Risiko Seorang Penjaga Gol

11 12 2008

Saya teringat sewaktu di kampus dulu. Setiap petang saya sering menghabiskan masa bermain bolasepak. Dalam saiz padang yang cuma lebih kurang separuh padang biasa, saya bermain dengan rakan-rakan dan saya selalu bertindak sebagai seorang penyerang.

Saya bukanlah pandai sangat main bola, cuma saya selalu dapat jaringkan gol sebab saya jenis sukakan corak permainan Shearer dan Nistelrooy dan terkini Fadly Baharom. Saya akan cuba hidu peluang sebaik mungkin.

Oleh kerana saya selalu jaringkan gol, seorang rakan yang main bahagian defend bertekad nak halang saya daripada menjaringkan gol dan dia maklumkan kepada saya sebelum perlawanan. 

Akhirnya hari tu, pasukan saya menang 1-0 hasil jaringan saya. Dia memuji saya lantas saya menafikan dan menyatakan bahawa yang lebih layak dipuji adalah beliau (pemain pertahanan tersebut).

Dia bertanya, “mengapa?”

Saya menjawab, “Cuba lihat tadi, saya membuat sepuluh gerakan cuma satu sahaja yang masuk gol. Tugas awak ialah mengekang serangan dan dari sepuluh kekangan awak berjaya kekang sembilan!”.

“Tapi bolasepak itu tidak dikira. Yang dikira adalah jaringan”, Balas beliau.

“Sebab itu ada yang kata Bolasepak itu kejam!” Tambah saya.

Kisah itu sebenarnya mengingatkan saya kepada kesilapan Penjaga gol Malaysia, Helmi Eliza Elias ketika perlawanan bertemu Vietnam tiga hari lepas.

Bolasepak adalah satu permainan yang cukup unik dan kadangkala dilihat amat kejam. Jika seorang penyerang melakukan banyak kesilapan, ia tidak begitu dikritik tetapi apabila seorang penjaga gawang melakukan cuma satu kesilapan, ia sudah cukup untuk menghadirkan hamburan kata-kata kesat dan cacian.

Saya berasa cukup simpati dengan Helmi Eliza dan berharap ia mampu memberikan satu pengajaran berguna kepada beliau agar lebih matang dan berwaspada selepas ini.

Tapi…

Saya juga tertarik dengan ulasan seorang forumers HKC yang cukup terkenal dalam HKC tentang isu Helmi Eliza Elias. 

Geylang Si Paku Geylang

Sewaktu England bertemu Brazil di dalam pertandingan bolasepak Piala Dunia 1970, Gordon Banks telah menyelamatkan pintu gol England dari dibolosi melalui satu gerakan akrobatik yang sungguh menakjubkan. Banks berada dalam situasi yang begitu sukar tetapi masih mampu untuk melayangkan badan serta menepis tandukan Pele yang begitu mengelirukan.

Pele hampir tidak percaya. Penyokong fanatik Brazil yang sudah pun bangun untuk meraikan ‘jaringan yang hampir pasti’ tersebut, jadi termangu. Dan seluruh dunia turut terpaku menyaksikan aksi hebat yang ditampilkan oleh penjaga gol lagenda itu.

Tetapi keajaiban yang dipertontonkan Banks tenggelam di sebalik populariti Pele yang turut membantu Brazil menjulang Piala Dunia dalam tahun yang sama. Banks dilupai, tidak sebagaimana Pele yang menggila dirai.

Di dalam bolasepak, penjaga gol adalah merupakan benteng terakhir yang bertanggung jawab bagi memastikan samada bola membolosi mencecah jaring yang dikawal atau pun tidak. Dan jika ada klasifikasi pemain yang amat mudah dituding untuk dijatuhkan hukuman terhadap sedikit kealpaan yang dilakukan, penjaga gol adalah orangnya.

Kesilapan pemain di posisi lain sering dimaafkan begitu sahaja tetapi bagi penjaga gol, tidak sama sekali. Kadang kala penjaga gawang boleh berubah menjadi manusia paling malang di atas padang. Itulah yang dinamakan ‘kasta’ yang sengaja dibikin di dalam sukan bolasepak!

Di pentas tempatan, buat waktu terdekat ini, Helmi Eliza penjaga gol yang berasal dari Kedah akan sentiasa disebut-sebut. Peminat-peminat akan terus memperkatakan tentang kesilapan yang dilakukan Helmi di dalam kejohanan Piala AFF Suzuki baru-baru ini.

Malahan ada yang melabelnya sebagai petualang yang menyebabkan Malaysia ‘dikorbankan’ oleh Vietnam dalam saingan peringkat kumpulan, sekaligus menyebabkan skuad kebangsaan terpaksa bersedia untuk berkemas awal bagi berangkat pulang.

Menoleh kembali kebelakang, sewaktu pertandingan Pestabola Merdeka beberapa bulan terdahulu, Helmi telah disanjung serta dipuja kerana prestasi memuncaknya. Tetapi kini segala sanjungan menggunung yang pernah diterimanya sebelum ini telah pun bertukar dalam sekelip mata malahan tohmahan yang terbeban di bahunya kini lebih menjurus ke bentuk penghinaan, termasuklah yang datang dari jurulatih pasukan sendiri!

Bolasepak adalah sebuah permainan berpasukan. Itu benar. Maka adalah tidak adil jika kita menyalahkan atau menyanjung seseorang pemain tertentu tatkala pasukan kita tewas atau pun menang.

Hanya ‘budak genius’ Maradona dari Argentina sahaja yang telah berjaya menterbalikkan definasi bolasepak yang sudah termaktub sebagai sebuah permainan berpasukan. Maradona pernah melakukannya dengan penuh bergaya.

Menyingkap sejarah silam, seorang pemain licik seperti Maradona sudah cukup untuk memporak perandakan pasukan England, juga di dalam kempen Piala Dunia 1986 di mana dia telah mengelecek seramai 5 orang pemain pasukan lawan sebelum menyepak bola menerjah jaring. Dia jugalah yang telah menjadi dalang di dalam insiden ‘Hand of God’ yang tidak mungkin akan dilupakan oleh penjaga gol Peter Shilton sampai bila-bila.

Tidak dapat disangkal, kekuatan atau kelemahan sesebuah pasukan bolasepak yang dibentuk, sebenarnya bergantung juga kepada kemampuan seseorang jurulatih yang dilantik. Jurulatih yang berkaliber mestilah memiliki daya imaginasi yang tinggi untuk memacu pasukan yang dibimbingnya kemercu kejayaan.

Pemilihan pemain-pemain untuk menyarung jersi negara bagi menghadapi kejuaraan Piala AFF Suzuki, adalah sebagai contoh ketara yang menyerlahkan keterbatasan idea pengendali kita Sathianathan. Saya tidak nampak di manakah rasionalnya beliau mengekalkan pemain-pemain yang bolehlah diibaratkan sebagai ‘sebungkus ubat yang sudah tamat tempoh’ untuk terus beraksi di gelanggang. Ada juga segelintir pemain yang telah mempamirkan aksi kurang memberangsangkan ketika bermain di liga tempatan, tetapi terus dipanggil untuk menganggotai skuad kebangsaan.

Secara peribadi, saya merasa agak kecewa apabila seorang pemain berkebolehan seperti Ashaari Shamsuddin sebagai contoh, disisihkan pada saat-saat akhir. Pada hemat saya Ashaari merupakan seorang pemain yang mahir sewaktu perebutan bola di udara. Beliau yang sering menjaringkan gol menerusi tandukan berbisanya akan mampu muncul untuk menjadi seorang pemain bersifat ‘utiliti’ jika kebolehan yang ada pada dirinya benar-benar digilap serta diasuh dengan sempurna.

Tetapi Sathia menafsir sebaliknya. Ashaari disingkirkan. Prestasi yang dipersembahkan oleh pengganti Ashaari pula amat mengecewakan, tidak setaraf dengan bentuk pengalaman yang pernah ditimba di luar negara. Kita merasa tertipu.

Pasukan manakah yang akan menjulang Piala AFF kali ini?

Jika itulah persoalan yang ingin anda lontarkan, saya tidak mampu untuk memberikan jawaban yang tepat. Tetapi apa yang pasti bukanlah negara kita Malaysia, Kemboja atau pun Laos yang akan muncul sebagai juara. Pasukan-pasukan tersebut bolehlah dianggap sebagai ’melukut di tepi gantang’ malahan sudah pun tersingkir awal dari saingan.

Tetapi sebenarnya pasukan mana pun yang akan menjuarai kejohanan kali ini, pasukan itu bukanlah benar-benar handal. Percayalah, pasukan tersebut hanya cuma mampu ’berkokok’ berderai-derai di peringkat Asia Tenggara sahaja, tidak lebih dari itu.

Apatah lagi di rantau sebelah sini, saingan yang dihadapi tidaklah segetir mana. Mereka hanyalah bersaing sesama sendiri. Jika bermain di pentas yang lebih terbuka, mereka akan dibelasah.

Walau bagaimana pun, salah satu daripada pasukan yang dianggap ’favourites’, akan diangkat untuk ditabal selaku juara Piala AFF tahun ini. Mereka akan mendabik dada sambil mendakwa sebagai sebuah pasukan yang amat hebat.

Saya mungkin ketinggalan zaman, oleh itu izinkan saya untuk menyoal anda : apakah ada pasukan-pasukan yang dianggap kuat ketika ini di rantau ini seperti Thailand, Indonesia atau pun Singapura pernah mengalahkan ’kuasa besar’ bolasepak Asia yang datang dari negara Timur Tengah, Jepun atau pun Korea Selatan dalam satu pertandingan besar yang diiktiraf oleh FIFA?

Tidak! Tidak sama sekali. Itu adalah sesuatu yang agak mustahil untuk berlaku!

Sekali lagi ingin saya tekankan, sesiapa sahaja yang menjadi juara Piala AFF, mereka tidaklah segagah mana. Corak permainan yang dipersembahkan masih statik lagi hambar serta tidak pernah berkembang.

Cuma kitalah yang memilih untuk menjadi semakin lemah, sesuatu yang tidak pernah terfikirkan oleh kita semua termasuklah pemain lagenda seperti Soh Chin Aun sewaktu dia dan rakan-rakannya rakus ‘membuli’ Thailand, Indonesia atau pun Singapura suatu ketika dahulu.

Piala AFF Suzuki akan melabuhkan tirainya. Phuket bukanlah destinasi yang menjanjikan kejayaan manis buat pasukan bolasepak Malaysia.

Sebagaimana diduga, hari Rabu lalu Thailand telah melengkapkan kedukaan kita dengan menghadiahkan kekalahan yang sebenarnya ingin dielakkan walaupun kita para peminat sudah menjangkakan. Sekali lagi kita berputih mata!

Geylang sipaku Geylang
geylang sirama-rama
pulang marilah pulang
marilah pulang bersama-sama

Ketika ini saya ingin meramalkan, tiada sesiapa pun yang ingin menerkam untuk ’memeluk’ Sathianathan sebagaimana dahulu. Cukuplah sekali. Pelukan yang pernah diterimanya sejurus selepas Pestabola Merdeka tamat suatu ketika dahulu adalah yang pertama malahan mungkin juga yang terakhir buat dirinya. Dia dan anak-anak buahnya tentunya sudah pun melangkah longlai sambil berkemas untuk berangkat pulang.

Dan lagu di atas sekali lagi akan kedengaran bergema dari bilik penginapan, berlarutan sehinggalah menuju ke lapangan terbang. Kita mungkin sudah muak mendengarnya, tetapi mereka akan terus menyanyikannya.

Kejohanan apa pula yang akan pasukan bolasepak kebangsaan kita sertai selepas ini?

Tetapi realitinya : tidak kira di dalam apa juga kejohanan, samada di kandang sendiri mahu pun di laman orang, kita para peminat bolasepak tempatan akan terus ‘dihiburkan’ dengan dendangan lagu yang sama, sebaik sahaja wisel panjang bergema! 

source: http://fakurpunyasampah.blogspot.com/2008/12/geylang-sipaku-geylang.html (11/12/2008)


Tindakan

Information

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s




%d bloggers like this: