Sesi Pagi

8 04 2009

Beberapa hari lepas, isteri saya maklumkan bahwa tahun depan kemungkinan akan hanya ada satu sesi di sekolah yang beliau mengajar. Alhamdulillah, bila saya dengar berita tersebut. Ini memandangkan sekolah baru telah siap dan sekolah yang sedia ada terlalu padat.

Apabila isteri saya mengajar waktu pagi, mudahlah sikit. Sekarang ni, saya kehilangan masa petang kerana perlu mengambil anak dari daycare dan hilanglah waktu beriadah saya pada waktu petang. Saya memang amat amat tidak selesa tidak dapat beriadah pada waktu petang. Latihan badminton terbantut dan pelbagai perkara terbantut.

Satu lagi boleh jimatkan kos daycare Syasya. Sebab lepas habis tadika, boleh terus balik rumah. Senang sikit.

Saya harap ia akan jadi kenyataan walaupun hanya masih agak lama nak tunggu tahun depan tapi pejam celik dah bulan April dah sekarang ni. Hmmm… Teringat waktu saya tingkatan Lima, sekolah saya dijadikan perintis sekolah satu sesi dari jam 8 pagi hingga 4 petang.

Apa pun, ia suatu khabar gembira buat saya dan famili.





Gelanggang Yang Tidak Sama Rata

8 04 2009

Anda menyaksikan sebuah pertarungan antara seorang lelaki dengan seorang lelaki yang lain. Seorang lelaki ini bebas bergerak dan lawannya dengan kaki dan tangan terikat. Akhirnya lelaki yang bebas itu membelasah lelaki yang terikat itu dengan teruknya.

Anda menyaksikan pertarungan itu.

Apa pandangan anda?

Kemudian, lelaki yang tidak terikat itu mengatakan dirinya adalah juara.

Adakah anda mengiktiraf kejuaraannya?

Selepas lelaki yang mendakwa dirinya menang beredar,  adakah anda akan cuba membantu lelaki yang dibelasah tadi?

Kalau anda berjiwa murni, sudah pasti anda akan memberi pertolongan dan mendekati lelaki yang dibelasah tadi dan membantunya membuat laporan polis. Kemudian anda sanggup menjadi saksi atas kejadian tersebut dan dibicarakan di mahkamah. Dengan bantuan anda lelaki yang dibelasah tadi menang bicara di mahkamah.

Hmmm…

Pertarungan Yang Tidak Adil tadi = Liputan Media Konvensional Yang Berat Sebelah
Anda = Pengundi
Perbicaraan Mahkamah = Pilihanraya

Itu kesimpulan mudah saya bagi keputusan Pilihanraya malam tadi. Selepas keputusan Pilihanraya Kecil Kuala Terengganu diumumkan, saya sudah menulis tentang Kuasa Medium Baru. Nampaknya ada pihak yang masih belum benar-benar menyelami kekuatan media baru hingga akhirnya terkeluarlah ungkapan berikut, “Itu boleh diambil (daripada) gambar lama” apabila media bertanya tentang klip video suatu insiden di PRK Bukit Gantang.

Fikir-fikirkan…