www.saifulazrul.net

16 01 2011

Untuk makluman, ini hanyalah Laman Back Up www.saifulazrul.net. Jadi untuk maklumat terkini, sila ke www.saifulazrul.net.

Terima Kasih





Lihat Anak Bulan Syawal 29 Ogos

23 08 2011

Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja hari ini mengumumkan sebanyak 30 tempat ditetapkan untuk melihat anak bulan Syawal pada 29 Ogos ini bagi menentukan tarikh Aidilfitri tahun ini.

Majlis Raja-Raja juga mempersetujui bahawa cara menetapkan tarikh Aidilfitri adalah berdasarkan rukyah dan hisab dan pengisytiharan tarikh akan diumumkan pada malam Isnin itu menerusi radio dan televisyen.

Menurut kenyataan Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-raja di Kuala Lumpur, kawasan yang ditetapkan untuk melihat anak bulan Syawal ialah di Pontian Kecil, Johor; Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Kampung Balik Batu Tanjung Bidara, Melaka; Teluk Kemang, Port Dickson, Negeri Sembilan; Bukit Melawati, Pulau Angsa dan Bukit Jugra dan Balai Cerap Selangor di Selangor; Pantai Pasir Panjang, Manjong; Perak; Pusat Falak Sheikh Tahir, Pantai Aceh, Pulau Pinang; dan Kampung Pulau Sayak, Pemandangan Indah Langkawi dan Menara Alor Setar di Kedah.

Di Terengganu ialah di Bukit Besar Kuala Terengganu, Bukit Kemuning, Kemaman, Pulau Perhentian dan Balai Cerap KUSZA, Setiu; Bukit Peraksi Pasir Putih, Bukit Kampung Tembeling Kuala Krai dan Menara Bangunan SEDC Kota Baharu di Kelantan; dan Bukit Tanjong Batu Nenasi, Gunung Berincang Cameron Highlands dan Bukit Pelindong, Kuantan di Pahang.

Tempat melihat anak bulan Syawal di Perlis ialah di Kuala Sungai Baru; Menara Kuala Lumpur di ibu negara; Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di Putrajaya; Tanjong Lubang, Miri, Teluk Bandung, Kuching dan Tanjung Batu, Bintulu di Sarawak; Balai cerap Al-Biruni, Tanjung Dumpil dan Menara Universiti Malaysia Sabah di Sabah. 

–Bernama





Mencemar Ramadhan

22 08 2011

Tahun lepas saya menulis tentang Menghormati Ramadhan.

Tahun ini hari pertama puasa, saya menyaksikan tidak berlaku seperti apa yang saya tulis tahun lepas. Hari berlalu dan setelah dua minggu umat Islam berpuasa, salah seorang peniaga nasi lemak tersebut kembali berniaga pada waktu pagi ketika semua sibuk menuju tempat kerja masing-masing.

Mulanya, saya cuba melihat sama ada pelanggan beragama Islam atau tidak. Tetapi oleh kerana saya hanya lalu sepintas lalu, agak kurang jelas walaupun nampak seakan-akan Muslim. Pagi tadi saya memperlahankan motor saya dan jelas kelihatan wajah Muslim berhenti membeli nasi lemak daripada peniaga tersebut walaupun cuba melindungkan identiti dengan topi kaledar.

Nampaknya sudah melampau !

Lalu, saya sudah pun membuat aduan kepada seorang YB untuk tindakan lanjut. Mudah-mudahan peniaga tersebut menginsafi apa yang telah dialkukannya dan berhenti daripada mencemar Ramadhan yang penuh keberkatan ini, InsyaAllah…





Belasungkawa: Azizi Haji Abdullah – Al-Fatihah…

21 08 2011

Tatkala menerima berita sedih ini, saya berada di sebuah Pusat Membeli Belah. Saya agak terganggu dengan berita pemergian Azizi Haji Abdullah. Maknanya tiada lagi satira politik yang tajam yang dapat saya baca dari sisi penglihatan beliau. Blog beliau yang saya letakkan sebagai salah satu pilihan saya, akan terus sunyi dan sepi.

Baca tulisan saya sebelum ini mengenai arwah…. Sama-sama Doakan Kesihatan Azizi Haji Abdullah dan Sasterawan Sejati.

Salah satu yang membuatkan saya begitu ternanti-nanti karyanya ialah beliau bijak menggambarkan suasana kampung yang kebetulan saya senegeri dengan beliau. Keindahan suasana di kedah digambarkan dengan cukup mengasyikkan membuatkan rindu saya terhadap kampung terubat apabila membaca karyanya. Keindahan Gunung Jerai, kehijauan sawah padi, kepelbagaian unggas menambah perisa terhadap coretan yang beliau nukilkan. Cukup menyentuh kalbu.

Di samping itu karya satira politik beliau cukup tajam dan menikam. Cukup menarik!

Tapi kini segalanya sudah tiada. Allah Maha Mengetahui. Sudah tiba masanya untuk beliau pergi. Mudah-mudahan rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang orang yang beriman dan beramal soleh.

Terasa sayu apabila kembali menjenguk blog beliau… Blog Azizi Haji Abdullah.

Akan saya ingat SMS yang pernah beliau kirimkan kepada saya, “Baca dengan kritis!”

Al-Fatihah…





Selamat Menyambut Ramadhan Kareem

4 08 2011

Walaupun sudah empat hari menjelang Ramadhan, saya rasa tidak terlambat untuk mengucapkan Selamat Menyambut Ramadhan 1432H.

Alhamdulillah Ramadhan datang lagi dan kita bertuah kerana masih diberi kesempatan untuk berada dalam bulan yang penuh dengan rahmat, magfirah, dan pelepasan dari azab neraka. Tahun lepas bukanlah Ramadhan yang terbaik buat saya dan saya amat mengharapkan kekuatan untuk menghadapi Ramadhan kali ini. Setakat ini Alhamdulillah berjalan lancar.

Untuk semua, saya pohon ampun maaf atas sebarang kesilapan, ketelanjuran yang mengguris hati dan perasaan semua. Mudah-mudahan Ramadhan kali ini adalah yang terbaik buat semua, InsyaAllah…

Saya akhiri dengan satu artikel mengenai kebaikan berpuasa

PUASA DARI SUDUT PERUBATAN

Penurunan Berat Badan

Ini dapat membantu individu yang mengalami berat badan berlebihan atau obes untuk menurunkan berat badan mereka dengan cara yang sihat dan murah. Bagi pesakit diabetes dan tekanan darah tinggi pula, ini dapat menurunkan paras tekanan darah serta kandungan gula mereka dengan lebih baik. Penurunan berat badan daripada amalan puasa Ramadan adalah berbeza dengan amalan crash diet atau cara diet untuk menurunkan berat badan lain seperti langsung tidak makan nasi (hanya minum air). Penurunan berat badan dengan berpuasa selalunya lebih stabil di mana pesakit tidak mengalami masalah kenaikan berat badan secara mendadak sekiranya seseorang berhenti puasa.

Mempercepat Proses Pemulihan

Ketika berpuasa, penggunaan tenaga diarahkan dari sistem penghadaman ke sistem-sistem lain seperti penyembuhan, imun atau metabolisme badan. Manakala, proses penggantian tisu yang rosak menjadi bertambah baik hasil proses pembentukan protein sintesis yang semakin berkesan yang disebabkan oleh antibodi badan yang lebih teratur. Pembentukan protein yang lebih efisien akan menghasilkan sel-sel serta tisu yang lebih sihat. Kajian turut mendapati berlaku penurunan suhu badan dan kemerosotan kadar asas metabolisme badan ketika berpuasa menjadikan badan menyimpan lebih tenaga.

Awet Muda dan Memanjangkan Usia

Hormon pertumbuhan, sejenis hormon anti penuaan didapati dirembeskan dengan banyaknya ketika berpuasa. Selain itu, fenomena ini dikatakan juga berpunca daripada proses pembentukan sintesis protein yang lebih efektif, ketahanan badan yang lebih baik serta kadar metabolik yang lebih rendah.

Mengurangkan Risiko Penyakit Aterosklerosis

Kajian turut mengesahkan penurunan dari segi kandungan kolesterol dan gula. Ini tentunya mengurangkan risiko penyakit aterosklerosis (sejenis penyakit pada arteri di mana plak-plak berlemak berkembang pada dinding-dinding dalam dan akhirnya menyebabkan aliran darah tersekat). Keadaan ini terutamanya berlaku di kalangan pesakit diabetes.

Solat Tarawih Memetabolismekan Makanan

Cantik sekali apabila bulan puasa turut diiringi dengan sembahyang sunat tarawih pada sebelah malamnya. Ianya membantu memproses makanan yang dimakan ketika berbuka untuk digunakan sebagai tenaga (sehingga 200 kalori). Di samping itu, ianya juga bertindak sebagai satu cara senaman yang ringkas dan baik untuk menguatkan sistem kardiovaskular (jantung dan aliran darah).

Mendisiplinkan Diri Agar Berhenti Merokok

Amalan puasa juga dapat melatih diri meninggalkan amalan yang kurang baik seperti mengurangkan nikotin yang berbahaya di dalam tubuh perokok. Ketika siang hari, perokok boleh meninggalkan rokok kerana terpaksa berpuasa manakala pada malam hari, perokok boleh meninggalkan rokok kerana takut akan kemudaratan kesihatan seperti penyakit kanser paru-paru, sakit jantung dan penyakit sekatan pernafasan..

Ketenangan Mental

Dari segi kesihatan mental, umat manusia berasa lebih tenang di bulan Ramadan yang mulia ini. Ganjaran yang berlipat ganda pada bulan puasa menjadikan mereka lebih bertumpu kepada menunaikan ibadah, sekali gus mengurangkan kes-kes jenayah.

Pemakanan di Bulan Ramadan

Pastikan makanan yang seimbang (buah-buahan, sayur-sayuran, karbohidrat, protein) ketika bersahur dan berbuka puasa. Tidak perlu makan banyak. Ketika berbuka disunatkan mengambil kurma kerana kandungan gula yang tinggi bertindak sebagai pembekal tenaga. Sementara itu, ketika bersahur adalah lebih baik makan makanan yang lambat hadam iaitu bijirin seperti oats, gandum dan lain-lain kerana makanan jenis ini akan mengambil masa yang lebih lama untuk diproses iaitu, lapan jam. Justeru, ianya dapat membekalkan tenaga dengan lebih lama.

WALAUPUN hanya beberapa hari lagi kita akan menyambut Aidilfitri, pelbagai persoalan masih disuarakan oleh teman bukan Islam yang bimbang saya kelaparan kerana berpuasa.

Ada yang berkata, ‘tak mati ke tak makan apa-apa dalam sehari?’ Saya katakan kita ada masa berpuasa, ada masa berbuka dalam sehari. Ada juga yang bertanya, ‘takkan tak makan apa-apa, minum pun tidak?’ Saya katakan tidak, tetapi kami boleh makan apa saja bila berbuka nanti, tiada sekatan terhadap jenis makanan, selagi ia halal.

Banyak tulisan menerangkan mengenai kebaikan berpuasa dalam Islam. Di kesempatan ini, mari kita lihat pula sejauh mana berpuasa dapat meningkatkan kesihatan daripada sudut pandangan perubatan. Saya bawakan beberapa pandangan perubatan yang menyokong ibadat berpuasa ini dengan fakta saintifik.

Menurut Dr Ben Kim, pengamal perubatan berasaskan herba dari Kanada, berpuasa untuk tujuan perubatan sudah lama diamalkan. Malah, ahli falsafah terkenal seperti Socrates dan Plato juga mencadangkan puasa untuk tujuan memulih dan meningkatkan kesihatan badan. Mahatma Gandhi sendiri dikatakan berpuasa selama 21 hari sebagai usaha meningkatkan rasa hormat antara warga berlainan agama di India.

Namun, sehingga hari ini amalan berpuasa lebih banyak dikaitkan sebagai ‘ritual’ agama saja, misalnya berpuasa pada bulan Ramadan oleh umat Islam. Nyata perkembangan perubatan moden dapat melihat kebaikan berpuasa dengan sokongan fakta saintifik. Kajian terhadap ilmu fisiologi mendapati amalan berpuasa mempunyai kuasa pemulihan yang hebat, kesan daripada aktiviti berpuasa tadi.

Elson Haas seorang doktor kesihatan dalam bukunya bertajuk Tetap sihat dengan Nutrisi: Panduan Lengkap untuk Diet dan Perubatan Nutrisi menyatakan bahawa berpuasa adalah antara terapi semula jadi yang terhebat. Haas juga percaya berpuasa adalah satu kaedah bukan hanya untuk terapi diri, malah untuk masalah perubatan yang lain serta merangkumi masalah kehidupan lebih kompleks.

Turut dinyatakan kebaikan berpuasa adalah untuk detoksifikasi atau penyahtoksin. Pembersihan diri ini adalah satu daripada trilogi nutrisi amat penting terhadap badan manusia, selain menyeimbangkan keperluan dalam badan dan membina badan sihat. Haas percaya berpuasa adalah satu daripada ‘hubungan yang hilang’ dalam diet masyarakat Barat.

Kebanyakan masyarakat di Barat dikatakan terlebih makan, makan terlalu kerap, makan makanan yang mengandungi protein yang tinggi, selain tinggi lemak serta mencerna makanan lebih daripada yang diperlukan badan.

Statistik menunjukkan masyarakat Barat di UK amnya bukanlah tergolong dalam masyarakat yang sihat. Misalnya, Diabetes UK satu organisasi terbesar di UK yang membantu mereka menghidap diabetes, berkempen serta menjalankan kajian mengenai penyakit ini, menganggarkan lebih empat juta warga Britain akan menghidap diabetes menjelang 2025. Diabetes UK juga mendapati peningkatan 46 peratus yang akan berlaku adalah kesan daripada diet dan gaya hidup tidak sihat.

Menariknya, berpuasa yang disarankan doktor perubatan di Barat mempunyai persamaan dengan apa yang diamalkan umat Islam. Misalnya, antara saranan berpuasa untuk kesihatan adalah menjalankan puasa dalam tempoh singkat untuk membantu membersihkan dalaman badan.

Puasa singkat yang dilakukan dalam beberapa bulan setahun membantu membersihkan dalaman badan. Perbezaannya ialah puasa bentuk moden yang dicadangkan, mencadangkan puasa dimulakan selama 24 jam, kemudian dikurangkan secara berperingkat-peringkat. Menurut Dr Ben Kim, jangka waktu berpuasa adalah bebas, tetapi bergantung kepada matlamat masing-masing.

Misalnya, jika kita bermatlamat untuk pulih daripada sakit akut, maka kita boleh berpuasa sehingga berasakan cukup sihat untuk makan semula. Untuk sakit kronik pula, jangka masa berpuasa ditentukan oleh kemajuan puasa itu sendiri.

Ini memandangkan proses pembaikan diri dalam tempoh ini boleh dijangka. Ketika berpuasa, tahap kolesterol dan asid urik dalam darah akan meningkat, namun selepas berpuasa tahap ini akan menurun yang menunjukkan sistem badan semakin bersih.

Selain itu, ada juga kajian yang menyarankan puasa daripada segala bentuk makanan, tetapi amalkan minum jus buah-buahan saja. Puasa bentuk ini dikatakan dapat menyahtoksin badan, selain baik untuk mengurangkan berat badan.

Namun, perbezaan ini menjadikan ibadat berpuasa oleh umat Islam semakin unik. Kita disarankan berpuasa dan tidak boleh tidak. Tanpa perlu mengingkari, kita sudah setapak maju ke arah kesihatan diri.

Lebih menarik, kajian perubatan Barat juga menunjukkan ada jenis penyakit yang boleh dikurangkan menerusi amalan berpuasa. Misalnya, demam, bronkitis, sakit kepala, sembelit, sakit perut, alergi terhadap sesetengah makanan, asma, insomnia, masalah kulit, kencing manis, keletihan, kegemukan, kanser dan sawan babi (epilepsi).

Manfaat puasa pula berdasarkan banyak kajian mencakupi meningkatkan tenaga, memperbaiki tidur, rasa lebih tenang, merehatkan sistem pencernaan, mengurangkan kesan penuaan, memperbaiki penglihatan dan pancaindera, memperbaiki pendengaran, meningkatkan kreativiti, serta penyahtoksin yang membawa kepada perubahan sikap kepada yang lebih baik kerana kurangnya toksin dalam badan.

Nyata amalan berpuasa bukanlah amalan yang melaparkan atau hanya wajib dijalankan umat Islam. Sungguhpun tiada kewajipan kepada bangsa lain untuk berpuasa, fakta saintifik menunjukkan bahawa puasa baik untuk kesihatan serta pemulihan dan pembersihan dalam badan.

Semoga fakta saintifik ini membantu kita menjawab persoalan seperti yang saya utarakan awal tadi, bahawa puasa yang konsisten dalam setahun adalah satu cara semula jadi terhebat untuk kesihatan berpanjangan. Selamat menyambut Aidilfitri kepada seluruh umat Islam di Malaysia.

sumber: Internet





Tarikh Lihat Anak Bulan Ramadan Pada Ahad

27 07 2011

KUALA LUMPUR, 26 Julai (Bernama) — Tarikh melihat anak bulan bagi menentukan permulaan puasa bagi umat Islam di seluruh Malaysia ialah pada petang Ahad ini, 31 Julai bersamaan 29 Syaaban 1432 Hijrah.

Menurut kenyataan Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia, tempat melihat anak bulan adalah Pontian Kecil di Johor; Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Tanjung Bidara (Melaka); Teluk Kemang (Negeri Sembilan); Bukit Melawati (Selangor); Pulau Angsa (Selangor); Bukit Jugra (Selangor), Balai Cerap Selangor, Sabak Bernam (Selangor); Pantai Pasir Panjang (Perak); Pusat Falak Sheikh Tahir, Pantai Aceh (Pulau Pinang); Kampung Pulau Sayak, Kuala Muda (Kedah); Pemandangan Indah, Pulau Langkawi (Kedah); Menara Alor Setar (Kedah).

Bukit Besar, Kuala Terengganu (Terengganu); Bukit Kemuning, Kemaman (Terengganu); Pulau Perhentian (Terengganu); Balai Cerap KUSZA, Setiu (Terengganu), Bukit Peraksi, Pasir Puteh (Kelantan); Bukit Kampung Tembeling, Kuala Krai (Kelantan); Menara Bangunan SEDC, Kota Baharu (Kelantan).

Tanjung Lubang, Miri (Sarawak); Teluk Bandung, Kuching (Sarawak), Tanjung Batu, Bintulu (Sarawak); Balai Cerap Al-Biruni, Putatan, Sabah; Bukit Tanjung Batu, Nenasi (Pahang); Gunung Berincang, Cameron Highlands (Pahang); Bukit Pelindong, Kuantan (Pahang).

Menara Universiti Malaysia Sabah (Labuan); Menara Kuala Lumpur (Kuala Lumpur); Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, dan Kuala Sungai Baru, Simpang Empat (Perlis).

Majlis Raja-Raja mempersetujui bahawa cara menetapkan tarikh permulaan puasa adalah berdasarkan Rukyah dan Hisab, dan pengisytiharan tarikh permulaan puasa akan dibuat oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia melalui radio dan televisyen pada malam itu juga.

sumber: http://bernama.com/bernama/v5/bm/newsindex.php?id=603819 (27/07/2011)





Belasungkawa: Dato’ Syeikh Zakaria bin Haji Ahmad Wan Besar Telah Kembali Ke Rahmatullah

25 07 2011

Berita yang saya dapat dari seorang rakan sekolah rendah menerusi Facebook beliau pagi ini. Menurut beliau, arwah meninggal disebabkan sakit tua. Hilang lagi seorang Ulama yang berwibawa dan yang selalu saya dengar menerusi corong radio ketika saya di Kedah dahulu.

Kemudian, saya dapatkan info berikut dalam sebuah blog Al-Fanshuri.

 
Gambar: Ihsan dari Akhina Ibnu Fathani
إِنَّا للَّهِ وَإِنَّـآ إِلَيْهِ رَاجِعونَ
Telah kembali kerahmatuLlah Dato’ Syeikh Zakaria bin Haji Ahmad Wan Besar pada jam 5 pagi 23 Sya’ban 1432/25 Julai 2011, di Hospital Sultanah Bahyah Alor Setar, Kedah. Jenazah al-Marhum Dato’ Syeikh Zakaria bin Haji Ahmad Wan akan di bawa ke Masjid Sultanah untuk disholatkan. Dan menurut apa yang dimaklumkan kepada al-Fagir, beliau akan dikebumikan di Guar Cempedak. [Dato' Syeikh Zakaria adalah merupakan bapa saudara kepada mantan KP JAKIM, Dato' Wan Muhammad bin Dato' Syeikh 'Abdul 'Aziz. Al-Marhum Dato' Syeikh 'Abdul Aziz adalah merupakan abang kepada Syeikh Zakaria dan beliau menjawat jawatan Qadhi Besar Kedah satu ketika dulu]
Beliau adalah seorang ulama ‘senior’ Kedah. Di lahirkan pada 23 Januari 1928 di Kampung Jerai, Mukim Kupang, Kedah. Dalam usia yang lebih kurang 7 tahun beliau di bawa ke Mekah oleh keluarga beliau untuk belajar ilmu agama. Beliau belajar di Madrasah Darul ‘Ulum ad-Diniyyah di Makkah dan di Masjidil Haram. Kemudiannya beliau melanjutkan pelajarannya ke Universiti al-Azhar. Di antara kerjaya beliau: Menjadi Mudir Madrasah al-Akhlaq al-Islamiyyah, Guar Cempedak, Guru Penolong di Ma’had di Johor, Guru Penolong di Ma’had Mahmud Alor Setar dan Guru Di Ma’had Tahfiz al-Qur’an. Beliau juga merupakan Ahli Majlis Fatwa Kerajaan Negeri Kedah. Beliau juga seorang yang banyak menghasilkan karya penulisan. Hampir 70 buah buku agama beliau hasilkan. Beliau seorang yang sangat gigih di dalam menyampaikan ilmu agama melalui majlis-majlis pengajian di masjid-masjid dan juga di radio.
 
Dari dari kiri
Prof. Madya Dr. Haji Abdul Aziz Bin Hj Hanafi, Dato’ Syeikh Zakaria Bin Haji Ahmad,
Dato’ Paduka Syeikh Muhamad Baderudin Bin Haji Ahmad,
Y.A.A. Dato’ Wira Syeikh Yahya Bin Hj Jusoh, Dato’ Syeikh Abd. Hamid Bin Md. Tahir
Berdiri dari kiri
Ustazah Faridah Bt. Hj Ahmad, Tuan Syeikh Marwazi Bin Dziyauddin, Dato’ Syeikh Abdul Razak Bin Haji Mohd Yusof,
Dato’ Syeikh Fadzil Bin Haji Awang, Tuan Syeikh Abdul Rahman Bin Abu Bakar, Tuan Syeikh Aminudin Bin Hj Abd Rahim
Antara guru beliau adalah Syeikh Wan Ismail bin Wan ‘Abdul Qadir al-Fathani al-Makki (Pak Da El), Syeikh ‘Abdul Qadir bin ‘Abdul Mutthalib al-Mandili al-Makki, Syeikh Yasin bin ‘Isa al-Fadani dan lain-lain.
Alhamdulillah, al-Fagir pernah beberapa kali menziarahi beliau dan membaca beberapa buah hadits kepada beliau. Sewaktu pertemuan, beliau menceritakan serba sedikit sejarah hidup beliau kepada al-Fagir. Antaranya beliau berkata …. “saya kenai huruf niii dengan Syeikh Yasin lah …..” Katanya lagi   “saya bai’ah thariqat Syattariyyah dengan Pak Da El …. waktu tu saya kecik lagi …. tenggelam tapak tangan saya dibawah tapak tangan Pak Da El …..” Alhamdulillah beliau juga bermurah hari untuk mengijazahkan al-Fagir dengan ijazah (‘ammah) yang beliau perolehi daripada guru-guru beliau.
Sesungguhnya pemergian beliau merupakan satu kehilangan besar buat umat Islam di Kedah khususnya dan di Malaysia umumnya.
Semoga Allah merahmati beliau dan memberi sebaik-baik ganjaran kepada beliau.
Marilah kita sama-sama menghadiahkan bacaan surah al-Faatihah kepada al-Marhum Dato’ Syeikh Zakaria bin Haji Ahmad Wan Besar serta mendoakan beliau. Al-Faatihah …..
اللهم اغفر له وارحمه وعافه واعف عنه وأكرم نُزُله، ووسع مُدخلهُ، واغسله بالماء والثلج والبرد، ونقه من الخطايا كما ينقى الثوب الأبيض من الدنس، وأبدله داراً خيراً من داره، وأهلاً خيراً من أهله وزوجاً خيراً من زوجه وأدخله الجنة وأعذه من عذاب القبر ومن عذاب النار
sumber: http://al-fanshuri.blogspot.com/2011/07/belasungkawa-dato-syeikh-zakaria-bin.html (25/07/2011)




Alhamdulillah… Penat Tapi Puas

22 07 2011

Malam tadi saya kemaskini status di Facebook saya seperti tajuk di atas.

Tetapi saya sebenarnya tersilap masa kerana kebetulan malam tadi malam Jumaat dan terjadilah gurauan rakan-rakan yang membuat tafsiran lain tentang status tersebut. Hmmm… Langsung saya tak perasan. Hehehe

Sebenarnya semalam adalah hari yang cukup memenatkan dengan pelbagai tugasan dan mesyuarat yang perlu dihadiri dan juga ditambah pula dengan kerja yang datang secara tiba-tiba. Memang penat dan kemudian terpaksa pula bergegas uruskan anak-anak sebelum ke gelanggang badminton untuk kejohanan badminton antara jabatan di tempat kerja saya.

Walaupun saya amat meminati bolasepak tetapi bakat saya pada Badminton.

Yang puasnya ialah saya berjaya membantu jabatan saya menjuarai kejohanan ini buat pertama kali dalam sejarah jabatan. Alhamdulillah juga saya dan pasangan saya menang kesemua perlawanan dan tidak mencicirkan sebarang set sekalipun. Terima kasih kepada pasanagan saya, Farhan yang cukup cemerlang bergandingan dengan saya. Rasa cukup serasi walaupun ada ketikanya sorakan penyokong lawan begitu provokatif.

Juga kepada rakan sepasukan yang lain yang memberikan komitmen jitu terhadap kejohanan. Malah ada yang menghadapi  urusan keluarga yang mendesak tetapi boleh terus memberikan komitmen tinggi. Terima kasih. Begitu juga kepada semua penyokong yang memberikan sokongan padu. Apatah lagi dengan kreativiti penyokong yang menghasilkan bentuk sokongan kepada pasukan yang digelar Angry Birds dengan pelbagai sepanduk dan bahan sokongan yang kreatif.

Terima kasih semua.

Alhamdulillah… Penat Tapi Puas !

p/s: Untuk Laporan klik link di bawah:-

Laporan Final

Laporan Semi Final

Laporan Suku Akhir

Perlawanan Ke-Empat

Perlawanan Ke-Tiga

Perlawanan Ke-Dua

Perlawanan Pertama

Kredit to Sufri.





Al-Fatihah…. Dr. Lo'lo' Ghazali meninggal

17 07 2011

Al-Fatihah…

Dr. Lo’lo’ Ghazali meninggal dunia sebentar tadi di Hospital Selayang jam 10.13 malam tadi. Al-Fatihah…

Mudah-mudahan roh beliau dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan insan yang beriman dan beramal soleh, InsyaAllah…

Lanjut

MP Titiwangsa Dr. Lo’lo’ Meninggal Dunia.

Titiwangsa MP Dr. Lo’lo’ Dies.





Mudah-mudahan Selamat

7 07 2011

Saya merujuk kepada berita berikut Lelaki berparang jadikan 30 murid taska tebusan , Hammer-wielding man holding 30 kindie kids hostage in Muar dan 30 murid, 3 guru tadika di Muar jadi tebusan lelaki bersenjata.

Ia merupakan kejadian yang jarang berlaku tetapi sesekali berlaku ia memang menakutkan dan serta merta teringatkan anak-anak di Smart Soleh Taman Midah Cheras. Harap-harap kesemuanya mampu diatasi dengan sebaiknya tanpa pertumpahan darah, InsyaAllah.

Bagi saya, kalau jadi kes kes sebegini, biasanya ia lebih kepada masalah mental. Masalah mental ini pula berpunca daripada kegagalan mengurus tekanan sehingga pada satu tahap ia melepasi batasan dan tidak terkawal. Kesihatan mental juga begitu kritikal dewasa ini dengan statistik menunjukkan peningkatan saban tahun dan ia juga boleh dilihat dengan peningkatan kes bunuh diri.

Jika kita kembali kepada ajaran agama, InsyaAllah kita mampu menyerap apa jua tekanan hidup dan mencapai ketenangan dunia akhirat, InsyaAllah…

Sudah pasti anak-anak kecil ini, akan trauma. Kita tunggu perkembangan selanjutnya…

TERKINI

Lelaki yang menahan kanak-kanak tadika tersebut meminta pistol daripada pihak Polis dan Anggota Unit Tindakan Khas sedang memantau tempat kejadian.

Polis telah berjaya menembak suspek dan suspek dilaporkan cedera parah. Semua mangsa selamat kecuali seorang yang dilaporkan dicederakan.

Kredit Foto: NSTP





Cara Back Up Data Base WordPress

1 07 2011

Semalam, saya berkunjung ke blog sahabat sekelas saya Rozeman di Dunia Kami. Alangkah terkejutnya saya apabila mendapati skrin berikut keluar.

Lalu saya menghubungi beliau tentang kejadian tersebut. Memang agak sukar kerana Database pun hampir musnah. Lalu saya pun bertanya, enjin yang digunakan dalam blog beliau. Beliau menjawab WordPress. Alamak ! Saya pun guna WordPress.

Beliau mengesyaki ia mungkin disebabkan plugins atau script yang banyak dalam blog beliau. Ia mungkin menjadi punca. Ya mungkin.

Cuma bagi saya yang dah lama berblog tak pernah pun buat back up Data Base, lalu saya pun terpaksa cepat cepat belajar bagaimana hendak melakukan back up Database.

Ikut langkah di bawah:-

1. Log in ke control panel anda

2. Pilih phpMyAdmin di bahagian Databases

3. Klik pada database mana yang anda ingin lakukan back up.

4. Anda akan dapat paparan ini dan klik pada tab Export.

5. Pastikan:

a. Anda “select All” pada bahagian Export.

b. Tandakan pada “SQL” Radio Button.

c. Tandakan pada pilihan “Add DROP TABLE/VIEW/PROCEDURE/FUNCTION” pada bahagian Structure

d. Tandakan pada pilihan “Complete inserts” pada bahagian Data.

e. Pastikan pada bahagian Save as file ditandakan dan compression ditandakan “None”

f. Klik Butang “GO”

* Paparan pada interface anda mungkin berbeza bergantung kepada webhosting anda.

Akhirnya kesemua DB anda akan disimpan dalam komputer anda.

Lakukanlah secara berkala seminggu sekali atau sebulan sekali mengikut kesesuaian anda. Untuk back up secara automatik, saya akan tunjukkan apabila saya berjaya lakukannya nanti.








Follow

Get every new post delivered to your Inbox.