Selamat Tahun Baru Hijrah 1432

6 12 2010

Barang siapa yang membaca doa akhir tahun ini, maka syaitan akan berkata: “Hampalah kami di sepanjang tahun ini”.

DOA AKHIR TAHUN

doa_akhir_tahun

Maksudnya:

Allah SWT berselawat ke atas penghulu kami Muhammad SAW, ahli keluarga dan sahabat-sahabat baginda dan kesejahteraan ke atas mereka. Wahai Tuhan, apa yang telah aku lakukan dalam tahun ini daripada perkara-perkara yang Engkau tegah daripada aku melakukannya dan aku belum bertaubat daripadanya. Sedangkan Engkau tidak redha dan tidak melupakannya. Dan aku telah melakukannya di dalam keadaan di mana Engkau berupaya untuk menghukumku, tetapi Engkau mengilhamkanku dengan taubat selepas keberanianku melakukan dosa-dosa itu semuanya. Sesungguhnya aku memohon keampunanMu, maka ampunilah aku. Dan tidaklah aku melakukan yang demikian daripada apa yang Engkau redhainya dan Engkau menjanjikanku dengan pahala atas yang sedemikian itu. Maka aku memohon kepadaMu. Wahai Tuhan! Wahai yang Maha Pemurah! Wahai Yang Maha Agung dan wahai Yang Maha Mulia agar Engkau menerima taubat itu dariku dan janganlah Engkau menghampakan harapanku kepadaMu Wahai Yang Maha Pemurah. Dan Allah berselawat ke atas penghulu kami Muhammad, ke atas ahli keluarga dan sahabat-sahabatnya dan mengurniakan kesejahteraan ke atas mereka.

DOA AWAL TAHUN

Barangsiapa yang membaca doa awal tahun ini, insya Allah dirinya akan terpelihara oleh Allah SWT daripada gangguan dan godaan syaitan di sepanjang tahun tersebut.

doa_awal_tahun

Maksudnya:

Allah SWT berselawat ke atas penghulu kami Muhammad SAW, ahli keluarga dan sahabat-sahabat baginda dan kesejahteraan ke atas mereka. Wahai Tuhan, Engkaulah yang kekal abadi, yang qadim. yang awal dan ke atas kelebihanMu yang besar dan kemurahanMu yang melimpah dan ini adalah tahun baru yang telah muncul di hadapan kami. Kami memohon pemeliharaan dariMu di sepanjang tahun ini dari syaitan dan pembantu-pembantunya dan tentera-tenteranya dan juga pertolongan terhadap diri yang diperintahkan melakukan kejahatan dan usaha yang mendekatkanku kepadaMu Wahai Tuhan Yang Maha Agung dan Maha Mulia. Wahai Tuhan Yang Maha pengasih dari mereka yang mengasihi dan Allah berselawat ke atas penghulu kami Muhammad. Nabi yang ummi dan ke atas ahli keluarga dan sahabat-sahabatnya dan kesejahteraan ke atas mereka.





ECV

6 12 2010

Hari ini cukup mendebarkan bagi saya… Sejak beberapa bulan lepas, setelah scan perut isteri saya, saya dapati kandungan berada dalam keadaan songsang. Kalau ikutkan pengalaman sebelum ini, ia normal kerana masih di peringkat awal namun setelah kandungan berusia 36 minggu ia masih lagi songsang. Justeru doktor memberi pilihan agar dilakukan ECV untuk membetulkan masalah ini agar kelahiran dapat dilakukan secara normal.

Apa itu ECV?

ECV ialah External Cephalic Version yang dilakukan bagi memusingkan kedudukan bayi kepada kedudukan normal. Menurut doktor, tak semua pengamal perubatan boleh melakukannya kerana ia memerlukan yang tinggi. Bagi saya, saya tetap positif dengan keadaan ini kerana yang penting ialah SELAMAT. Ada juga saranan mencuba bidan kampung tetapi pada saya ECV ini lebih kurang apa yang bidan kampung lakukan namun kekurangan bidan kampung ialah mereka tidak dapat melakukan pemantauan segera.

Jika dilakukan oleh pegamal perubatan bertauliah, pemantauan dapat terus dilakukan agar keselamatan ibu dan anak dapat dijamin. Pemantauan akan dilakukan agar keadaan yang tidak diingini tidak berlaku. Jika terdapat komplikasi seperti uri lekang, degupan jantung anak tidak stabil dan uri tersimpul dan lain-lain, tindakan segera dapat dilakukan.

Hmmm… Pertama kali keadaan sebegini berlaku agak meresahkan isteri saya. Puas saya menenangkan beliau tetapi keresahan itu tetap wujud maklumlah beliau yang akan menghadapi semua ini. Jauh di sudut hati, saya cukup terkesan dengan semua ini tetapi kata akal saya, saya tetap amat positif dan amat berharap kepada Allah semuanya akan kembali normal, InsyaAllah…

Inilah pengorbanan seorang ibu dan isteri yang akan saya kenang. Saya tak mahu tunjuk sangat keresahan saya di depan isteri tersayang kerana saya mahu dia kuat menghadapi situasi ini. Andai berlaku kecemasan, beliau terpaksa dibedah untuk melahirkan anak. Semoga sayang tabah dan kuat menghadapi situasi ini. Abang akan sentiasa memberi sokongan penuh.

Sekejap lagi, kita akan ke hospital dan abang doakan semuanya berjaya. Saya pohon jasa baik semua pembaca blog saya ini sama-sama mendokan kejayaan ECV ini dan jasa baik anda semua hanya Allah yang mampu membalasnya.

Dengan penuh debar dan harapan, kubermohon kepada-Mu Ya Allah… Mudahkan segala urusan aku dan isteri. Hanya kepada-Mu kami berharap. Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Besar.