Eksiden

27 12 2008

Hmmm… Rabu lepas selepas waktu pejabat macam biasa saya nak bergerak pulang ke rumah. Sesampainya di Traffic Light depan HUKM saya terpaksa berhenti kerana isyarat merah. Ketika itu yang hijau adalah dari arah Bandar Tun Razak masuk ke HUKM. Tiba-tiba sebuah motor dari arah Velodrom Cheras meluncur laju sedangkan waktu itu isyarat bahagiannya adalah merah.

Saya kebetulan memang sedar situasi itu dan dah dapat agak apa yang akan jadi. Saya berharap ia tak jadi tetapi memang ia terjadi. Motor tadi terus melanggar sebuah motor yang dianaiki oleh remaja perempuan yang nak ke HUKM. Motor dari arah Velodrom itu dinaiki oleh lelaki.

Memang pertembungan itu menarik perhatian ramai. Saya terus parking motor dan mengalihkan motor yang rosak dari tengah jalan agar tidak menghalang lalu lintas. Bagaimanapun yang kemalangan semua dpaat bangun sendiri cuma penunggang perempuan tu yang saya rasa kaca dari spek mata beliau termasuk dalam mata dan mengalami pendarahan di mata kiri.

Yang lain cuma luka di kaki dan tangan tetapi motor agak teruk jugak. Terus remaja perempuan tu menangis. Saya dan yang lain memujuk agar terus ke Jabatan Kecemasan untuk rawatan tetapi beliau tak mahu dan terus menangis serta menelifon bapanya.

Beliau mahu bapanya segera datang menenangkannya. Pengawal keselamatan pun ada untuk bawak remaja tersebut ke Jabatan Kecemasan untuk rawatan tetapi dia tetap tak mahu.

Penunggang lelaki tadi minta maaf dan minta diselesaikan cara baik tetapi remaja perempuan tu menghamburkan makian kepada lelaki terbabit kerana melanggar lampu merah. Memang terlalu marah nampaknya sampai bermacam perkataan keluar.

Sukar jugak untuk ditenangkan dan dia tetap menanti ayahnya hadir. Memang kesian tetapi ada juga rasa kesal sebab apa yang keluar dari mulutnya. Maybe terlalu marah kot.

Yang lelaki tu nampak gelabah sebab kesilapannya. Dia mengatakan yang dia tidak menyedari lampu merah. Hmmm… Dah memang jelas kecuaian beliau. Setelah agak lama, saya pun mengalah terus beredar kerana remaja perempuan itu tetap mahu menanti ayahnya.

Hmmm… Ini adalah antara beberapa kisah kemalangan yang berlaku depan mata saya. 

Pengajarannya di sini, patuhilah peraturan jalanraya. Kadang kala terasa fobia jugak bila lampu hijau, saya tetap selidik dan awasi jalan lain kerana takut ada kenderaan lain melanggar lampu merah.

Berhati-hati di jalan raya. Ingatlah Orang Yang Tersayang.

Advertisements




Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan mangkat

27 12 2008
credit to Malaysiakini.com

credit to Malaysiakini.com

Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan mangkat

Dec 27, 08 1:12pm

Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tunku Jaafar Tuanku Abdul Rahman mangkat di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) pada kira-kira pukul 11.45 pagi ini. Baginda berusia 86 tahun.

Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Norzam Mohd Nor yang membuat pengumuman itu di HTJ berkata Almarhum baginda berada dalam keadaan tidak sihat pagi ini selepas mengadu sakit kepala dan tidak selesa.   

“Baginda mengadu kurang sihat dan sakit kepala pada pukul 8.10 pagi dan pihak HTJ telah dihubungi dan dua Pakar Perunding Kanan HTJ, Datuk Dr Tarmizi Thayaparan dan Datuk Dr K. Sree Raman telah bergegas ke Istana Hinggap di Seremban untuk memberikan rawatan kepada Tuanku,’ kata beliau dalam sidang akhbar khas mengumumkan kemangkatan baginda di Bilik VIP HTJ hari ini, lapor Bernama. 

Turut hadir ialah anggota kerabat diraja Negeri Sembilan, Ketua Polis Negeri, Datuk Osman Salleh dan Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Zainal Arifin Omar.

Norzam berkata ketika dua pakar itu tiba di Istana Hinggap pada jam 8.25 pagi, keadaan baginda terlalu lemah walaupun sedar dan selepas melihat keadaan itu, dua pakar berkenaan mengesyorkan supaya baginda di bawa ke HTJ untuk rawatan segera.  

“Berdasarkan itu, baginda telah dibawa ke HTJ dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) dan pelbagai usaha telah dilakukan oleh doktor pakar termasuklah memberi rawatan kecemasan.

“Saya ingin memaklumkan di sini bahawa Tuanku Ja’afar telah mangkat pada pukul 11.45 pagi di HTJ,” katanya. 

Sehubungan itu, beliau memaklumkan bahawa jenazah Almarhum baginda akan dibawa pulang ke Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah petang ini untuk majlis penghormatan terakhir serta menunggu kepulangan anakanda baginda yang masih berada di luar negara.

Berkabung 40 hari

Katanya jenazah Almarhum baginda akan ditempatkan di Dewan Balairong Seri, Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah untuk penghormatan terakhir daripada kerabat Diraja, pemimpin dan orang ramai.  Istiadat pengebumian jenazah Almarhum baginda akan diadakan pada hari Isnin selepas solat asar.

Sehubungan itu, Norzam berkata tempoh berkabung berikutan kemangkatan baginda ialah selama 40 hari, bermula hari ini.

“Semua premis termasuk pejabat kerajaan dan bangunan hendaklah mengibarkan bendera negeri separuh tiang dalam tempoh tersebut. Dalam tempoh berkabung itu juga, semua kakitangan kerajaan dikehendaki memakai songkok berlilit putih manakala wanita memakai lilitan putih di lengan.

“Semua majlis rasmi kerajaan akan ditangguh dalam tempoh tujuh hari. Premis pusat hiburan dan aktiviti keraian juga hendaklah ditangguhkan selama tujuh hari bermula hari ini,’ katanya.

Katanya Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan yang kini bercuti di London telah dimaklumkan mengenai kemangkatan Tuanku Ja’afar pagi ini dan dijangka tiba di sini pada jam 10 pagi esok. 

sumber: http://www.malaysiakini.com/news/95497  (27/12/2008)

p/s: Baginda juga merupakan Canselor UKM. Bermakna saya kehilangan Boss Besar – Al-Fatihah…