Salah Sangka

18 07 2009

Malam tadi selepas main futsal bersama rakan, saya terus ke Pusat Komuniti Bandar Tun Razak untuk makan malam bersama keluarga. Selepas menjamah makanan, kami sekeluarga terus pulang dan ketika sampai di rumah, saya lihat ada dua missed call pada telefon bimbit saya.

Bila dibelek, rupanya rakan sekolah lama, rakan perempuan. Saya memang kenal dan baru sahaja berSMS minggu lepas sewaktu seorang lagi rakan sekolah yang ayahnya terpaksa dimasukkan di salah sebuah wad di tempat saya bekerja. Kebetulan rakan perempuan saya ini bertugas sebagai jururawat dan saya bertanyakan kepadanya wad beliau bertugas kerana mungkin boleh membantu rakan saya yang ayahnya dimasukkan ke wad.

Kebetulan dalam mesej tersebut, saya sentuh tentang seorang rakan sekolah yang menjadi doktor di tempat kerja saya.

Selepas mandi, terus saya telefon semula rakan saya tersebut lalu beliau berkata suaminya mahu bercakap dengan saya.

Alamak! Seram sejuk jugak saya dibuatnya! Saya pun tiada masalah dan terus bercakap dengan suaminya.

“Assalamualaikum,” sapa suaminya.
“Wa’alaikumussalam,” balas saya.
“Siapa Saiful sebenarnya?” Gulp! Saya dah mula syak sesuatu.
“Siapa macam mana tu?” Balas saya
“Hubungan Saiful dengan *****?”

“Oh, ***** adalah rakan sekolah saya kat MRSM dahulu. Dia kelas sebelah saya,”
“Ooo… Begitu,” Kata suaminya.
“Kebetulan, saya satu tempat kerja dengan *****, Boleh lah datang ke pejabat saya kalau ada apa-apa, InsyaAllah kita boleh bincang. Saya minta maaf kalau ada apa-apa,”  balas saya.

“Saya pun minta maaf, mungkin sebab saya penat balik kerja, saya salah sangka mesej Saiful,” balas suaminya.
“Saya pun minta maaf sebab mungkin ada salah saya,” balas saya.

Itu adalah antara dialog yang berlaku. Saya lega kerana salah faham itu sudah dileraikan dan berharap ia dileraikan selamanya. Lepas insiden tu, saya dah jadi risau nak hantar mesej kat rakan perempuan yang dah kahwin. Apa pun, yang penting niat kita ikhlas dan tidak terpesong dari landasan yang sepatutnya.

Saya tak salahkan sesiapa dalam kisah ini. Beliau berhak cemburu dan saya juga bersalah kerana tak pi kenduri rakan saya ini, jadi tak sempat nak berkenalan dengan suami beliau.

Apa pun Alhamdulillah ia sudah selesai dan saya harap selesai selamanya…