Minda Yang Terpasung

26 12 2008

“Pada zaman dahulu ada seorang Tok Guru yang sangat berpengaruh. Dia tinggal bersama para pengikut setianya jauh di sebuah perkampungan yang terpencil.

Pada suatu hari ketika dia sedang khusyuk beribadat, tiba-tiba seekor kucing telah melintasi di hadapannya. Kerana merasa terganggu, Tok Guru itu meminta pengikutnya melakukan sesuatu terhadap kucing tersebut agar tumpuan ibadatnya tidak terjejas.

Para pengikutnya segera menangkap kucing tersebut. 

Apakah yang mereka telah lakukan?

Bagi memastikan kucing itu tidak mengganggu lagi, mereka telah mengurung dan mengikatnya di bawah sebatang pokok. Setiap hari mereka akan memberikannya makanan serta minuman.

Masa terus berlalu.

Tok Guru yang berpengaruh itu akhirnya meninggal dunia. Tempatnya telah digantikan oleh seorang pengikut yang lebih kanan untuk menyampaikan ajaran kepada pengikut yang lain.

Sementara itu, kucing tersebut masih berada terkurung di bawah pokok. Mereka tidak pernah mengabaikan keadaan kucing itu. Mereka memastikan makanan serta minuman yang mencukupi diberikan setiap hari.

Jumlah pengikut kepada pengganti Tok Guru itu pula semakin bertambah ramai. 

Tidak berapa lama kemudian, pengganti Tok Guru itu pula meninggal dunia. Dan tempatnya diambilalih oleh seorang pengikut kanan yang lain pula untuk terus menyampaikan ajaran serta beribadat.

Pada suatu hari kucing itu telah didapati mati.

Pengganti kepada pengganti Tok Guru tersebut bersama para pengikutnya merasa sangat susah hati. Dia segera mengarahkan pengikut-pengikutnya untuk mencari seekor kucing yang lain bagi menggantikan kucing yang telah mati itu. 

Pengikut-pengikutnya pun mematuhi suruhannya, mencari seekor kucing. Untuk memastikan kucing itu tidak mengganggu mereka beribadat, mereka telah mengurung dan mengikat kucing itu di bawah pokok yang sama serta memberikan makanan serta minuman yang mencukupi.”

Sebenarnya ada mesej tersirat yang terselindung di sebalik cerita di atas. Jika anda seorang perenung yang benar-benar kritis, saya yakin anda mampu untuk ‘membaca’ segala yang tersirat itu dengan begitu mudah.

Mungkin segala penceritaan, watak, perlakuan serta latar belakang di dalam kisah di atas adalah berbeza malahan tidak bersesuaian langsung dengan apa yang berada di sekeliling anda pada hari ini.

Walau bagaimana pun, segala perbezaan itu akan kembali membentuk persamaan jika anda membuat kesimpulan sejujurnya dari intipati kisah di atas. Kemudian sebagai tolok perbandingan, jika anda meletakkan kecenderungan segelintir masyarakat kita pada hari ini yang sering menafsir serta menilai sesuatu dari sudut yang sempit tatkala membuat apa juga keputusan, saya yakin anda tidak akan menemui apa-apa perbezaannya.

Biar pun zaman sudah jauh berubah tetapi kadang-kala arus perubahan itu dilihat masih belum mampu untuk menolak diri segelintir masyarakat kita dari terus berpaut di ambang kedangkalan serta kemuflisan minda yang begitu mengurung.

Ternyata mereka masih gagal membebaskannya dari terus terpasung.

Dipetik dari Abracadabra HKC.

Saya sebenarnya cukup meminati tulisan Abracadabra dalam HKC. Beliau lebih bersikap low profile dan tidak mahu mendedahkan siapa beliau. Saya ada lah juga klu sedikit tentang siapa beliau tetapi atas rasa hormat, saya turut merahsiakan siapa beliau kerana lebih baik beliau sendiri yang perkenalkan dirinya.

Saya sentiasa menanti hasil nukilan terbaru beliau. Kalau anda layari blog beliau, pasti anda akan sentiasa berkunjung ke sana menanti coretan terbaru beliau.

Saya petik salah satu nukilan beliau yang pada saya ada mesej yang kita boleh kita pelajari.

Abracadabra HKC.


Tindakan

Information

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s




%d bloggers like this: