Mata Shaitan

3 10 2009

Dah lama saya tak mencoret sesuatu. Disebabkan amat sibuk di pejabat kebelakangan ini dan juga di rumahjuga tidak begitu berkesempatan kerana perlu melayan anak-anak dan isteri yang habiskan pantang di sini. Cuma saya tertarik untuk menulis tentang Mata Shaitan.

Mata Shaitan adalah sebuah kisah yang baru sahaja saya tonton di TV2 bermula jam 12.30 malam hingga 2.30 pagi. Secara ringkasnya ia menceritakan tentang kisah seorang Putera Raja yang pergi berburu di hutan. Kemudian putera raja tadi tertarik dengan seorang gadis kampung dan menumpang duduk di situ tanpa si ayah dan gadis tersebut menyedari bahawa tetamu mereka adalah anak raja.

Suatu hari ketika di sungai, si gadis kampung itu diganggu oleh seorang samseng kampung lalu melarikan diri ke dalam hutan dan terserempak dengan putera raja tadi bersama panglima dan pengawal-pengawalnya. Dari jauh si gadis kampung tadi mengintip titah putera raja yang mahu identitinya tidak didedahkan kepada sesiapa.

Kemudian apabila kembali ke pondok, si gadis tersebut mendedahkan yang dia tahu identiti si putera raja lalu menerima lamaran si putera raja. Mereka dinikahkan oleh Tok Imam dan disaksikan oleh ayah si gadis tanpa didedahkan kepada penduduk kampung.

Keesokannya si samseng yang meminati gadis tersebut pergi ke rumah si gadis tersebut untuk melakukan sesuatu niat yang tidak baik tetapi alangkah terkejutnya apabila diintip si gadis itu sedang bermesra dengan seorang lelaki lalu pulanglah dengan rasa kecewa pada hati samseng tersebut.

Tetapi tiba pula utusan dari istana yang mahukan si putera raja segera pulang ke istana kerana ayahandanya jatuh gering. Maka pulanglah si putera raja dengan meninggalkan sebentuk cincin buat pengganti diri. Sekembalinya ke Istana, ayahanda baginda mahu si putera raja berkahwin dengan seorang anak raja jajahan baginda dan mahu si putera menaiki takhta kerana dirasakan sudah tidak lama lagi hayatnya.

Memikirkan asbab kepentingan rakyat dan permintaan terakhir ayahandanya, maka si putera raja bersetuju dengan permintaan ayahandanya. Lalu dikahwinilah seorang puteri raja dan dimahsyurkanlah sebagai Sultan dan permaisuri. Baginda cuba untuk kembali ke pondok si gadis kampung namun ada sahaja halangan menghalang.

Ketika itu si gadis sudah pun mengandungkan anak si putera raja yang kini sudah menjadi Sultan. Orang kampung mula mencurigai status si gadis kampung hinggakan si samseng itu bersama kumpulannya ‘menyerang’ ayah si gadis dan mahukan penjelasan namun ayah si gadis tetap berahsia. Dalam kekalutan itu, si samseng telah bertarung dengan ayah si gadis dan ayah si gadis cedera parah. Si samseng panik kerana takut dihukum penghulu lalu mereka berpakat untuk membakar rumah si gadis dan menyebarkan kepada orang kampung bahawa ayah si gadis malu dengan keadaan si Gadis lalu membunuh diri.

Kebetulan si gadis pulang dan amat terkejut dilihat rumahnya sedang marak terbakar dan ayahnya terperangkap dalam kebakaran itu. Si samseng dan kumpulannya mengganggu si gadis dan akhirnya si gadis berjaya melarikan diri ke dalam hutan yang jauh dan bertemu dengan seorang tua berwajah hodoh.

Orang tua berwajah hodoh itulah yang memberi perlindungan kepada si gadis. Orang tua berwajah hodoh itu hidup sendirian di dalam gua kerana diasingkan masyarakat akibat kehodohannya. Lalu diceritakan kisah sedih dirinya kepada orang tua itu. Kisah bagaimana perjalanan hidupnya dan bagaimana usahanya untuk ke istana mengadap tetapi dihalang oleh orang istana.

Si Sultan pula telah mengarahkan panglimanya ke rumah si gadis untuk menyampaikan sedikit kurniaan dan bertitah yang baginda akan kembali ke pondok si gadis kampung itu. Namun apabila si Panglima ke pondok si gadis kampung itu, didapati semuanya telah rentung dan si gadis itu tidak dapat dikesan oleh orang kampung. Maka berangkatlah pulang si Panglima memaklumkan berita sadis itu kepada Tuanku Sultan.

Akhirnya si gadis kampung itu melahirkan seorang anak perempuan dan si gadis itu meninggal dunia setelah melahirkan anaknya. Namun anak itu dilahirkan berwajah hodoh. Anak itu dinamakan Melati dan diasuh dan didik oleh si tua berwajah hodoh itu. Setelah dua puluh tahun, si tua berwajah hodoh itu menceritakan kisah sebenar kepada Melati.

Si Melati keberatan untuk meninggalkan orang tua itu untuk pergi menemui ayahandanya. Dalam masa yang sama, orang tua berwajah hodoh itu mendedahkan yang beliau ada ramuan yang akan menjadikan wajah manusia kembali cantik tetapi dengan syarat perlu dihirup darah dan dilumurkan muka si peminum dengan darah ayah si peminum. Syarat itu telah ditetapkan oleh Syaitan.

Si Melati tidak sabar dan terikut kata hati lalu meminum ramuan itu. Maka wajahnya bertukar cantik secantiknya. Walaupun dikesali dan ditegah oleh si tua berwajah hodoh, namun semuanya sudah terlambat. Si Melati harus melumurkan wajahnya dengan darah ayahandanya dan menghirup darah ayahandanya sebelum bulan mengambang penuh.

Lalu si Melati terus ke istana dan jatuh hati dengan anak Datuk Bendahara yang membantunya menemui Tuanku Sultan. Setelah dilihat cincin yang dipakai Melati, Tuanku Sultan mengakui bahawa memang sah Melati anaknya lalu diperkenankan Melati tinggal di istana. Tuanku Sultan dan Permaisuri cukup gembira kerana mereka selama ini tidak dikurniakan putera atau puteri lalu dilayan bagai manatang minyak yang penuh.

Si Melati menjadi serba salah apabila mendapati dilayan dengan penuh kasih sayang dan berhajat untuk membatalkan hasratnya namun pujukan Syaitan merubah segala-galanya. Pada suatu malam sebelum bulan mengambang, Melati ke bilik ayahandanya dan dengan berbekalkan kerambit, Melati mengelar leher ayahandanya. Walaupun mulanya Melati serba salah dan hanya mahukan setitik darah tetapi Melati terlupa dan darah yang mengalir keluar itu membuak-buak.

Lalu dilumurkan ke muka dan dihirupnya dan tiba-tiba Syaitan berbisik bahawa si Melati sudah tertipu. Lalu si Melati menangis di sisi mayat ayahnadanya. Tangisan Melati didengari oleh Tuanku Permaisuri yang kemudiannya mengarahkan pengawal menangkap Melati.

Akhirnya Melati dijatuhkan hukuman dibakar hingga rentung oleh si Permaisuri.

TAMAT

Banyak pengajaran yang dapat dikutip menyebabkan saya sanggup bersengkang mata menyaksikan kisah itu sehingga habis daripada menghabiskan masa menyaksikan ‘filem-filem raya’ yang entah apa-apa. Raya seperti sudah dipenuhi dengan karya air mata yang melalut jauh.

Mungkin anda pernah menyaksikan filem lama ini. Pastinya anda akan teruja melihat kisah yang difilemkan pada tahun 1962 ini dan diilhamkan oleh Siput Sarawak dan dibintangi oleh Siput Sarawak sendiri, Yussof Latiff, Fatimah Ahmad, Dollah Sarawak dan Siti Tanjung Perak. Ia diarahkan oleh Hussein Haniff.

Memang saya cukup tertarik dengan mesej filem ini. Saya rasa anda juga begitu jika menonton filem ini.


Tindakan

Information

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s




%d bloggers like this: