Letihnya!

24 04 2015

MyFamilyTerus terang saya harus akui fasa hidup saya ketika ini amat memenatkan. Menguruskan keluarga dan lima anak kecil sahaja sudah membuatkan saya perlu mengerah tenaga yang banyak. Ditambah pula dengan tekanan kerja di mana saya terlibat dalam bidang yang kritikal dan memerlukan saya sentiasa bersedia untuk dipanggil bertugas. Kemudian sebagai Pengerusi persatuan Penduduk yang menuntut saya masa dan tenaga serta wang berkhidmat kepada masyarakat. Ditambah pula dengan aktiviti sukan saya sama ada sebagai pemain atau bersama Kelab Penyokong.

Sampai suatu tahap, isteri saya mencadangkan agar saya meletak jawatan sebagai pengerusi persatuan penduduk. Apa tidaknya, balik sahaja rumah macam untuk salin baju sahaja, kemudian perlu melihat masalah masalah yang ada. Apabila ada isu isu tertentu, saya terpaksa bermesyuarat sehingga jam 1 hingga 2 pagi. Saya perlu bergegas ke rumah pada waktu makan tengahari untuk memastikan segala urusan pentadbiran berjalan lancar.

Saya juga perlu memastikan tahap keselamatan berada pada tahap terbaik dengan memantau perkhidmatan keselamatan dan ia berlarutan sehingga awal pagi dan kadang kala saya akan lakukan pemeriksaan mengejut pada awal pagi untuk memastikan tahap keselamatan.

Ada sekali, isteri saya lapar dan beliau sudah terlalu letih untuk memasak kerana selepas habis kerja (guru sesi petang) sampai di rumah sudah pun jam 7-8 malam. Kemudian perlu mengemas rumah kerana mengajar mengaji pada jam 08.30 malam. Beliau pinta saya untuk membeli makanan bungkus. Saya pun dengan pantas terus menaiki motor kapcai buruk saya dan membeli nasi bungkus. Apabila tiba di kawasan kediaman saya, seorang penduduk datang dengan marah marah meminta penjelasan tentang beberapa perkara. Apa lagi, saya terpaksalah memberi penerangan dan ia berlanjutan sehingga jam 11 malam! Akhirnya baru saya ingat tentang nasi tadi. Apabila saya sampai di rumah memang anak anak sudah nyenyak tidur dan isteri saya pula merajuk. Hmmm Hadap sahaja lah…

Apabila ada kes keselamatan, saya akan dihubungi 24 jam termasuk ketika orang lain sedang nyenyak tidur. Apa nak buat, itu adalah satu tanggungjawab.

Saya juga perlu melayan ugutan, gangsterisme, tindakan undang undang, makian dan cacian mereka yang tidak faham tentang undang undang yang perlu dipatuhi apatah lagi tinggal di kawasan bangunan bertingkat.

Media sosial juga menjadi medium untuk berinteraksi bersama residen. Banyak kerenah yang perlu dilayan. Atas dasar tanggungjawab, saya perlu harungi semua ini.

Mengapa saya terima jawatan pengerusi?

Sebenarnya saya sendiri tidak menyangka saya akan mendapat undi terbanyak dan menjadi pengerusi. Jika ikutkan hati saya mahu serahkan kepada mereka yang lebih berkelayakan namun tiada yang mahu memikulnya. Saya berpegang kepada satu mutiara kata

” Lebih baik berusaha menyalakan api daripada menyumpah seranah dalam kegelapan”

Saya berusaha dengan sokongan jiran jiran dan Alhamdulillah begitu banyak yang dapat diperbetulkan dan dilakukan walaupun masih banyak yang belum dapat dilakukan. Saya tidak mahu kawasan tempat tinggal saya terus terbiar dan bermasalah. Saya perlu lakukan sesuatu.

Saya percaya, jika kita memberi manfaat yang besar kepada masyarakat, akan ada ganjaran daripada Allah.

Itu bab persatuan penduduk.

Bab kerja yang memerlukan saya sentiasa bersedia bertugas. Saya bertanggungjawab terhadap sistem di sebuah hospital dan jika terdapat sebarang masalah, ia perlu dipulihkan segera kerana melibatkan nyawa pesakit. Tidak kiralah pada Sabtu Ahad, cuti umum, tengah malam, saya perlu bersedia. Pada ketika ambang sambutan tahun baru, saya dan pasukan bertungkus lumus di pejabat memastikan segalanya berjalan lancar.

Pernah juga ketika saya membeli belah bersama keluarga di shopping complex, saya terima panggilan terdapat masalah sistem. Apa lagi, terus dari Pusat Beli Belah itu saya ke pejabat. Mengamuk juga isteri saya.

Kalau zaman waktu mula kahwin dulu memang berendam air mata isteri saya kerana kesunyian. Apa tidaknya balik rumah dari pejabat pun jam 2 atau 3 pagi. Kadang kala tidur di pejabat dan tak tidur sehingga tiga hari.

Itu bab kerja

Bila masuk bab sukan, memang ini minat saya. Tempat saya release tekanan saya. Walaupun amat meminati bolasepak, bakat saya pada badminton. Mewakili organisasi saya memerlukan latihan dan latihan pun ada jadualnya dalam seminggu. Hujung minggu saya akan terlibat dengan pertandingan biasanya badminton dan sesekali bolasepak dan futsal. Memang banyak masa diperlukan apatah lagi saya juga terlibat dalam menguruskan semua itu.

Itu tak termasuk Kelab penyokong yang perlu saya urus. Cuma tak seperti dahulu. Agak sukar hendak travel ke sana sini akibat kekangan masa.

Bila balik rumah, saya juga perlu membantu kerja kerja rumah memandangkan isteri saya juga sibuk. Anak anak juga perlukan masa bersama saya.

Akhirnya bila saya kira semula, masa saya berada di rumah lebih sedikit berbanding masa saya berada di luar. Tidur saya pun memang tidak mencukupi. Biasalah bila ada anak kecil, malam malam hendakkan susu, salin lampin dan jika demam/sakit perlu perhatian lebih.

Begitu juga dengan perhatian kepada kedua orang tua saya yang saya tak dapat nak berikan sepenuhnya apatah lagi jauh di Kedah.

Sampaikan suatu ketika saya rasa macam hendak menyerah dengan kesibukan ini. Ya lah dengan itu dan ini namun saya berfikir semula yang itulah indahnya hidup! Tak perlu hendak mengeluh, hadapi sahaja kerana setiap yang berlaku ada hikmahnya. Aturan perjalanan kita sudah ditetapkan, redah dengan apa yang ditetapkan dan jika kita redha dengan semuanya, kita akan capai ketenangan hati. Apabila hati tenang, apa sahaja yang berlaku dapat kita harungi dengan penuh bijaksana dan hikmah.

Masih ramai lagi yang diuji dengan begitu hebat namun mereka nyata lebih tabah dan betah meneruskan kehidupan.

Teringat saya tentang ketika anak saya dimasukkan ke wad akibat jangkitan kuman pada paru paru. Hampir dua bulan berada di wad. Saya merasakan betapa peritnya semua itu kerana perlu mengahadapi semua itu. Namun apabila berada di wad, saya malu kepada diri saya sendiri kerana, ada yang sudah TIGA TAHUN di wad menjaga anak mereka. Dengan pendapatan tidak seberapa, rumah pula jauh dari hospital, mereka begitu tabah. Kalau dibandingkan dengan saya yang baru diuji sebegitu, pejabat pun di hospital sudah mahu mengalah! Saya belajar sesuatu. Dalam kehidupan jangan mudah menyerah kalah. Teruslah berjuang!

Saya juga merakamkan rasa amat beruntung kerana punyai seorang isteri yang sanggup bersama sama saya mengharungi semua ini. Saya tak pasti kalau orang lain jadi isteri saya, mampukah mereka mengikuti tempo saya.

Apa pun Allah Maha Mengetahui dan Perancang Yang Terbaik. Setiap Yang Berlaku Ada Hikmahnya

Kepada Allah tempat kita Bertawakal dan Berserah.


Tindakan

Information

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s




%d bloggers like this: