Selamat Hari Guru

16 05 2009

Setiap kali menjelma Hari Guru, saya cukup terkenang Sajak SN Usman Awang, Guru Oh Guru. Sajak yang saya deklamasikan ketika pertandingan mendeklamasikan sajak ketika sekolah rendah dahulu.

BERBURU ke padang datar
Dapat rusa belang kaki
Berguru kepala ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi
(dedikasi kepada Hari Guru dan guruku tercinta)
Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.
Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulangi ilmu
Panggilan keramat “cikgu” kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

USMAN AWANG
1979

Melepasi usia remaja, dan zaman universiti, saya semakin terkesan dengan betapa luhurnya pengorbanan seorang guru. Saya mempunyai kenangan dan memori yang cukup nostalgik apabila membicarakan pengorbanan seorang guru. Malah kadang kala, air mata berderai apabila mengingati betapa besarnya jasa guru yang pernah mendidik dan saya tidak mampu menghadiahkan apa pun untuk membalas jasa mereka.

Profesion perguruan kini menjadi semakin penting dalam membina nusa bangsa yang berjaya, namun para guru kini harus mempunyai keikhlasan sebagai seorang guru dan bukan hanya sebagai ruang mencari sesuap nasi. Peranan guru dilihat begitu besar dan hala tuju masa depan negara terletak kepada sejauh mana peranan guru dimainkan sepenuhnya.

Sebab itu tema Hari Guru tahun ini diputuskan “Guru Pembina Negara Bangsa” . Betapa besarnya peranan guru dalam sesebuah masyarakat sehingga ia dipandang mulia. Cuma kebelakangan ini, masyarakat dilihat sedikit meminggirkan peranan guru. Jika anak ditegur sedikit, gurulah yang menjadi sasaran. Jika anak gagal, gurulah dipersalahkan dan lebih teruk jika anak berjaya, guru terus dilupakan.

Pengalaman isteri saya yang merupakan seorang guru, banyak membuka minda saya dengan lebih luas ke alam perguruan. Ada sisi negatif dan ada sisi positif tetapi matlamat utamanya ialah mendidik anak bangsa.

Setiap kali hari guru, saya juga tidak terkecuali mendapat ucapan, “Selamat Hari Guru” walaupun saya bukan guru. Hmmm… Ni semua gang-gang UUM dululah. Ketika di UUM, saya dikenali dengan gelaran, “Cikgu”. Sehingga kini gelaran itu masih lekat dan kadang kala bila saya ke kedai atau keluar, ada orang panggil saya “Cikgu” hinggakan saya hairan atas dasar apa, saya dipanggil guru. Bila saya tanya, “macam mana tahu saya seorang guru?”. Depa dengan selamba jawab, “gaya memamng macam kerja cikgu”. Saya cuma mampu tersenyum dalam hairan. Apa pun, bagi saya ia seumpama satu penghormatan.

Dah melalut pulak. Kalau nak tahu bagaimana saya mendapat gelaran “Cikgu” bolehlah selak diari lama saya atau pun mungkin saya akan terbitkan semula kisah tersebut.

Apa pun, buat semua guru, saya ucapkan Selamat Hari Guru dan semoga, tahap perkhidmatan dapat ditingkatkan dan terus menjadi penjana generasi masa depan negara.

SELAMAT HARI GURU.

p/s: Ramai juga bloggers yang melayari Diari saya ini bertugas sebagai seorang guru🙂


Tindakan

Information

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s




%d bloggers like this: