Keluarga, Kerjaya, Sosial dan Lain-lain

11 02 2010

Kalau diibaratkan sebuah rumah, jika lama tidak dibersihkan, sudah pasti akan dipenuhi debu dan sawang. Pasti juga orang tidak akan berkunjung. Begitu juga dengan blog saya ini. Agak lama tidak dikemaskini. Semakin suram jadinya. Sememangnya ada hasrat di hati untuk sentiasa mengemaskini dan banyak perkara yang saya nak kongsikan bersama namun keterbatasan waktu menjadikan ia sepi ditinggalkan.

Apa yang saya ingin nukilkan ada juga kaitan dengan mengapa blog ini jarnag dikemaskini…

Menempuh ranjau kehidupan bukanlah suatu yang mudah. Penuh dengan dugaan dan cabaran. Setiap insan akan berhadapan dengan dugaan tersendiri. Kalau dulu dalam kesibukan, saya masih sempat untuk mengemaskini blog ini setiap hari namun kini apabila saya menempuh alam kerjaya, saya ternyata gagal melakukannya.

Cabaran yang dirasakan ialah beban tugas kerjaya yang begitu menekan dan mendesak. Saya perlu selenggarakan sistem Fasa 1 dan dalam masa yang sama perlu membangunkan sistem Fasa 2 dan sistem perakaunan pesakit. Itu tidak termasuk tugas-tugas pentadbiran yang lain dan tugas-tugas khas. Bertugas di sebuah institusi perubatan memerlukan saya memahami juga serba sedikit selok belok displin perubatan. Dalam menyelami selok belok itu, saya juga terpaksa mengikut arus dunia perubatan. Sebagaimana rentak seorang doktor yang terpaksa berhempas pulas mengerah keringat demi nyawa seorang insan hinggakan jadual hidup seorang doktor itu hanya berkisar tentang kerja.

Kerja yang jika diabaikan mungkin akan mengakibatkan kehilangan nyawa. Hinggakan hidup seorang doktor itu kebanyakkannya adalah di hospital dan pesakitnya silih berganti. Rentak kehidupan doktor itu juga terpaksa saya ikuti. Saya tidak kisah andai begitu banyak tugasan tetapi jika jangka waktunya amat singkat, ternyata ia cukup membebankan. Kesibukan tugas benar-benar mencengkam hinggakan terbawa-bawa dalam tidur.

Apa pun prioriti saya adalah keluarga, namun saya kasihankan keluarga yang memang dahagakan masa saya bersama mereka. Saya mahu lebih luangkan masa bersama keluarga. Anak-anak yang perlukan belaian seorang bapa dan isteri yang memerlukan perhatian seorang suami. Dalam masa yang sama selepas waktu kerja, saya juga ada aktiviti sosial yang lain yang juga memerlukan saya membahagikan masa secukupnya. Contohnya saya juga banyak terbabit dengan kelab penyokong dan pada hujung minggu saya juga akan terlibat dengan pertandingan sama ada bolasepak, futsal atau pun badminton.

Kalau saya tidak bersukan, badan akan rasa tidak selesa dan mudah sakit. Sukarnya dirasakan untuk membahagikan waktu. Begitu juga dengan minat membaca saya yang banyak tidak kesampaian. Kalau saya membaca, saya memerlukan kosentrasi yang mendalam. Tetapi kalau di rumah, memang saya tak dapat melakukannya kerana saya perlu juga melayani keletah dua anak yang begitu aktif. Kadang kala saya terfikir bagaimana seorang yang berjaya dapat mengatasi semua itu.

Saya lihat pakar-pakar akademik kebanyakkan masanya di pejabat dan kemudian saban hujung minggu sibuk berseminar, bersidang, berkursus dan aktiviti akademik yang lain. Bagaimana mereka menguruskan keluarga mereka. Sedang saya terpaksa berkejar nak mengambil dan menghantar anak dari tadika pun dah cukup membataskan banyak benda. Kalau saya pinta isteri lakukan, kasihan pula melihat tubuh kecil isteri saya menguruskan semuanya dan dalam masa yang sama saya perlu melaksanakan komitmen saya terhadap tugas.

Contohnya hujung bulan ini, saya terpaksa berkursus selama lima hari di luar kawasan, saya tak dapat bayangkan bagaimana serabutnya isteri saya terpaksa menguruskan kedua-dua anak saya dengan menghantar mereka ke tadika dan rumah pengasuh. Di tambah pula dengan rungutan saya tentang isu sekolah sessi petang yang saya tulis baru-baru ini. Isteri saya juga ada komitmen terhadap tugasnya sebagai seorang guru.

Kalau nak suruh isteri saya jadi seorang surirumah sepenuh masa, memang saya tak termampu menanggung kos hidup di kota kosmopolitan ini. Ia memang cukup mencengkam. Itu masih belum masuk soal kejiranan lagi. Saya tetap cuba setakat yang mampu dalam soal kejiranan dan sebab itu hidup di kota ini, bab kejiranan cukup menyedihkan. Belum masuk soal keluarga lagi.

Apa pun, saya akur dan harus lebih berusaha dengan kesemuanya. Saya sentiasa mendidik hati saya berfikiran positif, Mungkin ada hikmahnya cabaran sebegini. Kalau kita fikir kita susah ada yang lebih susah sebenarnya. Saya perlu lebih bijak menongkah arus ini. Mungkin sahabat-sahabat sekalian ada nasihat untuk saya. Saya amat mengalu-alukannya. Saya perlu hadapi kesibukan ini, cuma yang saya takut kesibukan ini menyebabkan saya lupa tentang dunia di takah berikutnya… Nauzubillah…

p/s: Banyak lagi yang hendak saya coretkan, namun saya punya masa yang singkat…


Tindakan

Information

5 responses

11 02 2010
duta

+sibuk+
ada perbezaan antara important and urgent . bila cik saiful guna method itu… insyaallah boleh mmbantu pengisian aktiviti harian yg sibuk itu

11 02 2010
Fakur

Saudara Saiful.

Terima kasih kerana kembali menconteng. Saya sentiasa ternanti-nantikan buah tangan anda.

Sebagai seorang yang serba kekurangan, di sini saya tak pandai nak beri nasihat. Tetapi pada ayat terakhir catatan terbaru saya, saya menulis begini :

“begitulah indahnya kehidupan, jika kita bijak merencanakan”

Selamat berjaya.

12 02 2010
Saiful

duta,

Thanks, konsep itu telah saya gunakan tetapi mungkin masih ada kelemahan pada diri saya. Yang menghantui kini ialah bebanan tugas yang amat tinggi. Kerja adalah amanah. Mungkin juga ketidakcukupan kakitangan menyebabkan bebanan tugas yang amat berat.

Fakur,

Terima kasih… Kalimat itu cukup dalam maksudnya. Saya melihat apa yang saya lalui kini sebagai sesuatu yang positif. Cuma di sini saya nak meluahkannya agar tiada tekanan. Saya percaya, apa jua masalah tetap ada penyelesaiannya.

Terima kasih semua atas nasihat dan pandangan. Saya amat menghargainya…

12 02 2010
amANI

Untuk kerja, kena jugak belajar Tai-chi..

Untuk keluarga, kena paham n memahami..

14 02 2010
Saiful Azrul

amANI,

Mendalam maksudnya tu🙂

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s




%d bloggers like this: