Anak Tak Sah Taraf

19 01 2011

Ketika dalam pemanduan pulang dari Alor Setar Isnin lepas, saya membuka Kedah FM, saluran radio yang selalu saya buka bila berada nun di utara. Ketika itu waktu lepas Asar dan biasanya ada program berbentuk keagamaan. Tajuk yang dibicarakan ketika itu ialah “Anak Tak Sah Taraf” atau yang selalu orang sebut Anak Luar Nikah.

Anak Tak Sah Taraf ini ialah anak yang terhasil dari penzinaan, bukan dari perkahwinan yang sah atau pun melalui persetubuhan Syubhah.

Banyak yang dikupas oleh penceramah iaitu Ustazah Faridah Ahmad, Pegawai Penyelidik Jabatan Mufti Negeri Kedah. Antaranya orang selalu pandang serong kepada Anak Tak Sah Taraf sedangkan mereka tidak berdosa apa-apa. Yang berdosa ialah ibu bapa mereka. Pandangan serong masyarakat ini adalah SALAH.

Antara lain yang ingin saya sentuh ialah statistik yang beliau kemukakan iaitu setiap 17 minit 17 saat akan lahir seorang anak Tak Sah Taraf. Memang suatu angka yang amat menggerunkan. Menurut beliau lagi lebih kurang 257 000 anak tak sah taraf didaftarkan di Jabatan Pendaftaran Negaran sejak tahun 2000 hingga Julai 2008. Kalau ambik statistik hingga 2010, mungkin lagi banyak.

Kalau ikut statistik tu 257 000 anak bermakna lebih kurang 500 000 orang dah berzina! Itu yang ada hasil dan jika tiada hasil kita anggap sebagai 50% bermakna sudah 1 juta orang berzina di Malaysia dan saya pernah terbaca satu artikel yang membuat unjuran sehingga 2 juta rakyat berzina di Malaysia dengan menganggap kes yang dilaporkan cuma 25%. Jika benar congakan tersebut bermakna ia merupakan suatu fenomena yang amat dahsyat dan kita harus memikirkan jalan penyelesaian yang paling ampuh. Sebenarnya jalan penyelesaiannya sudah pun ada cuma kita sahaja yang tidak menguatkuasakannya.

Perbincangan di Radio Kedah FM pada petang tersebut ternyata banyak memberi input berguna dan juga amaran kepada Masyarakat kita agar kembali kepada jalan yang benar. Sesuatu harus dilakukan…