Al-Fatihah – Pelakon Nasir Ali meninggal dunia kerana kencing manis

31 10 2008

31/10/2008 4:07pm

Oleh ABD. AZIZ ITAR

KUALA LUMPUR 31 Okt. – Pelakon teater, drama dan filem yang terkenal dengan watak jahat, Nasir Ali meninggal dunia kerana penyakit kencing manis di kediamannya di Bandar Sri Permaisuri di sini pada pukul 3.45 pagi tadi.

Menurut isteri Allahyarham, Kadariyah Yup, 55, suaminya menghembuskan nafas terakhir selepas mengalami demam pada awal pagi tadi ekoran penyakit yang dideritainya itu sejak empat tahun lalu.

Allahyarham yang berusia 55 tahun dan berasal dari Taiping dan dibesarkan di Butterworth itu menghidap kencing manis yang serius.

Nasir juga pernah dinasihati oleh doktor agar memotong ibu jari kaki kirinya bagi mengelakkan ia merebak.

“Pada 13 Oktober lalu, arwah telah dibawa ke HUKM (Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia) di Cheras kerana penyakit yang dihidapinya itu. Doktor mencadangkan agar ibu jari kaki kirinya dipotong supaya penyakitnya tidak merebak.

“Tetapi Allahyarham enggan dan keesokan harinya dibenarkan keluar dari hospital tersebut. Sejak saat itu, beliau lebih banyak berehat dan berpantang di rumah,’’ katanya ketika ditemui di kediamannya di Apartmen Cemara di sini.

Jelas Kadariyah, awal pagi tadi, kesihatan Allahyarham yang mempunyai empat orang anak dan dua orang cucu itu semakin tenat apabila keadaan suhu badannya panas menyebabkan beliau menghubungi ambulans.

Kata isteri pelakon yang mempunyai ijazah seni lakonan dari National University of Dramatic Arts, Sydney, Australia pada tahun 1994 itu, beliau sempat membacakan surah Yassin sebelum Allahyarham meninggal dunia.

“Selepas saya habis membacakan surah Yassin di sisinya, suami saya kelihatan diam tanpa berkata apa-apa, tetapi saya melihat air matanya mengalir. Tidak lama selepas itu barulah beliau meninggal dunia,’’ ujarnya.

Allahyarham yang dilahirkan pada 17 Januari 1953 sewaktu hayatnya terkenal sebagai aktivis teater dan merupakan Presiden Grup Teater Arts Kreatif yang ditubuhkannya pada 1989 dengan aktif berlakon serta mengarahkan teater.

Antara teater lakonan dan arahan beliau berjudul Jebat, Orliana, The Three Sister, Mac Back, Konvensyen Gila, Pran, Bus Stop dan Orang-Orang Kecil, selain turut berlakon filem seperti Mekanik, Hingga Hujung Nyawa dan Senario The Movie.

Tambah Kadariyah lagi, sepanjang karier sebagai pelakon, antara kejayaan Allahyarham ialah beliau pernah diangkat sebagai Pelakon Lelaki Terbaik pada Anugerah Seri Angkasa menerusi drama Kurnia pada tahun 1995 dan Esah Swinger (1996).

Malah, Allahyarham juga pernah mengungguli anugerah Pengarah dan Pelakon Teater Terbaik pada 1987 menerusi teater berjudul Pran.

Nasir Ali atau nama sebenarnya Mohamad Nasir Ali memulakan kerjayanya sebagai pelakon teater pada tahun 1974 dan Liku-Liku Hidup merupakan teater pertama lakonannya yang dipentaskan di Kompleks Budaya Negara (sekarang dikenali sebagai Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan) di Padang Merbok, Kuala Lumpur.

Drama terbaru lakonan Allahyarham berjudul Alahai Anak Omak dan Kepadamu Kekasih telah menjalani penggambarannya sebelum bulan Ramadan lalu dan ia akan ditayangkan di televisyen tidak lama lagi.

source: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1031&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_14.htm (31/10/2008)

 

Arwah adalah seapartment dengan saya. Saya di tingkat 12, Arwah di tingkat 2. Mula dulu saya ingatkan beliau adalah Z Lokman rupanya Nasir Ali. Saya taklah kenal rapat dengan Arwah, cuma tegur macam tu ja la. Pagi tadi saya bersiap awal untuk ke Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang di DECTAR, UKM dan saya perasan macam ada something berlaku di apartmen saya. Oleh kerana saya pun tak berapa sihat saya just ignore.

Lepas Majlis kira-kira jam 12 tengahari saya terus kembali ke Apartmen dan nampak di surau ramai dengan orang dan ada van jenazah. Saya tak menjenguk pulak sebab dok pening kepala lagi. Last sekali bila balik ke ofis selepas Solat Jumaat, saya terbaca online news memaklumkan berita sedih tersebut.

Teringat last kenangan saya dengan Arwah ialah ketika beliau hampir terlanggar saya. Ketika itu saya tak perasan ada kereta, saya terus nak belok nasib baik saya sempat brek. Arwah pun macam kaget jugak waktu tu. Tu last sekali kira-kira dua bulan lepas kot.

Lepas tu dah lama tak bertembung dengan beliau dah hinggalah dapat news tadi.

Al-Fatihah…


Tindakan

Information

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s




%d bloggers like this: