PERSEKITARAN BOLEH PENGARUHI PERIBADI

2 12 2008

NAGEDEF? Saya menyapa sekelompok pelajar dari Afrika yang berbual di Koridor kampus baru Universiti Islam Antarabangsa (UIA), di Gombak. Mereka menjawab dalam keadaan terperanjat:”Anggifirek!”. Ada orang Melayu bercakap bahasa mereka.

Saya menambah:”Nage Jangge?” yang dijawab mereka dengan “Bahnah”. Keempat-empat perkataan asing ini maksudnya “apa khabar”,”baik”,”bagaimana pelajarannya”,”boleh tahan” secara berurutan dalam bahasa Olof yang digunakan di Senegal dan Gambia di Afrika Barat di samping bahasa Perancis dan Bahasa Inggeris.

Saya tahu kumpulan pelajar dari Afrika Barat itu kerana saya memang faham dan boleh bertutur sedikit-walaupun sekarang mulai luntur kerana tidak digunakan-dalam bahasa mereka yang saya perolehi daripada pergaulan saya dengan pelajar Afrika Barat khususnya Senegal ketika di Kuwait dahulu.

Menyentuh soal Senegal, saya teringat seorang pelajar remajanya yang menggemparkan sekolah kami, Religious Institute atau al-Ma’had ad-dini dekat Qurtubah, Kuwait pada akhir dekad ke 70-an. Waktu itu kami dipanggil untuk meyaksikan demonstrasi ujian kemampuan seorang pelajar baru yang disebut ” anak mukjizat” dari Senegal bernama Ahmad Makmum Ndai di bilik pengarah institut.

Maka berkumpullah guru tahfiz al-Quran dan bahasa Arab yang dipengurusi oleh pengarah institut untuk menguji kehebatan Ahmad dengan disaksikan semua pelajar.

Mula-mula dia diuji kemahiran menghafaz 30 juzuk al-Quran oleh tiga guru tahfiz. Ahamad diuji dari permulaan al-Quran, tengah dan penghujungnya dari tiga arah penanya. Bahkan dia diuji dengan permintaan unik seperti meneruskan ayat yang sebelumnya dibaca bahagian akhirnya saja selepas penetapan surah. Ini suatu hal yang luar biasa. Tapi bagi Ahmad ia makanan hariannya.

Lulus tahap pertama masuk ke tahap kedua iaitu pengujian bidang menghafaz rujukan bahasa yang difokuskan kepada kitab Alfiah Ibni Malik dan Maqamat Harirriyah. Kitab pertama adalah kumpulan seribu bait syair yang dikhaskan untuk ilmu nahu manakala kitab yang kedua kumpulan esei hikmah dalam bentuk bahasan yang memuat seluruh perkataan al-Quran kecuali perkataan damdama dalam surah asy-Syams ayat 14. Guru bahasa Arab yang sememangnya Arab bersiap menguji tetapi masing-masing memegang kedua-dua kitab berkenaan kerana mereka tak hafal atau lupa.

Maka dimulalah dengan permulaan kitab Alfiah yang berbunyi kalamuna lafzun mulfiidun kastaqim yang disambung Ahmad sampai ditanya bait yang lainnya dari kiri dan kanan, tengah, depan dan belakang. Kemudian kitab Maqamat Harirriyah dan lulus.

Akhirnyasemua penguji menguji bersama kehebatan Ahmad serentak. Yang seorang bertanya ayat kemudian yang lain menyambungnya dengan Alfiah dan Maqamat atau sebaliknya. Ahmad pun lulus dan mendapat pujian dan akhirnya dijadikan anak angkat Menteri Kesihatan Kuwait, Dr. Abdul Rahman al-Awadhi.

Dengan kehebatan demikian,secara logiknya tidak mungkin dia tergelincir daripada ajaran Islam. Dengan latar belakang remaja al-Quran ini yang hidup dengan disiplin orang tua yang disegani di Senegal sejak turun temurun kerana terkenal dengan keluarga Huffaz, secara alamiahnya tidak mungkin  meninggalkan ajaran Islam.

Tetapi logik dan ilmiah di atas hanyalah sebuah teoti jika persekitaran dibiarkan bermaharajalela apatah lagi dengan berjauhan daripada kawalan keluarga. Contohnya, Ahmad sahabat saya itu.

 Selepas terlepas daripada kawalan keluarga dan hidup di persekitaran ramai pelajar Senegal yang tidak sihat di Kuwait akhirnya Ahmad bertemu dengan teori “cogotonya”. D’Carte yang membawanya untuk melupakan dirinya mencapai suatu realiti . Dia lupakan Alfiah dan Maqamat. Dan dia ketepikan hafaz al-Qurannya. Dalam beberapabulan sahaja Ahmad sudah berubah 180 darjah. Ahmad pada waktu itu bukan lagi Ahmad ketika ia datang dulu. Ahmad sudah menjadi seperti orang barat yang hidup di Timur atau orang Timur yang berkehidupan ala Barat bahkan lebih teruk. Akhirnya dia gagal dalam pelajarannya.

Tetapi, selepas alam persekitarannya berubah lagi, kawan-kawannya banyak yang mencemuhnya. Dia pun sedar dan ingin kembali ke pangkal jalan. Dia kembali belajar di Religious Institute selepas meninggalkannya untuk belajar di Asma’i Secondary School for Boys kerana mengejar angan-angan “cogotanya”. Dengan susah payah dia cuba memulihkan cedera akliahnya dan sampai 1990 kali terakhir kami bertemu di pameran buku tahunan Kuwait dia masih mencuba dengan menerima tawaran dari Kementerian Waqaf Kuwait untuk menjadi imam di salah sebuah masjid di Washington, merika selepas tamat Maktab Pendidikan.

Dia begitu menyesal kerana tertipu oleh kembohongan memburu cita-cita kehidupan bebas yang dipengaruhi persekitarannya.Dia sangat menyesali dirinya kerana tak mengendahkan nasihat dan teguran keluarganya.

Untuk itu, ajakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim Isnin lalu agar sekolah melanjutkan aktivitinya dan keluarga memperhebatkan kawalan dan arahannya pada musim cuti sekolah dengan program berfaedah mesti kita ambil kira dengan saksama agar tunas bangsa yang tidak terperangkap dalam gejala sosial yang semakin merunsingkan kita.

(Dipetik daripada Berita Harian Jumaat 15 November 1996 Oleh Abdulrrahman Haqqi Dalam Ruangan Iqra’) dan pernah juga saya siarkan dalam diari saya terdahulu.


Tindakan

Information

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s




%d bloggers like this: