanteras Samseng Bola Sepak.

Bagaimana, pihak saudara mahu melihat perkembangan bola sepak Malaysia yang terkini membabitkan pasukan serta pengurusan FAM?

Perkembangan semasa bola sepak negara nyata memerlukan tindakan pantas semua pihak. FAM perlu dirombak sepenuhnya dan kita sebenarnya mempunyai ramai pakar yang mampu memulihkan industri bola sepak negara.

Dengan sokongan semua pihak terutama kerajaan (dalam ruang lingkup tertentu), ahli akademik, golongan profesional, bekas pemain dan penyokong, kita mampu melakukan perubahan dengan pantas ditambah pula turut mempunyai infrastruktur berkelas dunia.

Amat memalukan apabila negara mundur seperti Bhutan dan Timor Leste memiliki ranking lebih tinggi berbanding Malaysia. Begitu juga dengan negara bergolak seperti Iraq, Palestin dan Syria.

Pokok pangkalnya kini, kepemimpinan tertinggi FAM seharusnya bersedia mengorbankan jawatan mereka untuk memberi laluan kepada muka baru yang lebih segar dan mempunyai lebih banyak idea untuk memulihkan bola sepak negara.

sumber: http://www.hmetro.com.my/node/77188 (14/09/2015)





Obama Ke Malaysia

27 04 2014

Telah tiba si pengganas ini ke bumi Malaysia dan kita terpaksa tunduk kepada pengganas ini. Memang realiti yang amat menyedihkan.

obamanajibagung041806332604epa

Source: Thestar.com.my

Lawatan Obama ke Malaysia, yang menarik perhatian saya cumalah aspek keselamatan yang mereka praktikkan daripada pelbagai aspek seperti kereta rasmi Obama dan lain lain. Selain itu, ada agenda agenda tersembunyi yang sedang dilaksanakan tanpa ramai yang sedar. Kedatangan beliau bukanlah sesuatu yang dialu-alukan namun akibat terlalu lemah, kita terpaksa meraikannya dengan penuh kemeriahan.

Presidential_limo

Boleh baca tulisan saya mengenai Obama pada 2008 http://www.saifulazrul.net/v1/?p=93





Bergembiralah Israel…. Buat Sementara Waktu

4 07 2013

morsi2

Apabila bangun dari tidur pagi tadi, sesudah solat Subuh, saya melayari Internet dan terpaparlah berita berita kejatuhan Kerajaan Islam Mesir akibat rampasan kuasa pihak tentera. Cukup mengganggu emosi apabila sebuah kerajaan yang dipilih secara demokratik dan berpaksikan Islam dijatuhkan sebegitu rupa. Maka bergembiralah Israel meraikannya. Namun awas, ia sebenarnya hanya sementara. Halanglah kebangkitan Islam, ia tidak akan berjaya. Islam pasti akan tetap bangkit. Itu janji Allah!

Apabila menerajui tampuk pemerintahan setelah legasi dikatator Hosni Mubarak, cukup banyak yang dilakukan oleh Dr, Morsi Al-Hafiz untuk mengembalikan sinar Islam di bumi anbiyak itu. Pembukaan semula sempadan di Gaza banyak memberikan ruang kelegaan kepada penduduk Gaza yang dibunuh secara senyap oleh Israel.

Dasar keras terhadap Israel menjadikan negara kejam itu tidak senang duduk. Penentangan terhadap kekejaman Bashar al Asad juga menjadikan Morsi tidak digemari oleh musuh musuh Islam. Mesir memainkan peranan penting dalam hal ehwal Islam seluruh dunia. Parlimen Mesir juga diwakili oleh majoriti para al-Hafiz.

Namun usaha usaha murni itu dicemburui oleh musuh Islam yang mengatur langkah untuk menyekat kebangkitan ini. Morsi digulingkan secara begitu kejam. Presiden pilihan rakyat diketepikan oleh pasukan tentera malah lebih menyedihkan lagi terdapat segolongan ulamak yang merelakan diri mereka diperalatkan sebagai boneka dalam drama ini. Cukup menyedihkan.

Draf perlembagaan Islam yang sedang dirangka kerajaan Morsi digantung. Alasan ekonomi dijadikan alasan utama pengambilalihan sedangkan mereka harus faham, untuk memperbaiki semula kerosakan lebih 30 tahun kerajaan Hosni Mubarak, pastinya tidak dapat diselesaikan dalam tempoh yang singkat. Ia memerlukan sedikit masa. Itu hanya alasan semata-mata.

Morsi kini menjadi tahanan rumah telah berikrar untuk terus berjuang walau terkorban nyawa. Kita berharap beliau dan para pejuang Islam yang lain terus bersabar mengharungi keadaan ini. Ini lah perjuangan. Pahit dan getir sudah pasti manakala kemenangan akan tiba setelah melalui jalan kesabaran yang tinggi.

Umat Islam seharusnya kembali bersatu dan menjadikan kisah ini sebagai iktibar dan teladan buat mengharungi masa hadapan.

morsiApabila berkuasa, legasi pemerintahan Hosni Mubarak masih lagi banyak menguasai media media arus perdana dan sistem kehakiman Mesir. Natijahnya, perjalanan pentadbiran Morsi tidak begitu lancar dan imej imej negatif disebar luas menerusi media untuk membangkitkan sentimen anti Morsi dan Ikhwanul Muslimin. Ditambah pula dengan suntikan halus anasir anasir luar terutamanya Israel dan Amerika, Morsi menjadi mangsa apa yang digelar ‘kebangkitan rakyat’.

Saya sempat melayari berita berita dari media barat yang begitu ‘meraikan’ kejatuhan Morsi. Ternyata itu yang dikehendaki oleh musuh musuh Islam tetapi malangnya masih ramai umat Islam belum dapat memahaminya secara jelas. Apa yang berlaku di Syiria dan Myanmar seharusnya membuka mata kita sebagai seorang Muslim.

Marilah kita sama-sama berdoa dan melakukan solat Hajat serta jika boleh melakukan Qunut Nazilah ketika Solat Jumaat esok untuk memohon kepada Allah agar Islam diberikan tempat yang sepatutnya dan diberikan kemenangan dalam perjuangan.

Janji Allah Pasti! Islam akan kembali bangkit.

Bergembiralah Israel… Buat sementara waktu…

Teruskan perjuangan!

Allahuakbar!

Allahuakbar!

Allahuakbar!